SUASANA damai dapat dirasakan  di Taman Tasik Taiping.
SUASANA damai dapat dirasakan di Taman Tasik Taiping.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


ADA apa dengan Taiping? Bandar yang bermula sebagai sebuah pekan kecil melombong bijih tima sehingga menjadi ibu negeri yang pertama di Perak itu kini menjadi sebutan ramai.

Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 di Berlin, Jerman, Rabu lalu.

Selain terkenal dengan jolokan Bandar Pencen, Taiping turut diiktiraf sebagai Bandar Warisan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Ia adalah ibu kota bagi Larut, Matang dan Selama namun tahukah anda bahawa berdasarkan sejarah, nama asal Taiping ialah Klian Pauh?

ORANG ramai boleh sertai aktiviti memberi helang makan di Kuala Sepetang.
ORANG ramai boleh sertai aktiviti memberi helang makan di Kuala Sepetang.

PELANCONG memberi makanan kepada badak air  di Zoo Taiping.
PELANCONG memberi makanan kepada badak air di Zoo Taiping.

Klian bermaksud lombong manakala Pauh pula ialah sejenis buah mangga bersaiz kecil dan dalam bahasa Cina, Taiping bermaksud aman atau damai.

Pemilihan nama Taiping dikatakan tercetus akibat pertelingkahan kumpulan Gee Hin dan Hai San, pendatang dari China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di Larut.

Ketika itu, pengikut kedua-dua kumpulan ini begitu ramai di Klian Pauh.

Namun, apa yang benar-benar menjadikan Taiping sebuah bandar istimewa bukan sahaja kepada penduduk setempat malah pelancong dari dalam dan luar negara?

Terdapat banyak lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong antaranya Taman Tasik Taiping yang mula dibuka pada 1880.

Taman awam pertama dan terbesar di Malaysia itu (seluas kira-kira 64 hektar) pada asalnya adalah kawasan perlombongan bijih timah ketika zaman penjajahan British.

Ia memiliki 10 tasik indah yang dihiasi deretan pokok angsana serta pelbagai daya tarikan iaitu jambatan zig-zag, trek jogging, ruang refleksologi, taman Jepun dan kolam teratai.

MURAL menjadi tarikan pelancong untuk bergambar di sekitar Taiping.
MURAL menjadi tarikan pelancong untuk bergambar di sekitar Taiping.

BOT membawa kayu untuk membuat arang di Sungai Selinsing.
BOT membawa kayu untuk membuat arang di Sungai Selinsing.

Namun, jika Taman Tasik Taiping adalah taman yang pertama di Malaysia, Zoo Taiping pula adalah zoo yang pertama di negara ini.

Zoo berkeluasan 12.14 hektar itu memuatkan 1,300 haiwan yang dibiarkan bergerak bebas dalam habitat semula jadi.

Bagi pencinta haiwan, di sinilah anda dapat mendekati dan mempelajari banyak sifat dan suasana persekitaran sebenar haiwan.

Zoo terbabit juga adalah pelopor kepada Night Safari di negara ini yang membolehkan pengunjung melihat ragam serta aktiviti haiwan terbabit pada waktu malam.

Kunjungan ke Taman Tasik Taiping juga kurang lengkap jika tidak singgah di Bukit Larut atau nama lamanya, Maxwell Hill.

Kawasan tanah tinggi itu cukup dikenali kerana memiliki pemandangan alam semula jadi yang memukau dan sekiranya cuaca mengizinkan, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan sehingga ke Selat Melaka, Pulau Pangkor atau Pulau Pinang.

Selain itu, Taiping turut popular dengan destinasi eko pelancongan di kawasan Kuala Sepetang atau nama lamanya Port Weld.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Kuala Sepetang antaranya memancing di atas bot bersama nelayan, melihat kelip-kelip di Kampung Dew, memerhati habitat burung, melawat kilang pemprosesan arang tradisional dan banyak lagi.

MUZIUM Ngah Ibrahim jadi tarikan penggemar sejarah.
MUZIUM Ngah Ibrahim jadi tarikan penggemar sejarah.

Taiping turut memiliki hutan paya bakau terbesar di Malaysia iaitu Hutan Paya Laut Matang seluas lebih 40,000 hektar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dari segi pengurusan ekosistem bakau sebagai yang terbaik di dunia.

Kawasan yang digazetkan sebagai hutan simpan sejak 1906 itu kaya dengan spesis flora dan fauna yang hidup di kawasan bakau berlumpur seperti pokok bakau, udang, ketam, udang karang, pelbagai jenis ikan serta banyak lagi.

Aktiviti menyusuri sungai Kuala Sepetang pada waktu malam bagi melihat kelip-kelip adalah antara aktiviti yang menarik untuk dilakukan di kawasan ini.

Pendek kata, meskipun ia sebuah bandar lama namun Taiping sememangnya memiliki keistimewaan tersendiri dan kaya dengan pelbagai tarikan.

Tidak hairanlah jika bandar warisan kebanggaan rakyat Perak itu dipilih sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 9:01 AM