PENGERUSI UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim (tengah) merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall. - Gambar NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
PENGERUSI UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim (tengah) merasmikan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor di Angsana Johor Bahru Mall. - Gambar NSTP/IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein

Peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA) sentiasa mempergiatkan aktiviti bagi membantu usahawan tempatan berdepan cabaran ekonomi kini dan masa hadapan.

Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, langkah proaktif itu diambil bagi mempersiapkan usahawan negara ini berdepan kemungkinan berlaku inflasi yang buruk pada tahun hadapan.

NORLIZA (kanan) melihat produk usahawan di Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor.

Beliau berkata, jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia antara aktiviti yang dianjurkan pihaknya bagi mencapai maksud berkenaan.

Usahawan menunjukkan produk mereka.

"UDA mengambil langkah proaktif ini kerana kita dijangka menghadapi inflasi yang agak buruk. Sekiranya usahawan di Malaysia dapat berbelanja di dalam negara dengan lebih aktif tanpa mengeluarkan wang ke luar negara begitu banyak, maka ia akan dapat mengurangkan inflasi.

"Apa yang lebih penting adalah untuk membantu usahawan supaya ringgit kita diapungkan dalam negara supaya ringgit kita menjadi lebih kukuh.

"Itu yang saya mohon kita berbelanja di negara kita dan pastikan kita bantu usahawan supaya dapat eksport produk kita, maka keuntungannya lebih tinggi berbanding ringgit yang kita ada, jadi kita dapat hasil yang lebih banyak.

"Secara tidak langsung, kita membantu ekonomi negara dan tidak perlu risau inflasi yang akan datang kerana kita sudah bersedia, kita ada produk kita sendiri, kita tidak perlu bergantung kepada negara luar.

"UDA akan giatkan lagi aktiviti membantu usahawan di masa akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall di sini, Sabtu lalu.

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia peringkat Negeri Johor berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Jelajah karnival di Johor adalah lokasi ketiga dan membabitkan penyertaan sebanyak 133 usahawan dari pelbagai bidang sekali gus merancakkan perniagaan dan sosio ekonomi tempatan.

Image

Johor menjadi lokasi ketiga selepas Odeon Walk, Kuala Lumpur dan Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang sebelum seterusnya akan diadakan Angsana Ipoh Mall, Perak dan Serambi Teruntum Kuantan, Pahang.

Menurut Norliza, UDA berjaya menghimpunkan 300 gerai membabitkan usahawan dengan produk mereka di dua lokasi karnival sebelum ini dengan keseluruhan jualan mencecah RM6.5 juta.

"Pencapaian ini menunjukkan UDA prihatin dalam menyediakan ruang serta peluang perniagaan terutamanya kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang turut terkesan ekoran pandemik yang melanda negara.

"Platform ini juga mampu menonjolkan kembali produk perusahaan PMKS dan seterusnya mengukuhkan serta mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Image

"Karnival ini turut membantu melonjakkan kembali jualan dan seterusnya menjana keuntungan dalam perniagaan yang diusahakan," katanya.

Bagi seorang pempamer di karnival berkenaan, Aznah Abdul Hamid, 68, dia memuji usaha UDA menganjurkan karnival itu sekali gus memberi peluang kepada usahawan baharu atau lama untuk mempromosikan produk masing-masing.

Aznah yang juga seorang pelakon veteran berkata, dengan adanya karnival seumpama itu, dia dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan sesama usahawan selain dapat bertukar pendapat dan pengalaman.

AZNAH antara usahawan yang menyertai Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia.

"Pada mulanya, saya suka-suka sahaja sertai program jualan dengan artis, tetapi apabila dapat tawaran daripada UDA untuk turut sama dalam karnival ini, saya terus bersetuju.

"Sambutan terhadap produk jualan saya ketika karnival di Pulau Pinang baru-baru ini sangat baik dan saya harap dapat sertai karnival seumpama ini di negeri lain pada masa akan datang," katanya.

Pelakon yang dikenali sebagai Aznah Hamid itu pernah mengeluarkan produk kecantikan, selain menjual minyak wangi, maruku dan tudung.

Beliau juga bercadang mengembangkan perniagaan dengan mengeluarkan produk makanan seperti snek di masa hadapan.

Pada masa sama, Aznah berharap peluang yang lebih banyak akan sentiasa diberikan oleh kerajaan kepada usahawan untuk terus berniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 12:25 PM