MENYUSURI Sungai Pengkalan Datu sebagai promosi. FOTO Ihsan Mohamad Salleh
MENYUSURI Sungai Pengkalan Datu sebagai promosi. FOTO Ihsan Mohamad Salleh
Muhamaad Razis Ismail


PERSATUAN Pencinta Busana Melayu Kelantan mencipta kelainan tersendiri dengan berpakaian Melayu lama ketika menjalankan pelbagai aktiviti sebagai usaha mempromosikan persalinan tradisional itu.

Antara busana tradisional yang digayakan termasuk persalinan baju Melayu, tanjak dan samping berwarna-warni, seolah-olah berada di zaman silam.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuk berarak mengelilingi bandar Kota Bharu, menyusuri Sungai Pengkalan Datu, mendaki Bukit Panau yang terletak di Tanah Merah dan membersihkan kediaman warga emas.

Penasihat persatuan itu, Mohamad Salleh berkata, setiap ahli mengenakan persalinan tradisional ketika melakukan aktiviti terbabit dan tujuan utama kami berbuat demikian adalah untuk mengembalikan kegemilangan busana kebanggaan warisan berkenaan.

“Ia adalah sebahagian usaha yang dijalankan untuk memastikan budaya memakai tanjak, samping dan berbaju Melayu tidak hanyut ditelan zaman.

“Saya gembira setiap ahli yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur memberi komitmen jitu untuk menjayakan objektif persatuan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu menyelusuri Sungai Pengkalan Batu. FOTO Ihsan Mohamad Salleh
SEBAHAGIAN ahli Persatuan Pencinta Busana Melayu menyelusuri Sungai Pengkalan Batu. FOTO Ihsan Mohamad Salleh

Menurut Mohamad Salleh lagi, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk menyertai program Jejak Sang Tawal bagi menghidupkan kembali sejarah dan budaya tradisi masyarakat zaman dahulu.

Katanya, program itu dijalankan pada hujung tahun lalu dengan perarakan besar-besaran membabitkan 300 individu yang berpakaian tradisi Melayu Kelantan lengkap, bermula dari Padang Merdeka dan berakhir di Kampung Kraftangan.

“Selain memastikan tradisi tidak ditelan zaman, ia secara tidak langsung dapat mempromosi dan mengalakkan pelancong domestik mahu pun antarabangsa untuk mengenali zon pelancongan Kota Bharu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Mohamad Salleh berkata, mereka juga tidak melepaskan peluang menyelusuri Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu dengan menaiki perahu kolek sejauh enam kilometer.

Katanya, seramai 40 ahli persatuan terbabit dalam acara itu dan ia adalah sebahagian usaha untuk menarik kehadiran pelancong ke kawasan yang memiliki keindahan alam semula jadi.

“Insya-Allah, kami dalam perancangan untuk menyediakan khidmat menyewa busana tradisional Melayu kepada pengunjung untuk bergambar ketika menyelusuri sungai dalam masa terdekat.

“Selain itu, kami turut membersihkan rumah warisan berusia 200 tahun dihuni pasangan warga emas di Kampung Sering.

“Inisiatif ini diambil bagi membersihkan kediaman Koet Siew Ling, 72, dan suaminya, Chan Awang, 71 untuk memulihara rumah yang sangat unik berusia 200 tahun,” katanya.

MEMBERSIHKAN kediaman berusia 200 tahun. FOTO Ihsan Mohamad Salleh
MEMBERSIHKAN kediaman berusia 200 tahun. FOTO Ihsan Mohamad Salleh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:30 AM