MESIN tenun sari boleh dilihat dalam kedai sari di bandar diraja Klang.
MESIN tenun sari boleh dilihat dalam kedai sari di bandar diraja Klang.
Nurul Husna Mahmud


TERDAPAT pelbagai kaedah untuk menyuburkan kembali patriotisme termasuk menyusuri tempat bersejarah yang paling dekat dengan tempat tinggal anda!

Peluang menyusuri sejarah Bandar Diraja Klang, Selangor baru-baru ini atas undangan Tourism Malaysia dan Tourism Selangor antara pengalaman bermakna buat penulis.

Pemandu pelancong, Jasmin Mohd Zain yang membawa 15 peserta terdiri daripada wakil media dan ejen pelancongan berkongsi maklumat pengenalan mengenai sejarah asal usul bandar berkenaan.

Antara yang menarik ialah nama Klang berasal dari perkataan 'terusan' atau 'jalan air' kerana menjadi pelabuhan penting dari dahulu sehingga sekarang.

Sebelum perjalanan dimulakan, rombongan kami menikmati sarapan pagi di kopitiam yang dianggarkan mencecah usia 80 tahun iaitu Chong Kok Kopitiam.

Sajian dinikmati dirasakan penuh nostalgia apabila suasana dalam kafe penuh dan sibuk dengan pelbagai pengunjung tanpa mengira bangsa.

Ini turut mengimbau kemeriahan dan semangat muhibah rakyat tempatan menikmati sarapan di warung seperti sebelum pandemik Covid-19.

KOLEKSI basikal kesayangan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah digunakan ketika mendekati rakyat jelata.
KOLEKSI basikal kesayangan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah digunakan ketika mendekati rakyat jelata.

Destinasi pertama pastinya mengunjungi lokasi paling ikonik iaitu 'White House' apabila seluruh segenap bangunan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz disaluti warna putih.

Kisah pembinaan galeri itu juga tidak kurang menariknya iaitu tanda kasih seorang anak kepada bapa apabila Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj membina galeri itu sebagai tanda ingat kepada ayahandanya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang sentiasa dekat di hati rakyat.

Lebih 2,000 koleksi peribadi dipamerkan dan antara yang menarik termasuk koleksi basikal peribadi yang digunakan baginda untuk mendekati rakyat.

Jelajah warisan diteruskan dengan mengunjungi lokasi Chennai Silk Saree yang dahulunya adalah bangunan Chartered Bank yang memiliki pengaruh seni bina Belanda.

LEBIH 2,000 koleksi barangan peribadi Sultan Salahuddin Abdul Aziz dipamerkan.
LEBIH 2,000 koleksi barangan peribadi Sultan Salahuddin Abdul Aziz dipamerkan.

Ciri-ciri asal bangunan ini dahulunya ada jambatan menghubungkan antara bangunan utama dengan bangunan di belakang yang dipercayai kuarters pekerja.

Di laluan bawah jambatan atau ruang menyerupai 'terowong' dikatakan pernah menempatkan kandang kuda kerana terdapat binaan menyerupainya.

Satu lagi bangunan warisan yang wajib dikunjungi di Klang ialah Istana Alam Shah iaitu antara struktur paling tegap dalam bandar diraja apabila bangunan ketika ini dibina sejak 1960 dan melalui proses baik pulih pada 2000.

Namun kewujudan istana sebenarnya jauh lebih awal iaitu pada 1905 ketika pemerintahan sultan kelima, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah.

Istana berkenaan menjadi lokasi rasmi untuk sebarang upacara pertabalan, hari keputeraan dan urusan rasmi.

ISTANA Alam Shah mercu sistem beraja di bandar Klang.
ISTANA Alam Shah mercu sistem beraja di bandar Klang.

Malah istana terbabit mempunyai 15 bilik dan diperbuat daripada kayu dan batu marmar. Antara ruang yang ada adalah Balai Menghadap, Balai Tetamu, Balai Pengampunan, Balai Santapan Diraja dan banyak lagi.

Meskipun rombongan kali ini hanya dapat meninjau dari jauh, namun tidak dinafikan ciri-ciri unik termasuk kubah serba emas cukup menonjol di atas bukit di bandar Klang.

Selain tiga lokasi terbabit, rombongan kali ini turut disertai Pengurus Besar Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan Pengurus Pembangunan Produk dan Pakej Tourism Selangor, Fadhirul Anuar Salleh itu turut mengunjungi lokasi warisan lain termasuk Kelab Diraja Selangor, Little India dan Masjid India Muslim di Jalan Tengku Kelana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:20 AM