Balqis Jazimah Zahari


TINDAKAN individu melakukan aktiviti pencerobohan secara haram dengan mengorek tanah di dalam Gua Matsurat, Ipoh, dibimbangi akan memusnahkan tinggalan sejarah, sekali gus memberi ancaman besar kepada keseluruhan struktur gua itu.

Gua berdekatan dengan pusat tumpuan pelancongan Taman Rekreasi Gunung Lang dan tersenarai di bawah tapak geologi Geopark Kebangsaan itu sebelum ini pernah diceroboh apabila terdapat cubaan membuat kuil.

Presiden Kelab Ventrex, Mohd Fadly Md Noor berkata, gua dipenuhi tinggalan sejarah itu sejak kebelakangan ini dilihat sudah mula kembali menjadi sasaran beberapa individu tidak bertanggungjawab.

"Pada awal tahun, kami menghadapi masalah pencerobohan dengan cubaan membuat kuil dan selepas tindakan daripada wakil rakyat dan Taman Negeri pada sekitar Februari lalu semua 11 patung berjaya dikeluarkan.

"Semasa cubaan membuat kuil itu, aktiviti pengorekan tanah aktif dilakukan apabila kami melihat mereka cuba membesarkan kawasan ruang gua dan tidak dapat dipastikan tujuan," katanya ketika menyertai lawatan ke dalam gua berkenaan, hari ini.

Mohd Fadly berkata, sehingga sekarang aktiviti pengorekan tanah didapati masih berjalan cuma tidak kerap dan dipercayai berlaku pada sebelah malam dan tidak disedari komuniti setempat serta pasukannya bertugas untuk mengawal segala aktiviti di situ.

Menurutnya, terdapat kesan korek terbaharu di sekitar kawasan itu seminggu lalu dan kini keseluruhan terdapat tujuh lubang iaitu dua korekan besar dan beberapa korekan kecil lain.

Katanya, pihaknya menjangkakan ada cubaan untuk mencari harta karun atau kristal di dalam gua ini berdasarkan korekan yang hanya dibuat di bahagian tertentu sahaja.

"Aktiviti pengorekan tanah secara haram itu kemungkinan mengancam struktur batu kapur dan mengakibatkan rekahan.

"Gua sangat berdekatan dengan laluan kereta api, kemungkinan sedikit gegaran akan mengakibatkan sesetengah bahagian struktur batu kapur runtuh.

"Sekiranya korekan tanah dibuat berdekatan dengan struktur batu kapur ia mungkin pecah, kami tidak mahu korekan itu memberi impak pecahan batu daripada bahagian atas gua batu kapur," katanya.

MOHD FADLY menunjukkan salah satu aktiviti pengorekan tanah secara haram yang berlaku di dalam Gua Matsurat. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
MOHD FADLY menunjukkan salah satu aktiviti pengorekan tanah secara haram yang berlaku di dalam Gua Matsurat. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Sementara itu, penduduk Kampung Gunung Matsurat, Sujab Sayutti,44, berkata, masalah pencerobohan itu berlarutan sejak lapan tahun lalu sebaik selepas pembangunan di tapak projek berdekatan.

Katanya, sejak lapan tahun lalu, mereka pernah membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetapi setakat ini belum mendapat maklum balas atau tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 7:44 PM