LIDAH wanita itu. FOTO BMJ
LIDAH wanita itu. FOTO BMJ
Agensi

Tokyo: Seorang wanita Jepun terkejut apabila lidahnya menjadi hitam dan 'berbulu' selepas dia mengalami alergik terhadap antibiotik.

Pesakit berusia 60-an itu mengambil minocycline yang lazimnya digunakan untuk merawat jerawat hingga radang paru-paru, bagi mengurangkan kesan sampingan kemoterapinya.

Dia menghidap kanser rektum dan memulakan rawatan 14 bulan lalu di Jepun, menurut Laporan Kes Jurnal Perubatan British (BMJ).

Kazuhide Takata dan Fumihito Hirai dari Fakulti Perubatan Universiti Fukuoka berkata, pesakit itu datang buat kali pertama dalam beberapa bulan untuk Hepatitis B.

Namun, doktor mendapati wajah wanita itu bertukar kelabu.

Mereka terpegun sekali lagi apabila pesakit membuka mulutnya hingga menampakkan 'bulu' berwarna hitam.

Ia adalah tanda ciri khas bulu hitam lidah (BHT), keadaan tidak berbahaya yang disebabkan kebersihan mulut tidak betul.

Selalunya sukar mengetahui punca BHT, namun perubahan bakteria biasa atau kandungan yis dalam mulut disebabkan oleh antibiotik adalah salah satu daripadanya.

Pakar perubatan menyangka keadaan pesakit itu disebabkan dia mengambil minocycline, salah satu daripada segelintir antibiotik yang BHT boleh menjadi kesan sampingan.

Tompok kelabu di mukanya juga menunjukkan ciri kerosakan kulit akibat minocycline.

Minocycline menjadi hitam apabila teroksida dan boleh menyebabkan perubahan warna kulit.

Wanita itu diberikan ubat berbeza dan enam minggu selepas itu, pigmentasi muka dan BHT berkenaan bertambah baik dengan ketara.

Dalam kes ini, ia membabitkan tindak balas buruk kepada minocycline.

Keadaan ini menyaksikan benjolan yang tidak terkira banyaknya menutupi lidah yang dipanggil papila bertukar menjadi hitam dan disebabkan pengumpulan sel kulit mati menonjol seperti bulu.

Bakteria dan yis, tembakau atau makanan lain juga boleh tersangkut dalam lidah menjadikannya kelihatan seperti bulu, malah nafas individu itu berbau busuk, iaitu gejala BHT.

Walaupun kelihatan membimbangkan, BHT bukanlah sesuatu yang perlu ditakutkan.

Ia biasanya gejala masalah yang agak mudah untuk diselesaikan.

Orang ramai dinasihatkan untuk memberus lidah untuk membuang sel kulit mati dan minum banyak air, namun jika keadaan tidak hilang, doktor boleh mengeluarkannya dengan menggunakan laser karbon dioksida.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 12:00 PM