KEADAAN kini jalan Tengku Kelana,  masih terdapat struktur bangunan lama yang kini terkenal dengan "little India Klang". FOTO Osman Adnan
KEADAAN kini jalan Tengku Kelana, masih terdapat struktur bangunan lama yang kini terkenal dengan "little India Klang". FOTO Osman Adnan
Zaitie Satibi

SETIAP kali menjelang perayaan Deepavali, Jalan Tengku Kelana di Klang, Selangor pasti menjadi tumpuan khususnya masyarakat India untuk membeli-belah. Kawasan berkenaan turut dikenali sebagai Little India.

Terdapat lebih 100 kedai di kawasan membeli-belah ini yang dikatakan didirikan sekitar kurun ke-18. Antara barang keperluan yang dijual di sepanjang jalan ini seperti tekstil, kraf tangan, barangan logam dan manisan tradisi.

Little India adalah satu daripada 11 lokasi tarikan pelancong untuk berjalan dalam laluan Jejak Warisan Bandar Diraja Klang yang dikenal pasti Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Tourism Selangor. Tapak warisan berkenaan boleh dikunjungi dengan aktiviti berjalan menerusi lawatan yang disediakan percuma bersama pemandu pelancong profesional.

Klang yang pernah menjadi ibu negeri Selangor mempunyai banyak bangunan lama tinggalan sejarah. Biarpun semua bangunan itu mempunyai nilai estetika yang tersendiri, tidak ramai mengenali keistimewaan bandar diraja ini.

Matlamat utama Jejak Warisan Bandar Diraja Klang adalah memperkenalkan Klang sebagai bandar diraja yang sarat dengan peninggalan sejarah di samping mengekalkan bangunan lama untuk generasi akan datang seterusnya menarik lebih ramai pelancong menerokai dan merasai keindahan warisan ditinggalkan.

BANGUNAN Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah berusia 110 tahun.
BANGUNAN Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah berusia 110 tahun.

Hanya dengan berjalan membabitkan jarak kira-kira tiga kilometer, pelancong berpeluang meneroka dan mendalami sejarah bandar yang menampilkan deretan ikon pelancongan popular, sekali gus menjadikan Klang antara destinasi percutian popular di Selangor.

Baru-baru ini, penulis dan beberapa rakan media lain dibawa menelusuri Jejak Warisan Bandar Diraja Klang anjuran Tourism Selangor. Kami dipandu pemandu pelancong, Jasmin Mohd Zain. Jelajah kami bermula di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah.

Galeri ini mula dibina pada 2002 Sultan Selangor ke-9, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memperingati jasa ayahandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Bangunannya yang berusia 110 tahun direka A B Huback dan bercirikan neo klasik antara bangunan tertua di Klang.

Seterusnya kami dibawa ke bangunan lama Chartered Bank bersebelahan galeri diraja. Mengikut sejarah, bangunan putih berciri kolonial ini pernah menjadi institusi kewangan yang pertama wujud di Klang.

JALAN Tengku Kelana mendapat jolokan Little India dengan deretan bangunan lama.
JALAN Tengku Kelana mendapat jolokan Little India dengan deretan bangunan lama.

Kini bangunan itu dimiliki Chennai Silk iaitu gedung menjual tekstil dan kain sutera India. Biarpun pemilik baru membuat pengubahsuaian, tetapi reka bentuk dan struktur asal gaya neo klasik masih dikekalkan hingga ke hari ini.

Kami kemudian ke Kelab DiRaja Klang tidak jauh dari bangunan Chartered Bank. Kelab ini dipercayai diasaskan pada 1901 untuk aktiviti sosial dan rekreasi ahli kelab dari Eropah serta British.

Uniknya, rekaan dalaman kelab ini berunsurkan kapal dagang, malah banyak kelengkapan diambil dari kapal untuk dijadikan hiasan seperti kompas klasik, pengemudi kapal, lampu keselamatan kapal dan tingkap kaca sisi kapal.

Sebelum rombongan media dibawa ke Little India, kami meninjau Istana Alam Shah yang menjadi ikon penting bagi Bandar Diraja Klang. Walaupun hanya melihat dari kejauhan, bangunannya tersergam indah di atas bukit.

PAMERAN menempatkan maklumat salasilah keturunan dan koleksi peribadi milik keluarga diraja Selangor.
PAMERAN menempatkan maklumat salasilah keturunan dan koleksi peribadi milik keluarga diraja Selangor.

Istana ini asalnya adalah Istana Mahkota Puri yang dibina pada 1905 di bawah pemerintahan Sultan Selangor ke-5 hingga kemangkatan baginda pada 1938. Ia kemudian dirobohkan dan di tapak yang sama dibina Istana Alam Shah. Pada 2000, Sultan Salahuddin menitahkan supaya Istana Alam Shah diubah suai mengikut ciri-ciri moden dapat dilihat pada seni bina sekarang.

Lokasi seterusnya ke Masjid India Muslim Tengku Kelana di Little India. Bangunan asal masjid ini dibina pada 1910 untuk aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan penduduk India Muslim yang tinggal di Klang.

Bangunan asal masjid dirobohkan dan beberapa kali dibina semula pada 1974 dan 2007. Pembinaan semula mencerminkan seni bina Islam dan reka bentuk bermotifkan kegemilangan Islam pada zaman Andalusia.

Berhampiran masjid adalah Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja yang asalnya dibina British serta masih mengekalkan reka bentuk Victoria. Uniknya, balai bomba ini mempunyai muzium bomba yang mempamerkan koleksi barangan menyelamat sejak era 1990-an hingga hari ini antaranya pili bomba, siren dan beberapa dokumen.

Di sebelah balai bomba itu adalah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan apa yang menariknya dalam kawasan IPD berkenaan terdapat satu lagi tinggalan sejarah lama Klang iaitu Gedung Raja Abdullah yang dibina pada 1856.

Lokasi lain dalam laluan jalan kaki Jejak Warisan Bandar Diraja Klang adalah gereja Our Lady of Lourdes Klang yang juga antara bangunan tertua di Klang. Bangunannya bercirikan reka bentuk neo gothic. Di sebelahnya pula Sekolah Convent Klang yang ditubuhkan pada 1924.

REKAAN dalaman Kelab Diraja Klang bercirikan kapal.
REKAAN dalaman Kelab Diraja Klang bercirikan kapal.

MASJID India Muslim Tengku Kelana mercu tanda di Little India.
MASJID India Muslim Tengku Kelana mercu tanda di Little India.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:02 PM