AKTIVITI cabar kekuatan fizikal pengunjung.
AKTIVITI cabar kekuatan fizikal pengunjung.
SKYRIDES tawar pelbagai aktiviti dari siang hingga malam.
SKYRIDES tawar pelbagai aktiviti dari siang hingga malam.
JAMBATAN Seri Wawasan tawar keunikan dan pemandangan menarik.
JAMBATAN Seri Wawasan tawar keunikan dan pemandangan menarik.
SUSANAN mendamaikan dengan mercu tanda yang dilalui saat berbasikal memberikan keterujaan tersendiri.
SUSANAN mendamaikan dengan mercu tanda yang dilalui saat berbasikal memberikan keterujaan tersendiri.
Suliati Asri


Kayuhan santai World Tourism Day 2017 Cycling Night Ride sempena World Tourism Day (WTD) 2017 sejauh 12 kilometer (km) di Putrajaya baru-baru ini sememangnya cukup mengujakan.

Sudah lama tidak menyertai aktiviti kayuhan, kerisauan sedikit dirasai dan niat ‘berpatah’ balik jika tidak mampu melengkapkan kayuhan antara yang bermain di fi kiran.

Namun, sokongan rakan dan suasana malam yang mendamaikan serta semangat menjadi faktor kekuatan sekali gus penulis berjaya mengayuh basikal sejauh 12km.

Angin yang bertiup lembut ditambah keindahan panorama waktu malam sekitar Putrajaya memang mendamaikan.

Suasana yang tenang itu juga secara tidak langsung membuatkan kayuhan pada waktu malam itu tidak terasa kepenatannya.

Kayuhan WTD 2017 ini bukan hanya memberi peluang kepada penulis berbasikal di sekitar Putrajaya tetapi juga boleh melihat sendiri aktiviti dan lokasi menarik yang boleh dikunjungi di Putrajaya pada waktu malam.

Mana tidaknya, kayuhan 12km yang disertai peserta yang terdiri daripada warga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), pengamal media, pensyarah, pelajar, MATTA dan Perbadanan Putrajaya (PPJ) melalui beberapa lokasi menarik yang menjadi tumpuan pengunjung.

Bagi yang sedang mencari lokasi riadah dan santai di hujung minggu ini terutama pada waktu malam, tempat menarik di Putrajaya ini pastinya tidak akan mengecewakan.

Berbasikal di Putrajaya

Putrajaya bagaikan syurga kepada penggemar aktiviti berbasikal selain ia destinasi pelancongan unik dan ‘mesra basikal’ sepanjang hari sama ada pagi, petang atau malam.

Putrajaya mempunyai sembilan laluan basikal yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu mudah, sederhana dan mencabar yang semuanya melalui beberapa kawasan menarik di Putrajaya.

Bagi kategori mudah, ia membabitkan tiga laluan iaitu Sisiran Tasik sepanjang 12.1 kilometer (km), laluan Perdana (5km) dan laluan Marina (2.7km).

Laluan sederhana pula terdiri daripada Saujana Hijau (7.2km), Wetland (4km) dan Putra Perdana (800 meter).

Mengenai laluan mencabar, ia terbahagi kepada Taman Rimba Alam (5km), Taman Cabaran (2.7km) dan Taman Wawasan (3.6km).

Menariknya, suasana yang mendamaikan di Putrajaya juga antara yang menjadi tarikan buat sang pengayuh basikal untuk beriadah di sini.

Laluan berbasikal yang merangkumi laluan pesisir tasik, landskap bungabungaan, susunan bangunan dan pejabat kerajaan selain kemudahan taman rekreasi awam menjadikan kayuhan di sini sesuatu yang menyeronokkan.

Angin tasik yang bertiup lembut saat mengayuh basikal juga memberikan ketenangan tersendiri.

Skyrides Festivals Park

Berorientasikan taman tema keluarga, Skyrides Festival Park Putrajaya (Skyrides) menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang cukup mengujakan termasuk pada waktu malam.

