MENDENGAR arahan jurumudi penting untuk melancarkan aktiviti berkayak arus deras.
MENDENGAR arahan jurumudi penting untuk melancarkan aktiviti berkayak arus deras.
Hafiz Ithnin

Berkayak arus deras sejauh kira-kira tujuh kilometer (km) ibarat tidak terasa jauhnya kerana keseronokan menikmati aktiviti lasak itu sambil menikmati panorama indah di sepanjang Sungai Ulu Selim di Tanjung Malim, Perak

Sememangnya penulis sudah beberapa kali melakukan aktiviti lasak itu di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia tetapi untuk di lokasi berkenaan, ia adalah kali pertama.

Ternyata jemputan daripada Majlis Daerah Tanjung Malim untuk mempromosikan produk pelancongan itu boleh dipuji kerana lokasinya yang strategik, kurang sejam setengah memandu dari Kuala Lumpur.

Pada hari penulis mengunjungi lokasi berkenaan, Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjung Malim bersama pegawai kanan dan beberapa agensi yang terbabit dalam sektor pelancong Perak turut serta dalam aktiviti itu.

BARISAN peserta yang menyertai program meninjau potensi produk pelancongan di Tanjung Malim.
BARISAN peserta yang menyertai program meninjau potensi produk pelancongan di Tanjung Malim.

Tujuannya mereka ingin meninjau dan mengenal pasti potensi produk pelancongan yang boleh dinaik taraf di Tanjung Malim supaya kesan ekonominya dapat dinikmati penduduk setempat.

Bermula di Kolam Air Panas Ulu Selim kami menaiki lori beramai-ramai untuk menuju ke lokasi permulaan aktiviti berkayak arus deras di Sungai Ulu Selim yang terletak di Kuala Tibang.

Hari itu, aktiviti berkayak arus deras berkenaan diuruskan operator aktiviti luar tempatan, Chilirafter Resources yang turut menyediakan pelbagai aktiviti lasak di Ulu Selim untuk pengunjung.

Pemiliknya, Azhar Ahmad Azes berkata, Sungai Ulu Selim mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri bagi melakukan aktiviti berkayak arus deras. Terutama, ia mempunyai lebih 20 jeram yang menguji keberanian peserta melaluinya.

PESERTA perlu mengisi borang keselamatan sebelum memulakan aktiviti.
PESERTA perlu mengisi borang keselamatan sebelum memulakan aktiviti.

"Aktiviti berkayak arus deras di lokasi ini sememangnya menjadi tumpuan pengunjung terutama mereka yang gemarkan aktiviti air lasak kerana lokasinya yang hampir dengan ibu negara.

"Malah, di sini selain daripada melakukan berkayak arus deras terdapat aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti mendaki Gunung Liang, Tumang Batak, menerokai lokasi air Terjun Lata Manik, Lata Berembun, Lata Harimau dan Lata Gerahang serta Lata Strata," katanya.

Penulis difahamkan untuk melakukan aktiviti berkayak arus deras di Sungai Ulu Selim terdapat tujuh operator tempatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung.

Harga yang ditawarkan pula pada hemat penulis amat berpatutan iaitu bermula RM180 seorang bagi kapasiti minimum empat orang. Selain daripada menikmati aktiviti berkenaan, pihak operator turut menyediakan pakej makanan.

Bagi tujuan keselamatan, Azhar berkata, setiap peserta diberi taklimat mengenai cara mengendalikan kayak terlebih dahulu. Perkara itu penting terutama membabitkan arahan yang bakal diberikan jurumudi.

SUNGAI Ulu Selim menawarkan aktiviti lasak air yang menarik untuk disertai.
SUNGAI Ulu Selim menawarkan aktiviti lasak air yang menarik untuk disertai.

"Terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui peserta termasuk arahan jika kayak tersekat di jeram. Perkara ini penting supaya aktiviti berkayak dapat dilakukan dengan lancar.

"Antara perkara yang dimaklumkan pastinya cara untuk mengendalikan pendayung, kedudukan peserta ketika berkayak dan arahan lain diberikan jurumudi yang perlu difahami ketika berada di dalam kayak," katanya.

Tambahnya, perkara yang paling diutamakan pastinya mengenai keselamatan peserta kerana apabila membabitkan aktiviti lasak pasti terdapat risiko kemalangan yang cuba dielakkan.

"Setiap peserta wajib untuk memakai jaket keselamatan yang disediakan. Jadi sebelum memulakan aktiviti berkayak kita akan pastikan jaket itu dipakai dengan betul dan kemas supaya sekiranya mereka terjatuh jaket keselamatan tidak tertanggal.

"Selain itu, kita juga memberi taklimat mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mereka terjatuh daripada kayak," katanya.

KESERONOKAN peserta berkayak arus deras di Sungai Ulu Selim.
KESERONOKAN peserta berkayak arus deras di Sungai Ulu Selim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 7:01 AM