EWAN Thanie akui usaha UDA yang sentiasa tampil menyokong pengusaha di Malaysia untuk mengetengahkan produk mereka harus dipuji. - FOTO Hiasan.
EWAN Thanie akui usaha UDA yang sentiasa tampil menyokong pengusaha di Malaysia untuk mengetengahkan produk mereka harus dipuji. - FOTO Hiasan.
Izz Laily Hussein

KARNIVAL UDA 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Angsana Johor Bahru Mall di sini, sejak Jumaat lalu hingga semalam berjaya mendapat sambutan luar biasa pengunjung dengan kelainan dibawakan iaitu menggabungkan Kempen Hartanah UDA Ria dan Program Usahawan USHAniaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad (UDA) Datuk Mohd Salem Kailany berkata, matlamat penganjuran karnival kali ini adalah sebagai serampang dua mata bagi menggiatkan aktiviti keusahawanan dan sosio ekonomi setempat, sekali gus mempromosikan rangkaian produk hartanah terbaharu UDA di seluruh negara.

"Inisiatif UDA dalam menganjurkan karnival seumpama ini adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pelanggan UDA serta semua pihak yang sentiasa menyokong UDA sehingga ke hari ini.

"Saya berharap semoga pembangunan yang dilaksanakan oleh UDA terutamanya di negeri Johor dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan bergerak seiring dengan hasrat kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, ia diharap dapat meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan kerukunan hidup masyarakat majmuk dengan pendekatan keterangkuman bagi memastikan perpaduan dan kestabilan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, pada Sabtu.

Hadir merasmikan majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon.

Mengulas mengenai produk hartanah UDA, Mohd Salem berkata, sepanjang karnival berlangsung, UDA akan mempromosikan produk hartanahnya di seluruh negara seperti di Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang serta projek terbaharu di Sarawak.

"Kami menyasarkan untuk melancarkan hartanah UDA di Johor iaitu projek UDA Heights pada bulan Oktober ini selain melancarkan projek hartanah teres dua tingkat dan kedai pejabat dua dan tiga tingkat di Bandar UDA Utama, pada tahun hadapan.

"Kami berharap semoga pelancaran produk hartanah baharu UDA ini akan merancakkan lagi industri pembangunan hartanah di negeri Johor," katanya.

Sementara itu, bagi Program Usahawan USHAniaga, Mohd Salem berkata, UDA menawarkan insentif kepada usahawan seperti gerai jualan, pameran agensi, kelas bimbingan dan konsultasi 'Biz Clinic', padanan perniagaan 'Business Matching', sesi dialog Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta bual bicara usahawan.

Kita memberi ruang kepada usahawan dan rakan kolaborasi memasarkan produk serta perkhidmatan mereka dengan lebih meluas. 

"Ia juga platform bagi menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

Pada masa sama, seorang usahawan terlibat, Pengurus (Operasi dan Peruncitan) Kirana, Ewan Thanie Shamsudin berkata, usaha UDA yang sentiasa tampil menyokong pengusaha di Malaysia untuk mengetengahkan produk mereka harus dipuji.

Katanya, sejak bekerjasama dengan UDA tahun lalu, Kirana yang membawakan produk kraftangan dan sebagainya sudah berjaya mengumpul lebih 30 usahawan untuk dibantu dalam mempromosikan hasil produk mereka.

"Program Usahawan USHAniaga ini adalah inisiatif UDA untuk naik taraf peniaga atau pengusaha tempatan dalam pelbagai bidang. Walaupun UDA adalah pemaju hartanah, tetapi mereka melebarkan cabang dalam bidang peruncitan untuk membantu usahawan tempatan.

"UDA memperkenalkan Kirana untuk kita membawa produk dalam negara yang diambil dari 13 negeri untuk diketengahkan seperti batik, songket dan sebagainya," katanya.

UDA menyasarkan pembabitan seramai 500 usaha wan dalam Karnival UDA 2023 yang mampu mencatatkan nilai jualan sebanyak RM10 juta. 

Untuk rekod, tahun lalu UDA beroleh sebanyak RM11.71 juta nilai jualan dengan penyertaan 656 usahawan direkodkan. 

Karnival UDA 2023 akan ke tiga lagi lokasi iaitu di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 27 hingga 29 Oktober nanti, sebelum ke Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 hingga 25 November serta Angsana Ipoh Mall, Perak pada 8 hingga 10 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 12:42 PM