FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Bersama Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Soal kepemimpinan dalam Islam bukan perkara ringan. Ia menjadi tonggak keutuhan sesebuah negara yang diasaskan. Nabi Muhammad SAW menjadi contoh pemimpin terbaik memimpin seluruh umat Islam. Malah, kepemimpinan baginda diiktiraf seluruh dunia sama ada dunia Islam atau bukan Islam. Rasulullah SAW membuktikan Islam agama yang memimpin dunia dan semua peradaban.

Oleh itu, negara Islam Madinah adalah negara Islam terbaik dan dipimpin sebaik-baik pemimpin. Dalam konteks ini Allah SWT memerintahkan supaya kita sentiasa rujuk kepada mereka yang dikurniakan ilmu dan kelebihan. Terutama dalam perkara tidak dikuasai dengan baik oleh kita sebagai orang biasa apatah lagi pemimpin.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; "Dan tidaklah Kami mengutus Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dalam kalangan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui". (Surah al-Nahl ayat 43)

Rasulullah SAW mendapat petunjuk langsung daripada Allah SWT. Segala panduan dalam memimpin negara daripada wahyu Allah SWT kepada baginda. Dibantu pula dengan kepakaran pada semua sahabat di sekeliling baginda. Mereka dikurniakan ilmu dan kelebihan dalam bidag masing-masing. Contohnya, Saidina Abu Bakar al-Siddiq (RA) sahabat yang memiliki kefahaman mendalam mengenai ajaran Islam. Manakala Saidina Uthman (RA) sahabat yang sangat memahami dan menghafaz al-Quran. Di samping kelebihan dalam hal ehwal ekonomi, beliau juga seorang yang sangat pemurah.

Saidina Ali (RA) pula seorang yang sangat berpengalaman dan mahir dalam bidang hadis.

Tambahan pula beliau ada kedudukan yang baik sebagai menantu Rasulullah SAW. Beliau juga mempunyai kelebihan dalam menyampaikan ajaran Islam. Ibu Mas'ud (RA) juga mempunyai kelebihan sebagai seorang yang mahir dalam ilmu fekah dan memahami ajaran Islam dengan baik. Manakala, Saidina Umar (RA) adalah contoh terdekat dalam hal berkaitan kepemimpinan. Beliau yang dikenali dengan ketegasan dan keadilan sebagai khalifah kedua. Beliau membuat keputusan berdasarkan ilmu dan keadilan dan banyak kebijaksanaannya masih diambil contoh dalam urusan pentadbiran dan keadilan sehingga sekarang.

Berdasarkan huraian di atas, kita dapat lihat betapa penting ilmu kepada setiap pemimpin. Alangkah baiknya jika setiap pemimpin ada kepakaran
dalam bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing. Pastinya dia dapat melaksanakan tugas dengan baik berpandukan ilmunya dan pertolongan orang sekelilingnya. Dia akan menggembleng seluruh tenaga untuk mengambil peluang dan menggunakan ilmu dan kepakaran mereka. Dia merujuk kepada pakar supaya memainkan peranan penting dalam setiap bidang.

Rujukan kepada pakar dapat mengenal pasti setiap isu dan permasalahan dalam masyarakat dan negara serta mendapat maklumat tepat. Pemimpin akan mendapat pandangan kritis dan tepat mengenai sesuatu perkara yang berlaku dalam masyarakat. Maka, permasalahan dapat ditangani dengan penuh hikmah. Begitu juga kita akan mendapat fakta yang tepat tentang sesuatu perkara.

Setiap pemimpin perlu sedar kelebihan dan kekurangan masing-masing. Mungkin ada yang dipilih kerana kepentingan politik dan sebagainya bukan kerana kepakaran atau ilmu mereka. Maka, dia perlu usaha menambah ilmu dan merujuk kepada pakar. Mereka akan dapat kenal pasti perkara utama dan lain-lain dengan bantuan mereka yang mahir.

Dalam Islam juga, konsep bertanya kepada ahli sangat ditekankan sebagai amalan yang memberi tumpuan kepada pencarian ilmu dan pemahaman agama.

Rasulullah SAW bersabda yag bermaksud: "Mencari ilmu adalah kewajiban bagi setiap Muslim". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa besarnya tuntutan mencari ilmu. Rasulullah SAW mendorong umat Islam menuntut ilmu, menyampaikan ilmu dan bertanya kepada ulama untuk memastikan kesinambungan warisan ilmu dalam masyarakat. Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang mati, amalannya terputus kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang mendoakan kebaikan untuknya." (Hadis Riwayat Muslim)

Secara jelasnya, bertanya kepada ahli adalah cara mendalami ajaran Islam dan mengelak penafsiran salah. Islam juga menekankan penting bertanya dengan sopan dan penuh hikmah. Bertanya bukan sekadar untuk mendapat jawapan, tetapi untuk memupuk sikap hormat dan kesantunan. Manakala dari segi kelebihannya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi, bahkan semut-semut di dalam sarangnya dan ikan, mendoakan keberkatan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Ilmu membolehkan pemimpin memahami dengan mendalam tugas dan tanggungjawabnya. Pemahaman yang baik akan membantu pemimpin membuat keputusan yang lebih bijak dan berkesan. Ia membolehkan pemimpin mengenal pasti dan menyelesaikan masalah dengan lebih cekap.

Kesimpulannya, ilmu memberi kelebihan kepada pemimpin dalam membentuk pemahaman mendalam, menangani cabaran, membina kepercayaan dan mencapai keberkesanan dalam pengurusan dan kepemimpinan. Pemimpin yang berilmu juga memainkan peranan penting dalam pembangunan yang mapan dan berkekalan.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 7:00 AM