PERSEMBAHAN bunga api diadakan tepat 12 tengah malam pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria malam ini. FOTO Bernama.
PERSEMBAHAN bunga api diadakan tepat 12 tengah malam pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria malam ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Program Ambang Merdeka 2022 di Anjung Floria, Presint 4 di sini malam ini yang turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 ahli Keluarga Malaysia yang membanjiri kawasan tapak berkenaan sejak 10 malam.

Ismail Sabri tiba di Anjung Floria itu kira-kira 11.30 malam diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beberapa menteri Kabinet juga turut hadir antaranya Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tepat detik 12 tengah malam, laungan merdeka sebanyak tujuh kali berkumandang di udara diikuti lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarham Sudirman Arshad, lagu Negaraku dan lagu patriotik lain.

Pertunjukan bunga api selama lebih lima minit turut menerangi dan mewarnai langit Putrajaya diiringi sorakan orang ramai yang teruja memeriahkan program bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 dalam keadaan cuaca yang baik pada malam ini.

ISMAIL Sabri mengibarkan Jalur Gemilang ketika Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria malam ini. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri mengibarkan Jalur Gemilang ketika Sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria malam ini. FOTO Bernama.

Terdahulu, pengunjung disajikan dengan persembahan artis popular seperti Ella, Haqiem Rusli, Man Bai dan Ameng Spring dan tarian pelbagai kaum.

Orang ramai dan anak kecil kelihatan memegang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan setelah dua tahun tiada sebarang sambutan besar-besaran disebabkan pandemik Covid-19.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 1:07 AM