MENGUJI mental dan fizikal.
MENGUJI mental dan fizikal.
Lizza Imelia M Sulanah


BERAKIT meredah jeram (water rafting) sememangnya memberi cabaran berbeza dan kepuasan tersendiri kepada penggemar kegiatan aktiviti lasak.

Antara aspek yang sentiasa diberi keutamaan dalam aktiviti itu adalah kekal fokus dan utamakan semangat berpasukan.

Justeru, bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kecil Selama, Perak mengadakan aktiviti berakit meredah jeram untuk menyahut seruan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota.

Ia diadakan di Hub Eco Pelancongan Ulu Selama dengan tujuan untuk menguji tahap fizikal dan mental peserta termasuk empat anggota wanita.

Peserta, Koperal Mohd Sahrol Abd Razak mengakui cukup teruja dapat terbabit dalam aktiviti berakit meredah jeram itu kerana ia memberi cabaran yang berbeza.

Kata Mohd Sahrol, tidak seperti aktiviti lasak lain, berakit meredah jeram memerlukan tumpuan dan kerjasama berpasukan.

MEMERLUKAN tumpuan penuh dan kerjasama berpasukan.
MEMERLUKAN tumpuan penuh dan kerjasama berpasukan.

"Memang mendebarkan terutama ketika meredah laluan yang mencabar dan meneruni jeram berbatu.

"Fizikal dan mental perlu sentiasa bersedia kerana sukar untuk menjangkakan cabaran yang akan dihadapi.

"Namun, dalam mencabar ia tetap ada keseronokkan tersendiri dan puas apabila dapat menghabiskan cabarannya," katanya yang juga penggemar sukan lasak.

Bagi Inspektor Wan Faizul Wan Hassan pula, aktiviti itu membuatkan peserta lebih mengenali dan menghargai keindahan alam sekitar.

FIZIKAL dan mental perlu sentiasa bersedia kerana sukar untuk menjangkakan cabaran yang akan dihadapi.
FIZIKAL dan mental perlu sentiasa bersedia kerana sukar untuk menjangkakan cabaran yang akan dihadapi.

Katanya, kegiatan riadah sebegitu sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan seharian.

"Keseronokan melakukan aktiviti berakit meredah jeram boleh membantu mendekatkan diri kepada alam semula jadi.

"Sepanjang laluan jeram akan disajikan panorama indah hutan hujan tropika dan kita boleh nikmati sepuas-puasnya sambil menghayati kebesaran ciptaan yang Esa," katanya.

Selain untuk memeriahkan HSN, aktiviti itu juga bertujuan untuk mempromosikan pusat tarikan pelancong terutama aktiviti lasak di Selama kepada masyarakat luar.

Hub Eco Pelancongan Ulu Selama itu bukan sahaja sesuai untuk melakukan aktiviti berakit meredah rejam, malah kegiatan riadah lain seperti mendaki, trekking dan permainan ATV.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian.

Keindahan alam semula jadi yang dimiliki jelas menggamit kunjungan orang ramai.

Apa pun, Kehadiran Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Mohd Sabri Saad dalam aktiviti itu turut memeriahkan lagi sambutan HSN 2021 kali ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dan Ketua Bahagian Pengurusan, Asisten Superintenden Azhar Abu Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 7:00 AM