KEINDAHAN alam semula jadi di sepanjang
KEINDAHAN alam semula jadi di sepanjang
Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


SARAWAK memang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan keunikan flora dan fauna. Tidak hairanlah negeri ini menerima kunjungan pelancong di dalam dan luar negara.

Antara lokasi menarik dan menjadi tumpuan ramai adalah Sungai Semadang di Padawan, Kuching

Uniknya, lokasi pelancongan-eko ini memiliki keindahan alam semula jadi di sungai sepanjang 11 kilometer selama tiga hingga lima jam ini boleh dinikmati dengan menggunakan kayak.

Selain itu pelbagai aktiviti boleh dijalankan di sini termasuk menikmati kesejukan Air Terjun Arong Terusan, bersiar-siar di Kampung Danu, menjelajah gua dan sebagainya.

Pada 1 Mac lalu, seorang kakitangan swasta, Aizah Harwani Mohd Jamadil, 20, berpeluang ke lokasi ini untuk melepas 'gian' terhadap aktiviti berkayak yang ditinggalkan selepas menamatkan pengajian di universiti.

"Saya sebenarnya sangat sukakan pelbagai aktiviti rekreasi seperti mendaki, berkayak dan melancong ke tempat menarik serta unik di negara ini.

"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan, saya cuba mencari tempat menarik di sekitar negeri ini.

"Sebaik mengetahui keunikan Sungai Semadang, saya tidak fikir panjang dan buat keputusan untuk menyertai aktiviti yang disediakan Semadang Kayak Adventure," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BERKAYAK sambil menikmati keindahan alam.
BERKAYAK sambil menikmati keindahan alam.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga tertarik dengan tawaran pihak Sarawak Tourism Board juga menganjurkan kempen Sia Sitok Sarawak bagi menggalakkan aktiviti melancong dalam negeri.

"Menerusi kempen ini, potongan harga sehingga 50 peratus kepada kepada pengunjung yang membuat tempahan di laman web untuk bercuti ke lokasi pelancongan-eko terpilih.

"Oleh itu saya hanya perlu membayar RM120 termasuk makan tengah hari, peralatan dan pengangkutan," katanya.

Aizah Harwani berkata, Semadang Kayak Adventure, terletak lebih kurang satu jam memandu dari bandar Kuching.

"Saya memandu bersama rakan seawal jam 6.30 pagi dan tiba di Semadang Kayak Adventure sejam kemudian.

"Selepas bersarapan, seawal jam 9 pagi, saya bersama rakan dan peserta lain mula berkayak dari Kampung Bengoh," katanya.

BEREHAT sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
BEREHAT sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Tambahnya, selepas 2 kilometer berkayak, mereka berhenti di tebing sungai untuk ke Air Terjun Arong Terusan.

"Untuk ke sini, kami perlu 'parking' kayak di tebing sungai dan berjalan selama dua minit untuk ke air terjun terbabit.

"Di sini kami berehat sebentar sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan ada juga yang mengambil peluang berendam menikmati kedinginan air terjun ini," katanya.

Kemudian, mereka kembali berkayak untuk ke perhentian seterusnya di Kampung Danu.

ANTARA lokasi menarik di Sungai Semadang.
ANTARA lokasi menarik di Sungai Semadang.

"Di sini, kami meluangkan masa selama 30 minit dengan dibawa pemandu pelancong bersiar-siar di sekitar kampung.

"Kami berpeluang melihat tanaman lada dan bagaimana ia diproses sendiri oleh penduduk setempat," katanya.

Jelasnya selepas itu, mereka dibawa untuk merasai cabaran arus deras yang turut terdapat di sungai ini.

"Cabaran ini secara tidak langsung menaikkan adrenaline peserta kayak apabila perlu menempuh arus deras.

"Bagaimanapun, semua peserta dapat melepasi cabaran itu dengan selamat dengan mengikut arahan yang diberikan," katanya.

Selain itu, dia turut berpeluang sertai aktiviti memberi makanan kepada ikan dan meneroka gua di kawasan sekitar.

Katanya, secara keseluruhan, dia sangat berpuas hati dengan aktiviti ini yang sangat sesuai dengan pencinta alam semula jadi.

MERASAI kedinginan Air Terjun Arong Terusan.
MERASAI kedinginan Air Terjun Arong Terusan.

"Dengan harga yang berpatutan, saya rasakan ia sangat berbaloi dengan menawarkan pelbagai aktiviti sambil menikmati keindahan flora dan fauna selama lima jam berkayak di sungai ini.

"Bagaimanapun, saya nasihatkan pengunjung memakai topi dan gunakan krim pelindung matahari untuk elakkan selaran matahari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 7:00 AM