FESTIVAL Tanglung Taiwan yang memasuki tahun ke-35 penganjurannya.
FESTIVAL Tanglung Taiwan yang memasuki tahun ke-35 penganjurannya.
Suzalina Halid


Acara terbesar di Taiwan, Festival Tanglung Taiwan yang memasuki tahun ke-35 penganjurannya bakal menjadi tarikan utama pelancong ke negara berkenaan khususnya ke Tainan yang menjadi tuan rumah kali ini.

Penganjuran festival itu yang bermula 24 Februari lalu hingga 10 Mac ini dijangka berupaya menarik 10 hingga 15 juta pengunjung daripada pelbagai negara termasuk Malaysia.

Menariknya, bagi penganjuran kali ini Tainan bakal diterangi dengan cahaya berwarna-warni daripada 300 tanglung yang 'dibina' kira-kira 10,000 tenaga kerja dari Taiwan Tourism dan Bandar Tainan di kawasan seluas 50 hektar selain 40 hasil seni.

Ketua Pengarah Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Taiwan (MOTC), Dr Chou Yung-hui berkata, tarikan utama festival kali ini adalah binaan tanglung naga dengan keseluruhan ketinggian mencecah 22 meter.

Beliau berkata, pembinaan tanglung naga ini mengambil masa kira-kira tiga bulan sejak November tahun lalu yang direka oleh artis terkenal negara itu, Peng Li-chen.

"Tanglung utama tahun ini menggabungkan bahan tenaga suria antaranya EVA dan unsur hijau mampan seperti karbon 60, yang menunjukkan komitmen festival tanglung terhadap pembangunan mampan.

"Binaan tanglung naga ini yang diinspirasikan daripada arca naga di Kuil Daitian Tainan, mampu memikat pengunjung dengan pelbagai paparan warna selain ia boleh berpusing secara 360 darjah," katanya pada sidang media.

Festival Tanglung Taiwan kembali ke Tainan iaitu bekas bandar purba berusia 400 tahun dengan populasi 1.6 juta penduduk, selepas 16 tahun ia diadakan di beberapa bandar lain.

Tainan bukan sahaja memiliki sejarah membanggakan namun juga menjadi perintis dalam tenaga hijau selain berjaya mewujudkan gabungan tradisi dan kemodenan yang harmoni di bandar berkenaan.

TANGLUNG naga setinggi 22 meter rekaan artis terkenal Taiwan ambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
TANGLUNG naga setinggi 22 meter rekaan artis terkenal Taiwan ambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Dalam masyarakat Tiong Hua, Pesta Tanglung yang disambut pada hari ke-15 kalendar lunar juga dikenali sebagai 'Tahun Baharu Kecil.'

Tradisi penting ketika Tahun Baharu antaranya membabitkan aktiviti membawa tanglung dan melawat kuil.

Pada masa sama, Yung-hui berkata, secara keseluruhan festival tanglung ini menampilkan dua kawasan pameran utama, membabitkan 'Tanglung Rel Berkelajuan Tinggi' dan 'Kawasan Tanglung Anping.'

"Kawasan Tanglung Rel Berkelajuan Tinggi terdiri daripada tujuh zon pameran besar memaparkan pelbagai kawasan tanglung dengan pelbagai tema selain tanglung utama 'Naga Datang ke Taiwan.'

"Sementara Kawasan Tanglung Anping pula terletak di Taman Lin Mo Niang, Kawasan Rekreasi Anping dan di sepanjang Terusan Anping, dengan tema 'Tainan 400' dan 'Sungai Bersejarah," katanya.

KIRA-KIRA 10,000 tenaga kerja terbabit dalam menjayakan festival tanglung di Tainan.
KIRA-KIRA 10,000 tenaga kerja terbabit dalam menjayakan festival tanglung di Tainan.

Pada masa sama, Yung-hui berkata, lebih mengujakan sambutan festival kali ini bersifat istimewa apabila turut membabitkan penggunaan teknologi antaranya Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau berkata, festival ini adalah warisan generasi ketiga dengan gabungan beberapa teknologi termasuk tiga dimensi (3D) dengan mata kasar yang menonjolkan ciri-ciri geografi unik Taiwan dan menghubungkan ekologi dengan tarikan pelancong.

"Pengunjung juga akan dihiburkan dengan lebih 100 persembahan menarik daripada artis Taiwan dan luar negara," katanya.

Beliau berkata, bagi pelancong dari luar, mereka boleh menebus cenderahati di tapak festival dengan menunjukkan pasport sepanjang acara yang bermula pada jam 6 petang hingga 9 malam.

"Mereka berpeluang menerima tanglung tahun 2024 berunsur naga secara percuma, cenderahati edisi terhad, dan tiket untuk menonton persembahan di kawasan tanglung utama dari 25 Februari lalu hingga 9 Mac.

"Tahun ini festival turut membabitkan penyertaan 18 bandar dari empat negara iaitu Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Belize.

DITERANGI cahaya berwarna-warni daripada 300 tanglung.
DITERANGI cahaya berwarna-warni daripada 300 tanglung.

"Kita amat mengalu-alukan penyertaan dari negara luar untuk turut serta dalam festival tanglung ini," katanya.

Beliau berkata, festival tanglung diiktiraf Discovery sebagai 'Festival Terbaik Dunia' dengan menerima pujian dari media antarabangsa sebagai Disneyland tanpa permainan 'roller coaster.'

Katanya, tahun ini pula ia dipilih sebagai satu daripada empat tarikan dunia oleh agensi pelancongan terkenal.

Sementara itu, Datuk Bandar Tainan, Huang Wei-che, berkata penganjuran festival ini adalah masa terbaik bagi pelancong mengunjungi Tainan yang unik kerana ia adalah sebuah bandar yang menyaksikan gabungan antara teknologi baharu dan sistem tradisional.

Beliau berkata, selain itu aspek pengangkutan juga mudah yang mana pelancong boleh menaiki pengangkutan awam yang selesa untuk ke Tainan dari Taipei termasuk keretapi berkelajuan tinggi mengambil masa hanya sejam.

"Kita berharap keindahan Tainan mampu menarik kunjungan pelancong dengan paparan pertanian, mesra alam dan kemajuan teknologi tinggi," katanya.

Festival tanglung Taiwan yang menerima kunjungan lebih 200,000 pengunjung pada hari raptai sahaja, dirasmikan Presiden Taiwan, Tsai Ing Wen, hari ini.

Secara keseluruhannya seramai 110 media antarabangsa antaranya dari Jepun, Korea Selatan dan Indonesia dijemput membuat liputan festival ini termasuk 20 wakil dari Malaysia yang dibawa Taiwan Tourism Administration.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:30 AM