Hafiz Ithnin

APABILA difikirkan semula dengan hanya RM40 seorang dengan membawa sekurang-kurangnya empat rakan yang gemarkan aktiviti mengembara aktiviti lasak, ternyata amat berbaloi untuk menerokai tiga gua di Kampung Jelawang, Dabong, Kelantan ini.

Mana tidaknya dengan bayaran itu anda dapat menikmati panorama unik dan mahal di Gua Keris yang dikenali sebagai 'God Light'! yang sebenarnya turut menjadi kegilaan 'Mat Saleh' kalau ke sana.

Penulis yang berpeluang ke sana bersama rakan-rakan media lain menerusi anjuran Tourism Malaysia ternyata tidak sabar untuk bergambar sambil 'bermandi' limpahan cahaya eksklusif itu.

Perjalanan kami bermula di Kompleks Gua Ikan yang diketuai penunjuk arah alam semula jadi, Bukhari Mat yang sempat 'belanja' beberapa keping foto yang diambilnya sebelum ini kerana gua-gua itu menjadi lubuk bergambar pengunjung yang membuatkan hati penulis melonjak untuk segera ke sana.

Dari Kompleks Gua Ikan, Bukhari membawa masuk ke kawasan gua berkenaan menerusi Gua Pagar yang sebenarnya turut mempunyai daya tarikannya tersendiri apabila terasa seperti berada di sebuah dunia asing yang cukup unik.

Bukhari berkata, dia difahamkan Kompleks Gua Ikan itu 150 juta tahun dulu adalah laut dan buktinya dapat dilihat di dalam Gua Pagar apabila terdapatnya tinggalan rumpai laut yang sudah menjadi fosil.

BATUAN yang membentuk keris di Gua Keris.  FOTO: Aswadi Alias
BATUAN yang membentuk keris di Gua Keris. FOTO: Aswadi Alias

PEMANDANGAN menarik di salah satu gua yang diterokai.  FOTO: Aswadi Alias
PEMANDANGAN menarik di salah satu gua yang diterokai. FOTO: Aswadi Alias

Jelasnya, Kompleks Gua Ikan itu adalah milik Majlis Daerah Dabong berkeluasan kira-kira enam hektar yang mencakupi beberapa buah gua selain Gua Pagar, Keris dan Ikan juga Gua Gelap, Tembakau dan Manggis.

"Bagi mereka yang ingin menerokai gua ini mereka perlu menggunakan perkhidmatan penunjuk arah profesional dan perlu mematuhi syarat lain seperti tidak boleh membuang sampah, membuat bising serta tidak boleh meninggalkan barangan peribadi di kawasan itu.

"Pengunjung boleh memilih destinasi gua yang mereka inginkan. Biasanya untuk menerokai tiga gua mengambil masa antara dua hingga tiga jam. Namun tempoh masa itu akan lebih lama kerana pengunjung asyik untuk merakam memori di dalamnya," katanya.

Ternyata penjelasan yang diberikan Bukhari itu tepat kerana pada mulanya jadual aktiviti penerokaan kami dimaklumkan hanya mengambil masa tiga jam, tersasar sehingga lima jam! Dek penangan keindahan setiap satu gua yang diterokai itu.

Paling menarik perhatian pastinya berada di dalam Gua Keris kerana terdapatnya 'siraman' cahaya matahari yang memasuki celah batu gua atau 'God Light.'

Apatah lagi, ketika mengunjungi lokasi itu bersama rakan-rakan media yang membawa kamera canggih masing-masing pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk mempunyai gambar terbaik di dalam gua itu.

GOD Light yang menjadi tumpuan.  FOTO: Aswadi Alias
GOD Light yang menjadi tumpuan. FOTO: Aswadi Alias

Bagi mereka yang ingin merakam 'God Light,' perlu tiba di dalam Gua Keris selewat-lewatnya pada jam 10 pagi kerana cahaya matahari pagi yang melalui laluan lubang gua berkenaan tidak lama sekitar sejam sahaja.

Bukhari memaklumkan kepada penulis jika datang pada sebelah petang, fenomena itu tidak dapat dijanjikan kepada pengunjung kerana limpahan cahaya matahari terbenam tidak sebaik pada waktu pagi.

Ketika mengunjungi Gua Pagar sebelum menuju ke Gua Keris, terdapat juga beberapa lokasi menarik untuk merakam gambar di lokasi itu kerana formasi stalagmit dan stalaktit unik serta lapisan batu bersinar.

Menariknya apabila anda mengunjungi gua ini bersama penunjuk arah profesional bukan sahaja dapat merakam gambar yang menarik kerana mereka tahu mengenai lokasi terbaik malah, golongan itu turut menceritakan perihal kejadian formasi yang berlaku bersandarkan kajian yang pernah dilakukan di gua-gua berkenaan. Selain itu, pastinya mereka juga memikul tanggungjawab supaya anda dalam keadaan selamat.

BUKHARI menerangkan mengenai batuan di gua kepada pengamal media.  FOTO: Aswadi Alias
BUKHARI menerangkan mengenai batuan di gua kepada pengamal media. FOTO: Aswadi Alias

Mengenai Gua Ikan pula, ia juga mempunyai kecantikan tersendiri apabila terdapat laluan air di bawahnya. Selain itu, terdapat juga 'bumbung' gua yang agak rapat menjadikan aktiviti pengembaraan lasak ini lebih menarik.

Bukhari turut memaklumkan kepada penulis, selain menerokai Gua Ikan, pengunjung juga dapat melakukan aktiviti mendaki tembok batu yang mempunyai 23 laluan pendakian mencabar serta boleh juga menguji kemampuan diri melakukan via ferrata.

Sekembalinya penulis ke Kuala Lumpur, merasakan Dabong di Kuala Krai adalah destinasi aktiviti lasak yang menarik kerana boleh dikatakan pelbagai kegiatan pelancongan ekstrem terdapat di sana. Jadi kepada anda yang gemarkan aktiviti lasak, jom ke Dabong!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 7:00 AM
FENOMENA sinaran matahari masuk di celahan batu dalam Gua Keris antara tarikan eksplorasi tiga gua di Kampung Jelawang, Dabong.  FOTO: Aswadi Alias
FENOMENA sinaran matahari masuk di celahan batu dalam Gua Keris antara tarikan eksplorasi tiga gua di Kampung Jelawang, Dabong. FOTO: Aswadi Alias