PASTIKAN pilih bingkai yang ringkas dan jangan keterlaluan atau banyak corak.
PASTIKAN pilih bingkai yang ringkas dan jangan keterlaluan atau banyak corak.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Hasil karya seni seperti lukisan atau gambar antara cara terbaik dalam menonjolkan nilai estetika tersendiri dalam rumah.

Ia bukan sahaja mampu mewujudkan daya penarik, malah dapat membantu mencipta ilusi tersendiri terhadap sesuatu ruang dalam rumah.

Menghiasi dekorasi dengan menambah lukisan pada ruang dinding misalnya boleh menjadi alternatif bagi mencantikkan rumah anda.

Namun, jika anda penggemar hasil seni dan lukisan sekalipun, cukup hanya meletakkan satu bingkai pada satu dinding.

Selain indah dipandang mata, lukisan boleh memberikan inspirasi kepada sesiapa yang memandang selain mengasah imaginasi dan kreativiti seseorang.

Umumnya, lukisan menggambarkan keperibadian pemilik rumah dan tidak semestinya anda perlu membeli seni yang berharga ratusan ribu ringgit.

Harga bukan perkara utama, tetapi sesuatu lukisan yang dipilih itu sebenarnya menggambarkan diri pemilik rumah itu.

DINDING di bahagian tangga boleh diserikan dengan gantungan lukisan.
DINDING di bahagian tangga boleh diserikan dengan gantungan lukisan.

Selain itu, lukisan juga boleh memberi impak kesan luas kepada ruang yang sempit dan menyerlahkan mood tersendiri.

Contohnya, lukisan atau gambar bermotifkan makanan atau buah-buahan sesuai diletakkan di dinding ruang makan keluarga untuk membangkitkan lagi selera.

Manakala lukisan atau gambar pemandangan pantai boleh diletakkan di tandas atau bilik mandi.

Untuk ruang santai keluarga pula, sesuai diletakkan lukisan abstrak atau boleh juga abadikan potret keluarga.

Ruang di dinding tangga juga menarik diserikan dengan gantungan gambar atau lukisan.

Selain menjadikan ruang tampak luas, ia juga kelihatan sofistikated.

Di ruang privasi seperti bilik tidur pula, sesuai dihiasi dengan lukisan pemandangan menarik, bunga-bungaan indah atau kaligrafi ayat al-Quran yang boleh menenangkan fikiran.

LUKISAN buah-buahan atau makanan membangkitkan selera di ruang makan.
LUKISAN buah-buahan atau makanan membangkitkan selera di ruang makan.

Begitupun, tema lukisan seharusnya sesuai dengan gaya hiasan dalaman.

Ini sebabnya mengapa rumah moden dan kontemporari perlu menampilkan karya seni moden kecuali dalamannya adalah gabungan pelbagai gaya.

Seni moden umumnya ditakrifkan kesederhanaan dan kekurangan citra eksplisit dan lukisan abstrak boleh menjadi idea hiasan yang baik.

Apapun, pastikan anda memilih bingkai yang ringkas dan jangan keterlaluan atau banyak corak kerana kerana tujuan asal adalah mahu menonjolkan gambar bukan bingkai.

LUKISAN abstrak juga sesuai menghiasi ruang keluarga.
LUKISAN abstrak juga sesuai menghiasi ruang keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 6:25 AM