Zatul Iffah Zolkiply


KEINDAHAN dan keunikan Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu, Terengganu tidak dapat disangkal terutama bagi pencinta alam semula jadi.

Dikelilingi ratusan pulau kecil dengan tumbuhan subur hutan hujan tropika selain kehijauan air tasik antara terapi terbaik bagi mereka yang mahu melarikan diri daripada kesibukan kota raya.

Keindahan yang ada di tasik buatan manusia berkeluasan 38,000 hektar ini menjadikan Tasik Kenyir antara destinasi percutian pilihan ramai kerana pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti di sini.

Menyingkap kembali sejarah tasik ini, ia diwujudkan sebagai kawasan tadahan air sekitar tahun 1980-an.

Bagaimanapun, paras air di Sungai Kenyir naik mendadak berikutan pembinaan

Empangan Jenagor hingga menenggelamkan sembilan perkampungan, hutan, bukit dan gunung sekali gus membentuk 340 buah pulau yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selepas pembinaan Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud yang siap pada 1985, tasik berkeluasan 2091.99 kilometer persegi ini turut mengubah landskapnya.

Walaupun masih kekal sebagai tempat tadahan air, keunikan flora dan fauna yang ada di sini menarik perhatian pemancing ikan air tawar, pengembara hutan, pendaki gunung dan pengkaji dan penyelidik sehingga Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi di Terengganu.

Tasik Kenyir menawarkan pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk seisi keluarga seperti bermalam di atas rumah bot, memancing, mandi-manda di air terjun, berkayak atau berakit, bermain bersama ikan kelah, memberi gajah makan, berjalan di dalam hutan atau gua iaitu Gua Bewah atau Gua Taat dan mendaki Gunung Gagau.

AKTIVITI di Santuari Ikan Kelah di Tasik Kenyir.
AKTIVITI di Santuari Ikan Kelah di Tasik Kenyir.

Tidak lupa bagi penggemar flora dan fauna beberapa taman seperti taman orkid, taman herba dan taman rama-rama antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung yang datang ke tasik buatan ini.

Selain itu, operasi Zon Bebas di Pengkalan Gawi juga mampu melonjakkan lagi tasik ini sebagai destinasi pilihan pelancong.

RUMAH bot.
RUMAH bot.

Ketika ini, buat pengunjung terutama kaum ibu yang mahu membeli-belah barang bebas cukai seperti coklat, pinggan mangkuk dan beg boleh berkunjung ke kios yang dibuka di Pengkalan Gawi.

Pembangunan dibawa oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri membawa 1,001 kemudahan bagi memastikan keselesaan pengunjung.

Malah, pelbagai acara menarik dirangka sepanjang tahun bagi memastikan tasik buatan manusia ini menjadi destinasi pilihan yang bukan hanya dapat melonjakkan sektor pelancongan negeri tetapi ekonomi penduduk setempat.

Tahun depan, buat julung kalinya Ketengah akan menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021) bagi meningkatkan kapasiti ekonomi penggiat pelancongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

AIR terjun Lasir di Tasik Kenyir.
AIR terjun Lasir di Tasik Kenyir.

TMK2021 ini dirangka dengan pelbagai pengisian acara pada setiap bulan bermula Januari hingga Disember 2021 seperti Program Kenali Tasik Kenyir, Jelajah Ekspresi Media Tasik Kenyir, Media & Blogger Exploration To Kenyir, Kenyir Fishing Grand Prix, Kenyir Fun Ride, Kenyir Explorace, Kenyir Festival, Kenyir Bird & Nature Guest, Kenyir Open Water Swimming & Stand Up Paddleboard Festival, Kenyir Kayak Challenge dan Kenyir Explorace 4x4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 7:01 AM