NORANIZA Idris .
NORANIZA Idris .
Sofiatul Shima Wan Chik


Menghasilkan lagu baru bertemakan hari raya pada zaman ini dianggap bukanlah satu pelaburan berbaloi memandangkan sambutan diberikan umum agak dingin.

Rata-rata pendengar masih meminati karya lama bertemakan sambutan Aidilfitri, tetapi masih malar segar.

Perkara itu tidak pernah mematahkan semangat penyanyi berpengalaman, Noraniza Idris untuk menghasilkan album khas sempena sambutan hari raya, Ria Aidilfitiri.

Lama menunggu akhirnya impian lama terpendam berjaya juga direalisasikan penyanyi yang turut digelar ratu lagu-lagu berentak irama Malaysia itu.

Noraniza akui sudah lama mengimpikan untuk menghasilkan album studio khas bertemakan sambutan Aidilfitri.

“Lama juga saya menunggu peluang dan tawaran daripada syarikat rakaman. Bermula dari zaman saya muda hinggalah sekarang tetapi perkara itu tidak pernah terjadi. Cuma kalau ada pun saya menyanyikan kembali lagu raya sedia ada atau lagu raya duet,” katanya.

Sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi, Noraniza pernah menghasilkan dua lagu baru bertemakan hari raya iaitu Masih Ada Yang Sayang dan Nikmat Hari Raya yang didendangkan bersama Datuk Siti Nurhaliza, Kumpulan New Boyz dan Aqasha.

Kata penyanyi berasal dari Kluang, Johor ini, penerbitan Ria Aidilfitri sangat besar makna buat dirinya kerana ia diterbitkan sendiri.

“Walaupun saya tidak punya tempoh panjang untuk mempromosikan Ria Aidilfitri, saya rasa kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila dapat menghasilkannya. Saya gembira akhirnya apa yang saya mahukan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Walaupun tempoh singkat untuk mempromosikan Ria Aidilfitri Noraniza akui mempunyai sasaran dan strategi pemasaran untuk mengangkat lagu-lagu yang dimuatkan dalam album itu dalam jangka masa panjang.

“Harapan saya hanya satu agar lagu-lagu raya dalam album Ria Aidilfitri ini akan dimainkan setiap tahun, memandangkan kualiti rakaman dan vokal sangat saya jaga sepanjang pembikinannya,” katanya.

Noraniza menerusi produksinya, Noraniza Idris Production Ventures (NIPVSB) melancarkan Ria Aidilfitri pada 15 Jun lalu bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Seiring dengan pelancaran ini, cakera padat terhad turut dijual untuk mengisi tabung amal.

Sempena dengan sambutan bulan Syawal tahun ini, Ria Aidilfitri sekali lagi menjadi bingkisan istimewa buat semua peminat yang menggabungkan Noraniza Idris bersama artis-artis baharu.

Album tersebut menghimpunkan lagu-lagu terbitan NIPVSB dan nyanyian Noraniza Idris secara eksklusif bersama artis-artis seperti, Ihab Ismail, Fee Haiqal, Fadzlee Sufri dan Azmir Arif dengan lirik ditulis oleh penulis lirik kreatif , Ahmad Fedtri Yahya yang juga artis naungan NIPVSB.

Album ini mengandungi 12 keratan lagu-lagu ciptaan baharu dan lama menerusi susunan muzik dan nyanyian artis terbabit. Terdapat 8 lagu baharu dan empat lagu yang diberi nafas baharu.

Lebih istimewa, album ini turut dimeriahkan dengan pengisian sketsa pendek dan ucapan khas artis-artis terbabit dengan membawa pesanan sesuai tema mengikut setiap lagu. Ia dilakonkan secara santai oleh penyanyi berkenaan.

Noraniza yang menyambut Syawal di Singapura berkata, album dihasilkan itu diharap mampu menjadi jambatan silaturahim bagi mendekatkan artis dengan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Mesej kesedaran kemasyarakatan ini dipupuk menerusi mesej lirik yang dihasilkan dalam himpunan lagu ditampilkan Ria Aidilfitri.

Menerusi penerbitan album tersebut juga semua artis terbabit bersetuju mengambil bahagian dalam projek album ini bertujuan berhibur sambil beramal dengan memberikan sebahagian royalti jualan senaskhah cakera padat album ini kepada seorang ahli kumpulan promosi NIPVMania, Hazirah Yusof, yang kini mengalami masalah kerosakan saraf mata dan menyebabkan buta seumur hidup.

“Ini merupakan cara kami semua beramal dan memberikan sesuatu buat masyarakat terutamanya orang terdekat,” katanya.

Sempena pelancaran album Ria Aidilfitri , NIPVSB diberi kepercayaan untuk bekerjasama membantu menyelaraskan aktiviti amal bersama masyarakat yang kurang bernasib baik.

Aktiviti ini dirakamkan bersama penerbtian RTM bermula 15 hingga 16 Jun lalu di beberapa lokasi dengan penglibatan penaja yang turut membantu menyumbangkan barangan keperluan bagi menyambut hari raya pada tahun ini di samping duit raya kepada 40 kanak-kanak fakir dan miskin terpilih daripada SK Shah Alam dan SK seksyen 19 Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 9:59 AM