PUAS dapat menakluk puncak Gunung Angsi.
PUAS dapat menakluk puncak Gunung Angsi.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BERSEMANGAT dan tidak putus asa. Meskipun ada yang 'pancit' awal dan ada yang berjalan turun dengan tempang gara-gara tapak kasut tercabut, namun rata-rata peserta mendaki, Kembara Srikandi Prihatin (KSP) Ke Gunung Angsi, Negeri Sembilan baru-baru ini teruja dengan program yang diadakan.

Apa tidaknya, berbeza dengan pendakian lain, program yang disertai 40 wanita pelbagai lapisan masyarakat itu cukup santai dan mempunyai pengisian tersendiri.

Bukan hanya dari sekitar Lembah Klang, malah ada peserta yang sanggup datang jauh dari Perak, semata-mata minat terhadap sukan mendaki.

Masing-masing menunjukkan semangat yang tinggi untuk menawan puncak setinggi 825 meter (m) berkenaan meskipun dalam cuaca panas membahang.

Pendakian bermula seawal 8 pagi, mendaki melalui pintu masuk Bukit Putus.

Sebelum itu, semua peserta terlebih dahulu melakukan senaman pemanas badan dan diberikan taklimat mengenai aspek keselamatan ketika pendakian oleh Ketua KSP, Ummu Farah HaidarZulkifli.

BACAAN doa oleh Ahmad Fakhri.
BACAAN doa oleh Ahmad Fakhri.

Bagi penggemar aktiviti mendaki, Gunung Angsi di Kuala Pilah bukan destinasi asing untuk diperkenalkan.

Lokasinya yang terletak tidak begitu jauh dari ibu kota dan laluan trek mendaki tahap sederhana sering menjadikannya tumpuan ramai terutama pada hujung minggu.

Bagi pendaki berpengalaman, masa untuk sampai ke puncak mungkin hanya sekitar satu atau satu jam 30 minit.

Namun bagi mereka yang pertama kali mendaki gunung itu atau yang kurang stamina, masa yang diambil antara dua hingga tiga jam.

Perjalanan turun pula biasanya lebih mudah dan kebanyakan pendaki mengambil masa antara satu jam hingga dua jam sahaja.

Pendaki perlu melalui kawasan bertangga, laluan mendatar, laluan mencanak naik dan mendaki turun seketika sebelum sampai ke puncak.

Penulis yang turut menyertai pendakian itu juga teruja kerana kemudahan yang ada turut diuruskan dengan baik dan laluan mencanak naik juga disediakan tali keselamatan.

PENDAKI perlu melalui laluan bertangga di permulaan pendakian.
PENDAKI perlu melalui laluan bertangga di permulaan pendakian.

Pondok berehat dan bangku untuk melepaskan lelah turut disediakan di denai pendakian yang terjaga rapi.

Di puncaknya pula terdapat papan tanda dan beirut lama serta pondok untuk kemudahan pendaki berehat.

Apa yang istimewanya, program pendakian itu turut disertai Penasihat Persatuan Kembara Negara (PKN), Tan Sri Khalid Yunus serta Presiden PKN, Ahmad Fakhri Abu Samah yang pernah menakluki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.

Ummu Farah berkata, tujuan utama pendakian itu diadakan adalah bagi meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2022 selain bertujuan menghimpunkan penggiat sukan dan pendaki wanita dalam satu aktiviti rekreasi.

Katanya, program seperti itu bukan sahaja dapat menerapkan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, malah pada masa sama membuktikan aktiviti mendaki juga sesuai untuk wanita di pelbagai peringkat umur.

Kata beliau, kebiasaannya pembabitan wanita dalam sukan akan berkurang, malah berakhir sama ada kerana berkahwin, mempunyai anak atau peningkatan usia.

Selain itu, budaya di Malaysia juga menjadikan wanita kurang cenderung untuk terbabit dalam aktiviti sukan rekreasi yang majoritinya disertai lelaki.

Katanya, walaupun penyertaan wanita dalam bidang sukan rekreasi semakin meningkat, namun ia masih mengundang pelbagai tanggapan tertentu.

ANTARA cabaran mendaki Gunung Angsi.
ANTARA cabaran mendaki Gunung Angsi.

"Kewanitaan seseorang tidak berkurang hanya kerana dia melakukan aktiviti lasak, jadi adalah tidak adil menuding jari kerana wanita juga mempunyai hak untuk melakukan aktiviti sukan atau rekreasi walau apa juga status mereka.

"Selain itu, wanita tidak boleh dinafikan hak untuk bersukan kerana status, pakaian, latar belakang ataupun kerana pandangan masyarakat terhadap mereka.

"Justeru, selari dengan misi dan visi KSP, kami mengadakan program rekreasi sebegini bagi mempromosikan gaya hidup sihat di samping menyediakan platform untuk menggalakkan penyertaan serta memperkasakan wanita melalui sukan rekreasi," katanya.

Sementara itu, di akhir program, cabutan bertuah turut diadakan sebagai menghargai penyertaan peserta yang menyokong usaha dan bersama-sama merealisasikan program itu.

KSP bersama Khalid dan Ahmad Fakhri.
KSP bersama Khalid dan Ahmad Fakhri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:05 AM