SUASANA menenangkan.
SUASANA menenangkan.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

TENANG, nyaman dan segar. Demikian perasaan yang dirasai sebaik menjejakkan kaki di inap desa Bagas Zakariah di Kampung Lawas Kuda, Gopeng, Perak ini.

Dalam bahasa Mandaling 'bagas' bermaksud sebuah rumah, manakala Zakariah adalah sempena nama datuk kepada pengusaha rumah inap desa itu, Azim Aziz.

Melangkah masuk di kawasan seluas 2.4 hektar, nostalgia seperti berada di sebuah kampung.

Bagi yang sekian lama berada di bandar kerana kesibukan kerja, kenangan menjadi 'budak kampung' pasti terimbau melihat suasana di sini.

Apa tidaknya, tiga rumah dengan seni bina tradisional, sungai dan pelbagai pokok buah-buahan di sekeliling sudah cukup memenuhi pakej suasana kampung yang diinginkan.

Tidak cukup dengan itu, pada sebelah malam, anda dihiburkan dengan bunyi cengkerik dan unggas manakala pada sebelah pagi pula pengunjung dikejutkan dengan kokokan ayam.

TIGA rumah tradisional.
TIGA rumah tradisional.

Azim berkata, kawasan itu adalah milik arwah datuknya yang berhijrah dari Sumatera ke sini, pada tahun 1920-an.

Katanya, kemudian rumah itu diserahkan kepada bapanya sebelum dia mengambil alih tanggungjawab untuk menjaganya pada tahun 1993.

"Pada asalnya saya melakukan kerja baik pulih untuk selamatkan rumah ini (Rumah Kuning) yang berusia 100 tahun. Hanya pada tahun 2019, baru tercetus idea untuk menjadikan kawasan itu sebagai inap desa dengan membawa konsep seperti berada di sebuah kampung.

"Kemudian saya membeli sebuah rumah di Lenggong dan membina semula di kawasan ini dengan nama Rumah Lenggung.

"Selain itu terdapat sebuah lagi rumah yang dibina dinamakan Rumah Lawan Kuda atau Rumah Merah yang saya bina sendiri dengan mengekalkan konsep rumah Kutai yang hampir pupus," katanya.

RUMAH kuning berusia 100 tahun.
RUMAH kuning berusia 100 tahun.

MENGEKALKAN hiasan dalaman tradisional.
MENGEKALKAN hiasan dalaman tradisional.

Antara tarikan lain di sini adalah dikelilingi pelbagai pokok buah-buahan termasuk durian, cempedak dan avokado.

"Sekiranya anda datang ketika musim buah-buahan, anda boleh memetik atau mengutip buah di sini.

"Malah terdapat kolam ikan patin, talapia dan baung," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dijalankan di sini termasuk mandi sungai, mendaki, berbeku dan sekiranya sukakan cabaran boleh berkayak arus deras di sungai berhampiran.

"Program hari keluarga, sambutan Aidilfitri dan majlis perkahwinan juga sering dijalankan di sini.

"Malah ramai juga yang datang ke sini kerana mahu lari sebentar dari kesibukan kota dengan hanya berehat sambil menikmati keindahan alam tanpa lakukan sebarang aktiviti," katanya.

Dia berharap, usahanya ini dapat mengembalikan suasana kampung yang hampir pupus akibat ditelan arus pembangunan.

"Saya mahu rumah sedia ada ini terus kekal bukan sahaja sebagai tarikan pelancongan malah menjadi tatapan generasi akan datang," katanya.

MENGGAMIT kehadiran pengunjung.
MENGGAMIT kehadiran pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 6:30 AM