Datuk Seri Dr Mujahid Yusof
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

Parit Buntar: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menasihatkan agar berhati-hati memetik atau menukilkan ayat suci al-Quran.

Ini kerana dibimbangi ayat al-Quran tersebut akan ditafsir di luar konteks.

Menurut Mujahid, sebarang tafsiran terhadap ayat kitab suci itu perlu disertai dengan disiplin ilmu berkaitan supaya ia tidak dieksploitasikan untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, perbuatan memetik ayat suci al-Quran tanpa disiplin ilmu yang sepatutnya bukan saja boleh mencetuskan kekeliruan, malah mampu menimbulkan perasaan tidak senang sesetengah pihak atas dasar keilmuan di luar konteks politik kepartian.

"Saya tidak katakan saya tidak bersetuju (dengan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How itu). Masya-Allah, masakan saya tidak bersetuju kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran. Cuma, saya menasihati supaya berhati-hati kerana al-Quran mempunyai disiplin tersendiri yang bukan sekadar dibaca secara luaran (zahir).

"Apabila kita hanya menukilkan begitu saja, maka orang yang tahu mengenai ayat al-Quran itu akan terasa kitab suci berkenaan dipermudahkan tanpa perincian sebenar.

"Namun, saya rasa tidaklah sampai kepada tahap macam itu (perlu untuk PH Perak memohon maaf). Cuma, tidak salah untuk menasihati," katanya ketika ditemui pada program Karnival Jom Sihat 2023 Hospital Parit Buntar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, tafsiran terhadap petikan ayat suci al-Quran tanpa ilmu dan disiplin berkaitan, dikhuatiri lari daripada maksud asalnya, sekali gus boleh mengheret masyarakat kepada polemik yang mereka sendiri juga berkemungkinan tiada pengetahuan mengenainya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilaporkan berkata siasatan isu membabitkan Howard itu kini diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:48 PM