AKSI peserta di garisan permulaan sebaik dilepaskan.
AKSI peserta di garisan permulaan sebaik dilepaskan.
Mohd Azam Shah Yaacob

Masuk dalam keadaan bersih, pulang penuh dengan selut. Itu antara pengalaman 1,400 peserta perlumbaan lasak Fire X Ride Jamboree 2016 (FXR2016) di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini. Mana tidaknya, hujan sehari sebelum perlumbaan menyebabkan kawasan trek sejauh 40 kilometer (km) ini berselut dan berlecak.

Malah, sebaik peserta melepasi jarak tiga kilometer pertama dan memasuki kawasan ‘off-road’, permukaan berlecak dan berselut itu ditempuhi sehing­ga tamat kayuhan. Boleh dikatakan sepanjang kayuhan, cabaran sentiasa mengiringi peserta dan bagi yang ‘dahagakan’ cabaran lasak, FXR2016 memang penuh dengan halangan dan kejutan.

Dalam perlumbaan ini, peserta menempuh lima kawasan berbukit yang benar-benar menguji ‘adrenalin’.

Paling ketara apabila sebaik tiba di kawasan kuari berbukit di Le­sung Batu, lebih separuh peserta terpaksa menolak ‘jentera’ berikutan tenaga yang semakin menyusut. Itu belum lagi termasuk adegan ‘memikul’ basikal apabila menempuh kawasan anak sungai.

Bagaimanapun, sudah menjadi adat perlumbaan ada yang menjadi juara atau sekadar menambah koleksi ‘medal penamat’, kebanyakan peserta rata-rata berpuas hati dengan cabaran FXR2016 sejauh 40 km itu. Ini kerana ia tidak sekadar memberikan pengalaman mengasah teknik kayuhan yang berharga buat mereka, sebaliknya menye­marakkan lagi aktiviti sukan basikal lasak.

Begitu antara beberapa gambaran dalam FXR2016 kali ke-6, acara sukan basikal lasak dianjurkan Kelab Basikal Lasak Cycle X MTB Alor Gajah bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Paling membanggakan, siri basikal lasak yang memasuki penganjuran tahun keenam ini turut dinanti oleh peserta asing. Buktinya, seramai 80 orang peminat sukan lasak dari luar negara ikut serta seperti Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kanada.

Penyelaras Program FXR2016, Mohd Roszei Nong Chik berkata, FXR2016 bukan sekadar medan mencung­kil bakat dan mengasah teknik berbasikal, malah me­nyatukan peminat sukan basikal selain mempomosikan Alor Gajah sebagai destinasi sukan basikal lasak.

Katanya, sebanyak tujuh kategori dipertan­dingkan membabitkan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Super Mama, Junior, Veteran, Fat Bike dan Heavyweight 95 kilogram (kg).

“Oleh kerana ini tahun keenam penganjuran FXR, kita juga mengadakan pertandingan sampi­ngan bagi kanak-kanak bawah tiga tahun menerusi pertandingan basikal push-bike (basikal tolak). Penyertaan sangat menggalakkan dan bercadang untuk meneruskannya pada acara akan datang lagi,” katanya.

Menurut Mohd Roszei, bagi edisi 2017 pula, pihaknya dalam peranca­ngan untuk mewujudkan trek ‘off-road’ terpanjang iaitu melebihi 100 km.

“Insya-Allah, kalau berjaya kita laksanakan, kita akan buat kerjasama dengan Malaysia Book Of Record (MBOR) pula,” katanya.

Dalam perlumbaan FXR2016, Muhd Fauzan Lufti mewakili pasukan PDRM Giant memenangi kategori Terbuka Lelaki manakala Terbuka Wanita dimenangi oleh Azian Alias.

Zamirul Adlisham daripada KHS Factory Team mengungguli kategori Junior manakala peserta pasukan SBS Giant, Ah Yong meraih gelaran Veteran.

Kategori Fat Bike dimenangi Mohd Razif Salleh daripada pasukan The Secret Society MIC manakala Mariam Kamal daripada pasukan XIRLOLO memenangi kategori Super Mama dan Mohd Syafiq Salmin daripada pasukan TCT memenangi kategori Heavyweight 95 kg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:01 AM