SEPERTI hulubalang lama dengan siap berbusana dan berkuda.
SEPERTI hulubalang lama dengan siap berbusana dan berkuda.
Nurul Husna Mahmud


BAGI ramai orang yang pernah sampai ke Pendang, Kedah, pasti tidak melupakan panorama indah sawah padi yang terbentang selain hidangan kampung ditawarkan dengan harga berpatutan.

Terkini satu tarikan baru dicetuskan anak jati Pendang, Dil Akbar Jaafar, 41, yang membuka satu perkampungan adat Melayu unik di Kampung Bendang Bukit.

Gambaran suasana perkampungan tradisi itu boleh disamakan dengan adegan pernah dilihat dalam filem seperti Magika ataupun Lang Buana yang mengekalkan cara hidup Melayu silam.

Hasrat Dil Akbar yang juga seorang guru silat, dalam membangunkan perkampungan yang diberi nama Kampung Adat Melayu Seri Banian itu cukup besar kerana bukan rumah adat di Malaysia sahaja di ketengahkan malah di serantau Nusantara.

"Usaha saya bersama 12 ahli keluarga lain dalam projek membangunkan Kampung Adat Melayu Seri Banian ini atas kesedaran supaya pengunjung terutama generasi muda lebih peka mengenai kepentingan pemeliharaan adat dan budaya Melayu.

"Maklumlah ada segelintir pihak suka mendakwa setengah adat baik bahasa, pemakaian, seni dan muzik Melayu dari Malaysia ini adalah ditiru dari luar dan tidak asli.

BUKAN sahaja rumah sebaliknya boleh berbusana.
BUKAN sahaja rumah sebaliknya boleh berbusana.

"Sedangkan setiap adat dan budaya mahupun cara hidup orang Melayu ada bezanya mengikut negeri, daerah mahupun negara masing-masing.

"Di perkampungan inilah saya ingin pengunjung lihat dan menghayati setiap perbezaan adat, budaya mahupun cara hidup orang Melayu yang ada di Nusantara," katanya.

Katanya, perkampungan itu ketika ini hanya baru mewakili 10 peratus daripada keseluruhan perancangan yang dijangka siap pada 2024.

"Dalam kampung adat ketika ini pengunjung boleh melawat empat rumah adat iaitu dua darinya rumah adat Kedah, rumah adat Perak dan satunya rumah adat Sunda.

"Selain itu, dalam perancangan ada beberapa lagi rumah adat negeri lain termasuk suku dari Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei dijangka dalam proses pembinaan sehinggalah kami beroperasi penuh dalam tiga tahun akan datang.

"Saya gambarkan ia seperti mana taman tema 'Disney World' yang tampilkan karakter animasi mereka, di perkampungan ini yang secara tidak langsung menjadi tarikan.

"Pengunjung bukan sahaja merasai suasana unik itu sebaliknya 'transformasi' menjadi sebahagian penduduk dengan pelbagai aktiviti berasaskan cara hidup Melayu silam," katanya yang menjelaskan perkampungan itu meliputi hartanah berkeluasan 4046.86 meter persegi.

CARA makan juga menggunakan tata tertib melayu seperti bersimpuh dan sebagainya.
CARA makan juga menggunakan tata tertib melayu seperti bersimpuh dan sebagainya.

Kata Dil Akhbar lagi, selain pengunjung boleh lihat dan bergambar dalam rumah adat yang ada, mereka boleh menyewa busana, menyertai permainan tradisi atau menyaksikan persembahan dan menikmati juadah tradisi disediakan di perkampungan itu.

"Pengunjung akan dikenakan caj RM 5 bagi dewasa dan RM 3 bagi kanak-kanak pada Jumaat dan hujung minggu. Bagi hari biasa pula RM 3 bagi dewasa dan RM 1 untuk kanak-kanak.

"Caj ini membantu kami dalam merealisasikan pembinaan kampung adat Melayu Nusantara diusahakan dengan modal dan kudrat sendiri," katanya.

Selain rumah adat, fasiliti lain ditawarkan kepada pengunjung termasuk kolam memancing dan juga warung yang menampilkan sajian tempatan.

"Ketika menikmati sajian, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan alat muzik dan tarian tradisi.

"Ada juga demonstrasi silat. Ketika ini dijangkakan kira 700 hingga 1,000 pengunjung sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:02 AM