KAWASAN sawah padi si Sekinchan, Selangor antara lokasi wajib untuk bergambar.
KAWASAN sawah padi si Sekinchan, Selangor antara lokasi wajib untuk bergambar.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SIAPA yang tiada akaun Instagram hari ini?

Dari awal remaja hingga warga emas, kebanyakannya memiliki akaun Instagram tidak kira untuk tujuan suka-suka, diari peribadi hinggalah sebagai medium penghubung ahli keluarga.

Kebanyakan hantaran biasanya berkisarkan aktiviti harian, makanan dan lokasi menarik yang dianggap 'Instagramable.'

'Instagramable' adalah perkataan yang sering digunakan warga netizen bagi menggambarkan sesuatu lokasi menarik yang bernilai untuk dipaparkan di laman sosial berkenaan.

Di Lembah Klang, ada banyak lokasi yang sering dikunjungi orang ramai untuk merakam kenangan di kawasan yang dianggap 'Instagramable' ini.

Antaranya, Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Bangunan yang mengambil nama sempena Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad itu mula dibina pada 1894.

Disebabkan keunikan rekaan seni binanya, bangunan yang menjadi antara mercu tanda ibu negara itu sehingga kini menjadi tumpuan ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing.

Bagi yang menggemari suasana lebih 'happening' pula, boleh berkunjung ke kawasan sekitar Changkat, Bukit Bintang.

Lokasi di sekitar lorong di Jalan Alor kini dihiasi dengan mural dan seni jalanan tiga dimensi (3D) menarik yang menjadi tumpuan ramai.

BANGUNAN Sultan Abdul Samad
BANGUNAN Sultan Abdul Samad

Ia adalah lokasi paling sesuai untuk bergambar sepuas mungkin tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Selain itu, kawasan rekreasi awam seperti Lake Garden di ibu negara juga sering menjadi pilihan pengguna media sosial berkenaan.

Antara lokasi yang menarik di sekitar Taman Botani Perdana ialah Tugu Negara, Panggung Anniversari, Muzium Negara, Galeri Seri Perdana, Taman Bunga Raya, Taman Orkid dan Taman Burung Kuala Lumpur.

Jika anda berjiwa seni, tangga di Sasana Kijang, Muzium Bank Negara dan Galeri Seni mungkin menjadi pilihan utama.

Terletak di Jalan Dato Onn, Sasana Kijang adalah sebuah muzium moden yang dpenuhi dengan pameran bersejarah mata wang lama rantau Asia dan menempatkan galeri seni.

Banyak 'spot' menarik yang boleh bergambar, namun yang paling menjadi pilihan adalah di ruang tangga melingkarnya.

Lokasi tangga eskalator pusat beli-belah NU Sentral di KL Sentral juga dikatakan menjadi lokasi pilihan ramai pengguna Instagram.

ESKALATOR di NU Sentral dikatakan sebagai eskalator paling popular di Malaysia ketika ini hingga diberi gelaran ‘Instagram Eskalator’.
ESKALATOR di NU Sentral dikatakan sebagai eskalator paling popular di Malaysia ketika ini hingga diberi gelaran ‘Instagram Eskalator’.

Eskalator itu dikatakan sebagai eskalator paling popular di Malaysia ketika ini hingga diberi gelaran 'Instagram Eskalator.'

Apa tidaknya, dekorasi geometri yang memukau pandangan membuat orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar di situ.

Di pusat pentadbiran negara, Putrajaya pula, kawasan Astaka Morocco kini menjadi tumpuan ramai untuk bergambar.

Ia terletak bersebelahan Taman Botani Putrajaya dan seni binanya diinspirasikan oleh istana di Maghribi.

Dari pintu gerbang yang gah sehingga kepada pancuran air mewah di taman bunga, pengunjung mesti rambang mata untuk memilih lokasi untuk bergambar.

Sesuai dengan keindahannya, pengunjung ke Astaka Morocco dikenakan tiket masuk iaitu RM3 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.

Jauh dari kesibukan ibu kota, kawasan sawah padi di sekitar Sekinchan, Selangor turut menjadi lokasi yang 'Instagramable.'

ASTAKA Morocco di Putrajaya turut menjadi tumpuan.
ASTAKA Morocco di Putrajaya turut menjadi tumpuan.

Pemandangan indah kawasan sawah padi yang menghijau sememangnya bernilai jika dipaparkan di media sosial.

Masa paling sesuai adalah ketika sebelum habis musim menuai iaitu antara September hingga November dan jangan lupa memakai krim pelindung sinar suria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:15 AM