TERLETAK di tebing Sungai Perak dan menjadi laluan air.
TERLETAK di tebing Sungai Perak dan menjadi laluan air.
PERKAMPUNGAN Warisan Budaya Pulau Misa Melayu cukup unik dengan senario peradaban Melayu lama.
PERKAMPUNGAN Warisan Budaya Pulau Misa Melayu cukup unik dengan senario peradaban Melayu lama.
Nurul Husna Mahmud


RASANYA tidak perlu menggunakan mesin masa dan hanya perlu memandu sejauh 60 kilometer dari Bandar Ipoh menuju ke Kampung Teluk Kepayang Bota Kiri, Perak ini bagaikan membawa anda kembali ke zaman silam.

Kawasan unik itu disuntik dengan elemen Melayu autentik menerusi satu perkampungan Melayu yang diwujudkan satu komuniti, Persatuan Budaya dan Kesenian Anak Melayu di negeri itu sendiri. Ia antara usaha mengimbau kenangan nenek moyang menerusi peradaban hidup seharian mereka di sini.

Dinamakan Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, ia sebenarnya 'disunting' daripada salah satu naskhah sastera tradisional dikarang seorang pujangga istana bernama Raja Chulan yang juga berasal dari Kampung Gajah.

Menurut salah seorang komuniti di situ, Fairul Hisham Abdul Halim, dia bersama beberapa orang rakan komuniti mula membangunkan kawasan berkenaan sejak 20 tahun lalu.

"Kami sudah lama bertapak iaitu sejak tahun 1999 dan bermula dengan membina tiga rumah. Kayu pula dibeli daripada rumah lama milik penduduk setempat.

"Kemudian kami tanggal dan pasang sendiri sehinggalah kini terbinanya 15 rumah masing-masing siap dan berpenghuni diserikan perkakasan zaman dahulu.

RUMAH kayu latar kediaman penduduk di perkampungan berkenaan.
RUMAH kayu latar kediaman penduduk di perkampungan berkenaan.

"Menariknya gaya hidup komuniti ini bukan sahaja dicerminkan menerusi persembahan busana dan peralatan seperti keris serta tombak semata-mata tapi rutin seharian seperti hidup bergotong-royong turut menjadi budaya perkampungan dulu-dulu sebagai amalan harian," katanya.

Dia yang mesra disapa 'Tok Lingga' itu mengakui semua aktiviti warisan Melayu dahulu dapat disaksikan di perkampungan terbabit.

"Kedudukan kampung ini yang dikelilingi Sungai Perak menyebabkan ia turut menarik kunjungan penduduk kampung untuk menyertai aktiviti komuniti di sini.

"Biasanya hujung minggu aktiviti di sini penuh dengan pelbagai persembahan kesenian dari tarian sehinggalah sketsa mengenai gaya hidup pembesar atau pahlawan dahulu. Ia dipertontonkan di pekarangan utama yang kami panggil Balairong.

PEMAKAIAN serta pembuatan tanjak antara yang boleh dipelajari pengunjung di sini.
PEMAKAIAN serta pembuatan tanjak antara yang boleh dipelajari pengunjung di sini.

"Pengunjung boleh sertai atau lihat sendiri aktiviti silat, pembuatan tanjak, persembahan nyanyian dan tarian bercirikan era zaman itu," katanya.

Sebelum Covid-19, setiap hujung minggu rutin dipenuhi dengan aktiviti 'berkenduri' iaitu makan beramai-ramai dan berkelah.

"Kami pernah dikunjungi pelancong antarabangsa sempena Sayembara Puisi Antarabangsa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim seperti Rusia, Jepun, Jerman dan banyak lagi kerana tertarik dengan suasana perkampungan ini.

"Mereka kagum dengan pembuatan tanjak dan busana kerana kemasan serta perincian dilakukan selain tertarik dengan amalan makan berdulang," katanya.

SESUAI sebagai lokasi pembikinan drama epik atau Melayu lama.
SESUAI sebagai lokasi pembikinan drama epik atau Melayu lama.

Malah Fairul Hisham berkata, pihaknya pernah menganjurkan program bersama delegasi Nusantara dari Indonesia untuk berkongsi mengenai budaya dan adat warisan Melayu.

Rutin seharian penduduk jika tidak mengadakan sebarang persembahan, katanya tidak jauh beza kerana ada ahli komuniti menjalankan kerja -kerja menanam mahupun menjalankan kehidupan kampung seperti biasa.

"Saya kerja dengan Jabatan Kesihatan hanya berpeluang untuk berada di sini menjelang Jumaat dan hujung minggu.

"Rakan lain-lain ada yang bercucuk tanam, menternak kambing dan ikan serta banyak lagi mengikut cara atau gaya hidup masing-masing.

MENARIK pintu gerbang masuk sudah bercirikan Melayu.
MENARIK pintu gerbang masuk sudah bercirikan Melayu.

"Selain itu dalam perkampungan ini ada warung dan turut memberi peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan dengan jualan kuih atau produk kampung kepada orang luar," katanya.

Penggiat bukan sahaja dalam kalangan belia, malah seawal remaja tidak ketinggalan mengenakan busana warisan.

Kata Fairul Hisham, anaknya Muhammad Farish Danish yang baru berusia 13 tahun turut mempunyai bakat nyanyian. Malah Muhammad Farish Danish turut merakam video klip lagu Restu dengan menggayakan persalinan lama bersama pelakon lain sebaya usia dengannya.

Pembabitan golongan muda penting dalam menarik minat mereka dan akhirnya menghargai warisan nenek moyang yang mempunyai nilai jati diri cukup tinggi.

BALAIRONG tempat untuk persembahan silat dan sebagainya.
BALAIRONG tempat untuk persembahan silat dan sebagainya.

Mengenai aktiviti ketika ini, kata Fairul Hisham, semua persembahan atau acara terbuka membabitkan komuniti terpaksa dihentikan seketika bagi mengelak penularan Covid-19.

"Saya berharap ada pihak tertentu untuk tampil memberikan sokongan terutama dalam pembinaan infrastuktur dan fasiliti di perkampungan ini.

"Sepanjang kami menjalankan aktiviti, kebanyakan tiada caj dikenakan untuk pengunjung melawat dan semuanya adalah 'hasil tangan' dan duit poket sendiri.

"Jadi, saya berharap ada pihak boleh memberi sumbangan dari segi dana, barangan dan kepakaran berkaitan dengan pemeliharaan alam Melayu," katanya.

KOMUNITI yang menghidupkan perkampungan Melayu berkenaan.
KOMUNITI yang menghidupkan perkampungan Melayu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:10 AM