Bersebelahan Monumen Alaf Baru, Skyrides ini adalah tarikan yang menarik bagi Putrajaya yang menampilkan banyak aktiviti dalam satu tempat.

Di sini, pengunjung berpeluang menikmati keseronokan berada di udara pada ketinggian 120 meter dengan menaiki Skyrides Balloon, iaitu belon helium bertambat pertama dan terbesar di Malaysia.

Menaiki Skyrides Balloon, pengunjung berpeluang melihat pemandangan menakjubkan sekitar Putrajaya terutama pada waktu malam.

Bagi yang sukakan aktiviti lasak atau mahu melakukan aksi seperti dalam program realiti ‘America Ninja Warrior’, aktiviti Sky Warrior adalah tempatnya.

Menerusi aktiviti ini, pengunjung berupaya mencabar diri dengan berlari di atas laluan sukar, bergayut dan melompat untuk melepasi cabaran yang sememangnya cukup menyeronokkan.

Bagi kanak-kanak pula, Sky Kid iaitu belon air pastinya sesuatu yang membuatkan mereka tersenyum puas.

Jadi, untuk anda yang sedang mencari lokasi riadah pada waktu malam yang menyeronokkan, Skyrides pastinya tidak mengecewakan.

Jambatan Putrajaya

Putrajaya mempunyai lapan jambatan yang berbeza diterangi lampu yang mempesona bermula dengan Jambatan Seri Perdana sepanjang 372 meter.

Ia sebahagian daripada laluan protokol dan dibina merentasi Tasik Putrajaya.

Reka bentuknya bercirikan Islam dengan lapan kawasan rehat bagi membolehkan pengunjungi menghayati pemandangan sekeliling kawasan tasik termasuk Pejabat Perdana Menteri dan masjid.

Jambatan Putra sepanjang 435 meter menyambungkan Presint Kerajaan ke Presint Pembangunan Bercampur dan menghubungkan Dataran Putra dengan Persiaran Perdana.

Seni binanya diilhamkan daripada reka bentuk Jambatan Khaju di Isfahan, Iran.

Dikategorikan sebagai jambatan istiadat, Seri Gemilang dibina dengan ciri keistimewaan iaitu dengan tiang jerejak termasuk hiasan lampu di sepanjang 240 meter jambatan berkenaan.

Jambatan Seri Wawasan adalah tambatan kabel yang dikategorikan ‘jambatan pengenalan’ dan jambatan konkrit dengan kombinasi gantungan kabel dan struktur berikat keluli.

Jambatan ini mempunyai jalan raya dua hala serta tiga lorong selebar 18.6 meter yang turut menyediakan lorong pejalan kaki dan trek basikal untuk memberi peluang kepada pengunjung menikmati pemandangan daripada atas jambatan.

Seri Wawasan antara jambatan yang menjadi perhatian terutama pada waktu malam dengan pancaran cahaya berwarna-warni lampu LED, ia mampu memukau pengunjung.

Dibina sepanjang 300 meter, jambatan Seri Saujana menjadi penghubung antara Pulau Utama (Presint 4) dan Presint 7.

Menariknya, jambatan ini adalah yang pertama menggabungkan dua teknik kejuruteraan berbeza iaitu gerbang dan kebal penyangga, sekali gus menjadi revolusi dalam pembinaan jambatan.

Menghubungkan Presint 4 dan Presint 19 , jambatan Seri Setia mempunyai reka bentuk tujuh rentasan sepanjang 30 meter di antara garisan tengah tembok yang turut mempunyai lorong pejalan kaki dan basikal selain dihiasi cahaya dengan lampu hiasan.

Seri Bakti adalah satu daripada jambatan utama merentasi laluan protokol yang menjadi penghubung untuk ke pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri.

Jambatan ini menerapkan gabungan klasik antara kesederhanaan dan fungsi sesebuah jambatan dengan menampilkan anjung di sepanjang jambatan untuk memberi peluang kepada pengunjung mengambil gambar daripada sudut berbeza.

