PUTRAJAYA destinasi eko pelancongan
PUTRAJAYA destinasi eko pelancongan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


CUTI sekolah adalah waktu terbaik untuk membawa keluarga tersayang bercuti atau bersiar-siar bagi menghabiskan masa bersama.

Selain sekitar ibu kota Kuala Lumpur, antara lokasi menarik lain di Lembah Klang yang boleh dikunjungi adalah Putrajaya.

Dikenali sebagai pusat pentadbiran negara, Putrajaya juga antara destinasi eko pelancongan utama untuk seisi keluarga.

Ia menjadi destinasi pelancongan yang sering menjadi tumpuan warga kota meluangkan masa bersama keluarga dan rakan kerana lokasinya yang begitu dekat dengan ibu negara.

Untuk beriadah contohnya, pengunjung boleh ke Taman Wetland Putrajaya yang sesuai bagi aktiviti joging, melihat burung, berbasikal, memancing, berkayak dan sebagainya.

Taman Saujana Hijau yang terletak di Presint 11 juga pula destinasi wajib jika anda mengunjungi Putrajaya.

Uniknya, taman itu dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan jenis gimnosperma tropika dan subtropika selain turut memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati panorama Putrajaya dengan lebih jelas.

Malah taman bercirikan Eropah dan Inggeris yang dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu mempunyai keluasan kira-kira 47 hektar dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Saujana Utara, Tengah dan Selatan.

Ia sesuai untuk mereka yang gemarkan kehijauan dan landskap unik.

KAWASAN Anjung Floria Presint 4 juga tidak kurang menariknya
KAWASAN Anjung Floria Presint 4 juga tidak kurang menariknya

Dalam pada itu, jika anak remaja anda gemar merakam momen indah dan mahukan lokasi yang 'Instagrammable,' bawalah keluarga ke Astaka Morocco yang terletak di Presint 1.

Tempat menarik untuk kaki Instagram itu sememangnya mempunyai keindahan dan keunikan yang tersendiri. Sentuhan seni bina dari Afrika Utara yang menakjubkan mewujudkan suasana pavilion tipikal Maghribi.

Ia memberikan pengalaman yang berbeza seperti berada di negara berkenaan.

Selain itu, kawasan Anjung Floria Presint 4 juga tidak kurang menariknya untuk dikunjungi.

Pelbagai aktiviti rekreasi boleh dilakukan antaranya berbasikal, berkayak, mandi pantai atau sekadar berkelah bersama seisi keluarga.

ASTAKA Morocco yang unik
ASTAKA Morocco yang unik

Jika perut berkeroncong, jangan risau kerana terdapat banyak tempat makan menarik sama ada hidangan tempatan mahu pun cita rasa barat di sekitar Putrajaya.

Apa yang perlu, tepuk dada tanya selera dan poket sahaja!

Sementara itu, Putrajaya juga akan menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Khamis ini. Justeru, sekitar kawasan pusat pentadbiran negara itu termasuk taman-taman awam kini diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 6:07 AM