Morten Walk tampil kabin F&B yang menarik.
Morten Walk tampil kabin F&B yang menarik.
Nor Hanisah Kamaruzaman

MENELUSURI Sungai Melaka yang mengalir di tengah bandar raya Melaka sambil menikmati keindahan panorama kota bersejarah adalah salah satu aktiviti menarik bagi pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Jika dahulu Sungai Melaka menjadi laluan penting untuk aktiviti perdagangan, kini sungai ini terus masyhur sebagai lokasi tumpuan bagi aktiviti pelancongan di bandar Melaka.

Melihat pada peluang dan ruang itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya UDA Holdings Berhad (UDA) mengambil inisiatif membangunkan pusat perniagaan 'Hab Keusahawanan Morten Walk' di persisiran Sungai Melaka bertujuan mempergiat aktiviti keusahawanan seterusnya memacu ekonomi di negeri Melaka.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany berkata, pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk adalah salah satu inisiatif UDA bagi memperkasa golongan usahawan.

ImageMorten Walk bakal menjadi platform bagi mengukuhkan pasaran produk PKS tempatan.

Menurutnya, pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten ini adalah salah satu usaha UDA untuk menyediakan pusat perniagaan khusus, seterusnya memberi manfaat kepada usahawan tempatan supaya mereka dapat meluaskan perniagaan di ruang niaga yang strategik, kondusif dan menarik.

"Usahawan perlu merebut peluang ini dengan menjalankan perniagaan mereka di lokasi tumpuan iaitu di tengah bandar serta pusat kunjungan pelancong bagi menaik taraf perniagaan dan penjenamaan masing-masing.

"Dalam masa sama, pembangunan hab ini juga dapat mewujudkan rantaian bekalan (ekosistem) Keusahawanan di kawasan tersebut seterusnya merancakkan ekonomi setempat," katanya.

"Hab Keusahawanan Morten Walk juga bakal menjadi platform bagi mengukuhkan pasaran produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan melonjakkan lagi potensi usahawan-usahawan PKS di bawah agensi MEDAC serta jabatan kerajaan negeri.

"Kami berharap supaya usaha murni UDA bersama kerajaan negeri dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya dan berdaya saing di Melaka," katanya.

Hab Keusahawanan Morten Walk yang terletak di Kampung Morten ini bakal menyediakan 100 ruang niaga merangkumi lot tetap berupa kabin kontena yang berhias cantik dengan konsep ceria dan lot terbuka untuk promosi.

ImageHab Keusahawanan Morten Walk pergiat aktiviti keusahawanan seterusnya memacu ekonomi negeri Melaka.

Sebanyak sembilan kemudahan tambahan serta lot terbuka yang boleh menempatkan aktiviti promosi seperti ruang pameran, pesta makanan, pesta buah-buahan, pesta kebudayaan dan kesenian, mini konsert serta pusat riadah kanak-kanak.

Selain daripada itu, Morten Walk juga mempunyai sebuah dewan tertutup berkapasiti 500 orang juga untuk disewa dan dibuka kepada orang ramai bagi mengadakan pelbagai majlis seperti kenduri kendara.

Ruang niaga yang disediakan sesuai bagi pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai serbaneka, kedai IT dan sebagainya.

Dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.13 ekar dengan nilai pembangunan RM8 juta, Hab Keusahawanan Morten Walk terletak di lokasi utama di Bandar Melaka berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang terkenal seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.

Pembangunan berkonsepkan kabin kontena yang moden dan trendy ini dijangka mula beroperasi pada April 2022 dan bakal menawarkan bantuan kepada usahawan yang layak seperti kadar sewaan di bawah harga pasaran, insentif berupa kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:41 AM