Jambatan Seri Bestari pula mempunyai keunikan pada gerbang di bawah jambatan yang menampilkan reka corak estetika.

Cruise Tasik Putrajaya

Berlayar di tasik seluas 650 hektar sambil menikmati pemandangan malam mempesona sekitar Putrajaya cukup menyenangkan.

Bagi pengunjung yang mahu melihat sekitar Putrajaya dengan lebih menyeluruh, belayar dengan Cruise Tasik Putrajaya adalah pilihan yang tepat.

Menerusi tasik yang berliku itu, pengunjung boleh mengambil pelayaran persiaran untuk melihat keajaiban mercu tanda Putrajaya dan pemandangannya.

Pengunjung mempunyai dua pilihan pelayaran Cruise Tasik Putrajaya iaitu bot persiaran penumpang atau perahu berupa gondola yang dibentuk seperti perahu tradisi Melayu.

Cruise Tasik Putrajaya turut menyediakan bot persiaran berhawa dingin yang memuatkan sehingga 70 orang.

Pada waktu malam, bot persiaran berhawa dingin adalah pilihan paling tepat.

Pelayaran itu akan membawa anda melihat dengan lebih dekat mercu tanda Putrajaya antaranya Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi, Monumen Alaf Baru, Masjid Putrajaya dan Istana Hinggap Sultan Selangor.

Pengunjung juga berpeluang melihat keunikan sembilan jambatan yang popular dan menjadi salah satu lokasi persinggahan buat sesiapa yang berkunjung ke Putrajaya antaranya jambatan Seri Saujana, Seri Wawasan, Seri Gemilang dan Seri Perdana.

Pelayaran di Cruise Tasik Putrajaya bukan saja memberi peluang pengunjung melihat sendiri keistimewaan bandar dalam taman iaitu Putrajaya tetapi pengalaman cukup indah terutama pada waktu malam.

Monumen Alaf Baru

Berketinggian 68 meter, Monumen Alaf Baru adalah satu lagi mercu tanda dan lokasi menarik yang dikunjung di Putrajaya di waktu malam.

Idea pembinaan monumen yang dicetuskan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ini bukan saja unik tetapi antara mercu tanda kebanggaan negara ini.

Menariknya, terdapat kapsul masa yang ada di dalam bentuk cip itu diletakkan pada dinding di dasar monumen berkenaan.

Monumen yang berketinggian 68 meter direka bentuk menyerupai bunga kebangsaan iaitu bunga raya.

Ia mempunyai pelantar pemandangan sebanyak lima aras pada yang kelihatan seperti seperti kelopak bunga raya.

Manakala, menara di tengah-tengah pelantar pula diibaratkan sebagai bahagian tengah bunga tropika itu.

Monumen ini dibina menggunakan tiub besi waja yang diperkukuh dengan struktur besi manakala tengahnya ditutup dengan bahan aluminium.

Setiap satu meter bahagian tengah itu mempunyai ukiran yang menggambarkan detik penting dalam sejarah Malaysia dan turut dipahat adalah Rukun Negara.

Pelantar pemandangan monumen ini juga dibina dengan 142 panel kaca.

Panel kaca itu diukir dengan gambar dan fakta sejarah Malaysia sejak kurun ke-15 (bermula 1400) sehingga 2000.

Sementara itu, corak di bahagian bawah panel kaca itu diilhamkan daripada kain songket yang menonjolkan kreativiti dan kekayaan warisan serta kesenian masyarakat Melayu.

Dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu, pengunjung juga boleh beriadah di kawasan Monumen Alaf Baru ini.

Umai Cafe yang berhampiran monumen ini turut menyediakan pemandangan malam yang mempesona.

Selain menikmati hidangan enak, pengunjung juga berpeluang menghayati kedamaian tasik Putrajaya yang mendamaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 3:04 PM