DR Suraya membentangkan topik AMR kepada kakitangan PCM sempena Minggu Kesedaran Keselamatan Pesakit.
DR Suraya membentangkan topik AMR kepada kakitangan PCM sempena Minggu Kesedaran Keselamatan Pesakit.
Oleh Zaitie Satibi

Antibiotik adalah rawatan antimikrob khusus untuk jangkitan bakteria dan digunakan sejak 1940-an. Namun, penggunaan dan penyalahgunaan antibiotik secara meluas dalam sektor kesihatan meningkatkan tahap kerintangan anti mikrob (AMR) kepada pesakit di semua peringkat umur.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Suraya Amir Husin berkata, AMR adalah kerintangan sesuatu mikroorganisma kepada ubat antimikrob yang asalnya berkesan untuk merawat jangkitan disebabkan mikroorganisma itu.

Banyak punca berlakunya AMR dan antara paling kerap ialah disebabkan penggunaan dan penyalahgunaan ubat antimikrob sehingga mencetuskan kemunculan kumpulan organisma yang rintang kepada ubat.

Fenomena semula jadi evolusi kumpulan organisma yang kebal itu berlaku apabila mikroorganisma meniru sel sendiri dengan silap atau sifat kerintangan ditukarkan sesama sendiri.

"Disebabkan mikroorganisma ini rintang kepada pelbagai jenis ubat, jangkitan membabitkan organisma itu sukar dibendung. Ia boleh membawa kepada penyebaran jangkitan yang mengancam nyawa.

"Jangkitan disebabkan patogen yang rintang ubat itu meningkatkan kadar kematian di semua peringkat dan membawa kepada peningkatan jangka masa tinggal di hospital serta meningkatkan risiko kemasukan ke unit rawatan rapi. Semua ini berkait dengan kenaikan kos kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada perbincangan meja sempena Minggu Kesedaran Keselamatan Pesakit oleh Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), baru-baru ini.

Dengan tema Bersatu Menjaga Keselamatan, PCMC mensasarkan pesakit, kakitangan, pelawat dan doktor mendapat manfaat dengan mengamalkan garis panduan diberi melalui pameran poster dan simposium membabitkan profesional dalam perubatan.

Turut hadir, Pengarah Perubatan PCMC, Profesor Dr David Cumberland, Ahli Lembaga Pengarah PCMC merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Dr T Mahadevan dan Ketua Unit Keselamatan Pesakit, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr Nor Aishah Abu Bakar.

Dr Suraya berkata, statistik menunjukkan kerintangan antibiotik di Malaysia semakin meningkat apabila Kajian Kerintangan Antibiotik Kebangsaan menunjukkan aliran peningkatan kerintangan Streptococcus pneumonia terhadap antibiotik eryhtromycin dengan tahap kerintangan meningkat daripada 21 peratus pada 2007 kepada 39 peratus pada 2013.

"Kerintangan Acinetobacter baumanii terhadap antibiotik meropenem juga meningkat daripada 47.7 peratus pada 2007 kepada 58.3 peratus pada 2013, manakala Klebsiella pneumoniae menunjukkan peningkatan rintangan tahun demi tahun kepada kumpulan cephalosporin.

"Kumpulan cephalosporin seperti kerintangan kepada cefotaxine daripada 22.1 peratus pada 2008 meningkat kepada 27 peratus pada 2013, kerintangan kepada ceftazidime pula daripada 22.3 peratus pada 2008 kepada 24.2 peratus pada 2013.

"Kajian terhadap superbug baru seperti carbapenem resistant enterobacteriaceae (CRE) menunjukkan bilangan jangkitan meningkat daripada 65 kes pada 2012 kepada 150 kes pada 2013, dengan kadar kematian bertambah daripada sembilan peratus pada 2012 kepada 10 peratus pada 2013.

"Kerintangan antibiotik mendatangkan kesan komplikasi serius dan tindakan segera diperlukan untuk mengurangkan kesannya terhadap kadar hidup bebas daripada penyakit dan kematian serta beban dan kos kepada sistem kesihatan," katanya.

Dr Suraya berkata, ada bakteria biasa membangunkan kerintangan kepada pelbagai jenis antibiotik dikenali sebagai multi-drug resistant organisms (MDRO) dan bakteria ini hadir dalam badan manusia termasuk pada kulit, hidung atau kawasan lembap pada tubuh serta rembesan.

Bagi kebanyakan individu sihat, bakteria ini tidak menyebabkan masalah. Namun, MDRO boleh memasuki tubuh dan menyebabkan jangkitan melalui luka yang terbuka, peranti invasif dan peralatan perubatan seperti kateter dan saluran intravena (IV) yang digunakan pesakit serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah.

"MDRO tersebar dengan sentuhan secara langsung daripada individu dijangkiti kepada orang lain dan biasanya dipindahkan menerusi sentuhan tangan.

"Jangkitan adalah punca bakteria ini sukar dirawat kerana kekebalannya terhadap antibiotik biasa menyebabkan pesakit perlu diasingkan dalam tempoh rawatan supaya tidak menjangkiti orang lain.

"Kakitangan perubatan di hospital dan klinik perlu memainkan peranan penting dengan mengasingkan pesakit disyaki dijangkiti MDRO pada peringkat awal supaya situasi tidak menjadi parah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:04 AM