KERANDA kayu yang dipanggil samang.
KERANDA kayu yang dipanggil samang.
Hafiz Ithnin


JIKA bertandang ke Lahad Datu di Sabah anda jangan lepaskan peluang menerokai Gua Tapadung yang begitu unik kerana tersirat pelbagai kisah masyarakat setempat.

Apatah lagi ada lebih 10 keranda purba yang masih kekal di dalamnya membolehkan pengunjung melihat lebih dekat kepercayaan terdahulu masyarakat Idahan.

Penulis yang berkesempatan mengunjungi destinasi itu bersama delegasi media tempatan menerusi program lawatan media Tourism Sabah baru-baru ini ternyata terpukau dengan keunikan dan keindahan gua berkenaan.

Terletak di kawasan Segama, gugusan Gua Tapadung berada sekitar 21 kilometer dari bandar Lahad Datu. Penulis difahamkan untuk ke gua berkenaan bukan sahaja boleh diakses menerusi jalan darat, malah sungai.

Kunjungan kami disambut Persatuan Kebudayaan Suku Kaum Idahan Lahad Datu yang memberikan maklumat mengenai Gua Tapadung yang sememangnya begitu dekat dengan mereka.

Menerusi maklumat awal diberikan kepada delegasi media dalam lawatan itu, gugusan Gua Tapadung adalah habitat semula jadi burung walit.

Gua itu mempunyai sarang burung walit jenis putih. Gugusan Gua Tapadung terletak di bahagian barat laut bandar Lahad Datu.

Lokasi gugusan gua itu berselerak di tebing Sungai Segama. Terdapat sekurang-kurangnya 39 gua dalam gugusan Gua Tapadung. Setiap gua mempunyai nama tersendiri yang diberikan suku kaum.

Antaranya Samang Buat, Pusu Ronggos, Balabag Sulai Itoi, Balabag Sulai Gayo, Takin Bulod, Takin Tengah, Takin Apo, Tisob Malinog, Budtak, Besai, Pesu Long, Tugog, Bulud Parai dan Kayu Limo.

PENGUNJUNG merakam gambar keranda kuno yang masih utuh tersimpan dalam gua.
PENGUNJUNG merakam gambar keranda kuno yang masih utuh tersimpan dalam gua.

ANTARA ukiran yang ada di keranda kuno dalam gugusan Gua Tapadung.
ANTARA ukiran yang ada di keranda kuno dalam gugusan Gua Tapadung.

Presiden Persatuan Kebudayaan Suku Kaum Idahan Lahad Datu, Mursid Mohd Rais, 70, yang turut menyertai lawatan itu berkata, gugusan Gua Tapadung sarat dengan penceritaan masyarakat awal yang menghuni di lokasi itu sejak ratusan tahun dahulu.

Katanya, gugusan Gua Tapadung ditemui seorang lelaki Idahan bernama Apoi@Innik Apoi ketika memburu rusa. Innik Apoi dikatakan tidak beragama atau pagan. Bapa Innik Apoi ialah Lepos Teripo manakala ibunya bernama Duli Nipon Wog. Innik Apoi berkahwin dengan Sulid Liud Lang.

"Suatu ketika isteri Innik Apoi mengidam ingin memakan daging rusa. Bagi memenuhi idaman isteri tercinta, Innik Apoi keluar berburu bersama seekor anjing bernama Siud Rapot.

"Perburuan Innik Apoi bermula di perkampungannya di Lembah Sungai Tingkayu, Kunak. Seekor rusa ganjil berupa keemasan yang kemudian dipanggil Payau Emas menarik perhatian Innik Apoi ketika berburu," katanya.

Tambahnya, Innik Apoi bersama anjingnya itu terus berusaha memburu Pavau Emas sehingga memakan masa agak lama dengan perjalanan yang agak jauh.

"Penjejakkan Payau Emas membawa Innik Apoi kepada penemuan Gua Madai di Kunak, Gua Baturung di Kunak, Gua Tegerung atau Sigarung di Semporna dan Gua Tapadung di Lahad Datu.

"Semua gua ini kemudian menjadi perkampungan nenek moyang Idahan ketika zaman prasejarah iaitu zaman batu Paleolitik sehingga pada zaman batu Neolitik," katanya.

Tambahnya, pada zaman logam suku kaum Idahan tidak lagi tinggal dalam gua kerana mereka sudah pandai membuat rumah daripada pada kayu dan menggunakan daun nipah sebagai atap.

Namun, jika ada yang meninggal dunia jenazahnya dikebumikan dalam gua yang dulunya menjadi perkampungan mereka.

MENIKMATI keindahan dalam salah satu gugusan Gua Tapadung.
MENIKMATI keindahan dalam salah satu gugusan Gua Tapadung.

Katanya lagi, sebelum memeluk Islam, suku kaum Idahan sudah mengamalkan istiadat pengebumian jenazah tersendiri. Pada zaman prasejarah iaitu zaman logam, masyarakat Idahan yang meninggal dunia disimpan dalam keranda kayu balak dipanggil samang.

"Samang diukir dengan bentuk kepala seladang atau 'lisong' dalam bahasa Idahan. Lisong bagi orang Idahan adalah sejenis binatang yang mempunyai sifat semula jadi yang gagah, berani dan kuat.

"Oleh itu, simbolik keranda berukiran kepala lisong adalah melambangkan penghormatan tertinggi terhadap jenazah si mati atas jasa ketika hayatnya," katanya.

Ketika menerokai gugusan Gua Tapadung juga, penulis melihat secara dekat keranda purba yang masih utuh di beberapa lokasi di dalamnya.

Malah, untuk menerokai kawasan itu juga agak mencabar dan sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti pelancongan eko dan lasak kerana ada antara laluannya yang perlu melalui lubang kecil.

Tidak sekadar mengenai keranda purba, gugusan Gua Tapadung juga mempunyai kecantikan alam semula jadi tersendiri terutama formasi batuan di dalamnya.

Pada hemat penulis, jika bertandang ke Lahad Datu, tidak lengkap sekiranya tidak menerokai produk pelancongan yang jarang diterokai ini kerana ia mempunyai keunikan alam semula jadi dan sejarah masyarakat terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 7:01 AM