VIDEO klip lagu raya baharu turut mendapat perhatian peminat dalam dan luar negara.
VIDEO klip lagu raya baharu turut mendapat perhatian peminat dalam dan luar negara.
Oleh Georgie Joseph


Ikoniknya Aidilfitri tahun ini, lambakan llagu raya menyemarakkan lagi kemeriahannya. Buka media sosial saja, bertebaran lagu-lagu raya digunakan secara berleluasa untuk menghiasi setiap hantaran.

Yang penting, karya- karya paling sohor kini rata-rata lagu baharu dan terkini. Melodinya sangat kena pada halwa telinga masa kini, ringkas namun catchy, serta sangat sesuai dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Antara yang paling popular termasuk Alamak Raya Lagi nyanyian De Fam, Ketipak Ketipung Raya (Aziz Harun dan Aisha Retno), Raya Mana? (Nabila Razali), Angau Raya (Fahimi), HAHAHAHAHari Raya (Ernie Zakri), Hari Raya (Hael Husaini) dan banyak lagi.

Boleh dikatakan, inilah jenis karya sempena Syawal yang digilai terutama golongan belia atau Gen Z.

Apalagi, golongan itu juga yang tertinggi kadarnya sebagai pengguna media sosial.

Menelusuri corak karya lagu raya yang mampu memberi impak besar sebegitu, tiada ramuan lain selain menampilkan rentak perayaan atau festive dalam bahasa Inggeris.

Tidak dinafikan, rentak sebegitulah yang akan mencetuskan lagi adrenalina untuk pendengar berasakan lebih mendalam mood beraya itu. Kemeriahan sangat terasa meskipun hanya dalam lagu sahaja.

Hal ini bukan baharu pun. Bahkan formula menetapkan melodi sebegitu sudah digunapakai sejak azali menerusi lagu-lagu Aidilfitri sedia ada. Hakikatnya masih banyak lagu klasik dan lama yang malar segar.

Cumanya, suntikan komposer terhadap lagu raya pada era ini tertumpu kepada keberkesanan lirik dan melodi ringkas. Lirik dan melodi pun yang mudah melekat dalam kepala selain senang untuk disiulkan bersama.

Ini kerana, lagu perayaan sendiri memang ada kelebihan dan keistimewaan. Berbanding lagu-lagu tujuan pasaran cari makan, lagu raya sentiasa dinanti-nanti dan kalau kena di hati, jauh lebih mudah untuk diingati.

Seperkara lagi, mungkin disebabkan kelebihan itulah sebenarnya menjadikan komposer kurang tertekan untuk menciptanya. Jauh sekali memikir untung rugi kerana akhirnya lagu dicipta untuk tujuan keseronokan pendengar.

Lebih menghangatkan suasana Aidilfitri tahun ini, capaian lagu-lagu baharu itu juga tular sampai ke luar negara. Sekali gus menyumbang kepada peningkatan tontonan atau strim yang meluas.

Paling ketara adalah pencapaian lagu Ketipak Ketipung Raya yang turut diguna pakai dalam hantaran selebriti terkemuka dari Indonesia. Mereka termasuk Dian Sastrowardoyo, Luna Maya dan Vidi Aldiano.

Kalau di Malaysia, tak payah cakaplah kerana setiap hantaran di Instagram dan TikTok misalnya menggunakan lagu itu.

Tidak kurang hebatnya juga lagu Alamak Raya Lagi yang menular sampai ke Korea Selatan dan Jepun. Pelbagai video baik parodi atau tarian untuk lagu itu menjadi perbualan di media sosial.

Ia termasuk kumpulan tarian dari Jepun iaitu avantgardey yang mengagumkan ramai dengan koreografi istimewa terhadap lagu terbitan label Faithful itu.

Awalnya, agak terlihat berlebihan pula apabila satu demi satu lagu raya dilancarkan artis kita tahun ini. Masing-masing berlumba sepertinya sudah tiada masa lain boleh mereka lancarkan.

Mana tidaknya, selama beberapa tahun kebelakangan ini asyik lagu Raya Raya Raya nyanyian Dolla saja yang berkumandang selain lagu-lagu lama diulang-ulang.

Ternyata tahun ini menjadi kebangkitan semula lagu-lagu raya yang cukup luar biasa impaknya untuk diguna pakai pada jangka masa panjang. Sekurang-kurangnya, ia memberi anjakan kepada penghasilan karya tempatan juga tahun ini.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 7:02 AM