BUSANA tradisional warisan   kita yang indah perlu dipertahankan daripada cubaan untuk mencemarkannya dengan elemen asing.
BUSANA tradisional warisan kita yang indah perlu dipertahankan daripada cubaan untuk mencemarkannya dengan elemen asing.
Syafil Syazwan Jefri

SAMBUTAN Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa kehadiran karya lagu yang diciptakan khas bagi menghangatkan lagi sambutannya.

Sedikit sebanyak, saya yakin lagu raya sentiasa akan membawakan semangat buat kita untuk meraikan kehadiran bulan Syawal itu sendiri.

Di Malaysia, kita cukup kaya dengan lagu-lagu raya yang pernah wujud sejak sekian lama. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa lagu-lagu lama yang malar hijau, lebih meninggalkan kesan.

Mungkin gubahan yang diselitkan dengan elemen tradisional di samping lirik yang diulit dengan hikayat-hikayat berkaitan perayaan contohnya suasana Aidilfitri, sambutan di kampung halaman dan bagaimana perayaan itu membawa kepada penyatuan keluarga serta masyarakat.

Sebut saja judul karya seperti Selamat Hari Raya dendangan Puan Sri Saloma, Dendang Perantau (Tan Sri P Ramlee), Seloka Hari Raya (Uji Rashid dan Hail Amir), Bila Takbir Bergema (Rafeah Buang), Bersabarlah Sayang (Sanisah Huri) dan banyak lagi, semuanya membawa semangat serta jiwa perayaan Aidilfitri.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sendiri sebagai penggemar muzik dan lagu raya rasa 'takut' apabila Aidilfitri semakin hampir.

Ketakutan itu bukanlah ketakutan kepada sambutan perayaan atau Syawal itu sendiri, tetapi takut kepada lagu raya apa yang bakal muncul dan menjahanamkan budaya kita.

Secara peribadi, saya menganggap lagu raya itu sebagai satu 'aset negara'. Statusnya boleh dilabelkan sebagai satu budaya, satu warisan dan satu karya seni.

Apabila dianggap sebagai karya berbentuk budaya dan warisan, saya melihat ia membawa makna budaya dalam muzik dan liriknya.

Namun, wujud beberapa individu yang memilih untuk menjahanamkan budaya dan warisan itu sendiri mengikut acuan yang mungkin menurut mereka, sesuai dengan peredaran zaman.

Bahkan, ada yang sanggup 'melacurkan' lagu raya dengan menyelitkan elemen seperti pakaian yang umpama merendahkan budaya Melayu itu sendiri di dalam video muzik.

Hina dan jijik!

Dua perkataan itu saja yang mampu saya lontarkan dari benak fikiran saya apabila melihat kemunculan lagu-lagu raya dengan konsep aneh sebegini.

Mana harga diri budaya dan warisan kita? Adakah budaya sebegini, dinormalisasikan dan akan diteruskan oleh generasi masa akan datang? Mungkin dari sudut muzik, ia masih menyelitkan elemen suasana Aidilfitri, namun, dari sudut visual?

Cukup-cukuplah dengan gimik kotor dan jijik dalam memasarkan benda-benda lain, tapi, jangan disentuh lagu raya dan busana tradisional warisan bangsa.

Saya yakin, bukan saya saja yang rasa terganggu dengan kehadiran benda-benda aneh sebegini. Kalau tidak, masakan ada persatuan yang sudi meluangkan masa dan bertandang ke balai polis untuk membuat laporan.

Kita semua bertanggungjawab untuk membawa dan mempromosikan budaya warisan kita. Jika ia diteruskan dengan bentuk yang tidak sepatutnya seperti ini, satu pola fikir baharu akan terbentuk di dalam otak generasi akan datang bahawa, tindakan jijik itu bukan satu masalah.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 5:59 AM