PERJALANAN meredah anak sungai di dalam Gua Bukit Jernih.
PERJALANAN meredah anak sungai di dalam Gua Bukit Jernih.
Zuhainy Zulkiffli


SUKAR bergerak kerana kaki tersekat di dalam selut kira-kira 0.3 meter (paras lutut) antara pengalaman mencabar dan lucu yang dilalui ketika menyertai aktiviti meneroka gua di Geotapak Bukit Jernih, Perlis baru-baru ini.

Meredah anak sungai di dalam gua kini menjadi tarikan pelancong khususnya bagi penggemar aktiviti sukan lasak di Negeri Indera Kayangan.

Terletak tidak jauh dari Padang Besar dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Keteri, lokasi berkenaan turut menawarkan aktiviti perkhemahan serta pendakian bukit.

Penulis berpeluang melakukan aktiviti 'wet caving' bersama tiga peserta dewasa dan tiga kanak-kanak dengan bantuan pembimbing, Salikin Che Salimin, 40, atau lebih dikenali dengan Pak Kim dalam kalangan penggiat aktiviti sukan lasak serta mendaki.

Perjalanan meredah anak sungai di dalam gua sejauh kira-kira 500 meter itu mengambil masa kira-kira satu jam dan sesuai disertai kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dengan mengenakan pelampung yang disediakan.

Pelbagai bentuk batu menyerupai objek tertentu boleh dilihat di dalam gua yang terbentuk 220 juta tahun lalu itu. Antaranya batu yang menyerupai kepala dinasour T-Rex, wajah manusia dan kepala gajah.

Di dalam anak sungai pula terdapat hidupan antaranya ikan air tawar, ketam dan kepah selain kelawar yang berlegar-legar di siling gua setinggi 10 meter.

PELBAGAI bentuk batu yang menyerupai objek tertentu boleh dilihat di dalam Gua Bukit Jernih.
PELBAGAI bentuk batu yang menyerupai objek tertentu boleh dilihat di dalam Gua Bukit Jernih.

Selain perlu membawa lampu suluh atau 'head lamp,' pemakaian kasut yang sesuai penting ketika meredah anak sungai kerana tapak kasut mungkin boleh tertanggal ketika tersekat di dalam lumpur.

Menurut Pak Kim, sebelum ini Geotapak Bukit Jernih adalah lokasi suram yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan pengunjung.

Namun, kini beberapa pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Bukit Jernih dan Perlis Mountaineering Savior (Pemos) mengambil peluang membangunkan semula kawasan itu dengan pelbagai tarikan.

"Kawasan geotapak ini sudah dinaik taraf dan dipulihkan sejak tahun lalu malah pelbagai aktiviti sedang dirangka bagi menarik semula kunjungan orang ramai ke sini.

SUFI (kiri) tidak melepaskan peluang meneroka Gua Bukit Jernih sambil ditemani ibunya, Madiha.
SUFI (kiri) tidak melepaskan peluang meneroka Gua Bukit Jernih sambil ditemani ibunya, Madiha.

"Selain menyediakan tapak perkhemahan dan penerokaan gua, pengunjung boleh melihat keindahan sebahagian Perlis dengan menyertai aktiviti pendakian.

"Beberapa kesan rupa bumi yang berusia ratusan tahun juga boleh dilihat di sini, misalnya batu krastone terletak berhampiran kawasan parkir geotapak," katanya yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang rekreasi," katanya.

Salikin berkata, geotapak berkenaan bukan sahaja menjanjikan pengalaman unik malah lokasi juga kaya dengan biogeografi, flora dan fauna.

Antaranya air terjun yang tercetus dari mata air di bawah tanah atau dipanggil 'air timbul' dalam kalangan penduduk setempat.

PENULIS berpeluang melakukan aktiviti 'wet caving' bersama tiga peserta dewasa dan tiga kanak-kanak dengan bantuan seorang pembimbing.
PENULIS berpeluang melakukan aktiviti 'wet caving' bersama tiga peserta dewasa dan tiga kanak-kanak dengan bantuan seorang pembimbing.

"Bagi merancakkan lagi industri pelancongan sukan di negeri ini, kami merancang mewujudkan 'via-ferrata' di atas bukit dan aktiviti itu mempunyai peminatnya yang tersendiri.

"Ada juga inisatif pemilik tanah di sini yang giat membina inap desa di dalam gua dan ia bakal menjadi tarikan baharu selain unik," katanya.

Sementara itu, Sufi Raisha Adelia Shafizi, 7, tidak melepaskan peluang meneroka Gua Bukit Jernih dengan ditemani ibunya, Madiha Ahmad, 33.

Madiha berkata, anak tunggalnya itu memang meminati aktiviti mencabar dan teruja apabila berpeluang memasuki gua.

"Pada mulanya Sufi Raisha agak takut dan tidak yakin dapat berjalan dalam susana gua yang gelap, namun ketika separuh perjalanan dia benar-benar teruja serta banyak pertanyaan.

"Kemudahan di geotapak ini semuanya lengkap selain ada beberapa aktiviti yang perlu dicuba dan paling penting ialah pengunjung perlu menjaga kebersihan kawasan," katanya yang tinggal di Kuala Nerang, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 7:00 AM