FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

SETIAP Muslim pastinya cintakan Rasulullah SAW iaitu seorang insan yang banyak berkorban dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah. Insan agung yang sentiasa berusaha mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada nur Islam.

Sememangnya setiap perkataan dan tindakan yang ditunjukkan Rasulullah SAW adalah hujah dalam Islam. Semuanya menjadi dalil untuk diikuti oleh umat Islam kerana Baginda SAW contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia.

Firman Allah SWT  dalam al-Quran bermaksud:  "Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  (Surah Ali 'Imran, ayat 31)

Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perkara yang bersalahan dengan ketetapan Ilahi. Seluruh tindakan Baginda adalah wahyu yang wajib diimani. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu tentang Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu, tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." (Surah an-Najm, ayat 3-4)

Disebabkan martabat Rasulullah SAW yang amat istimewa, maka ramai dalam kalangan manusia sama ada yang Muslim atau sebaliknya cuba memanfaatkan nama Baginda. Maka tidak mustahil, dapat diperhatikan banyak ungkapan disandarkan kepada Rasulullah SAW. Dalam ilmu hadis, kita ada mendengar istilah  hadis mawdu'  (palsu) iaitu berkenaan apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah SAW dalam bentuk pembohongan dan pendustaan berhubung dengan sesuatu yang Baginda tidak pernah ucapkan, lakukan dan perakukan.

Hal ini bukan perkara remeh kerana ia melibatkan diri Rasulullah SAW yang mulia. Meskipun sesuatu perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW itu perkara baik namun jika ia tidak pernah dinyatakan oleh Baginda maka tidak boleh sewenang-wenangnya ia dikatakan sebagai kata-kata Baginda SAW. Jika prinsip ini tidak dijaga maka akhirnya budaya dusta dan fitnah merebak dalam kalangan umat Islam.

Perkara yang lebih menyedihkan apabila pendustaan itu dibuat atas nama Rasulullah SAW seorang insan agung yang mulia. Apatah lagi jika perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW berkaitan perkara buruk yang bersalahan dengan panduan syarak. Wujud sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab tergamak mengaitkan Rasulullah dengan perkara mungkar bertujuan untuk mengelirukan orang awam.

Rasulullah SAW sendiri memberi amaran tentang kemunculan pembohongan yang disandarkan kepada Baginda. Sebuah hadis bermaksud:  "Akan ada pada akhir zaman umatku, sekumpulan manusia bersifat seperti dajal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah." (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat beberapa golongan yang terlibat dalam kemungkaran mencipta dan menyebarkan hadis palsu, antaranya:

• Golongan zindiq yang mencipta hadis palsu bertujuan menyesatkan umat Islam.

• Golongan jahil yang mencipta hadis palsu meskipun dengan tujuan menggalakkan manusia melakukan ketaatan dan menjauhi maksiat.

• Golongan yang taasub dengan mazhab dan mencipta hadis palsu untuk menguatkan pegangan mazhab mereka.

• Golongan yang tidak mempunyai ilmu yang benar tentang hadis dan tidak berusaha mempelajarinya, tetapi bercakap mengenainya berdasarkan tafsirannya sendiri.

• Golongan pengampu yang mencipta hadis agar mereka disayangi oleh pihak tertentu.

• Golongan yang termasuk dalam kategori 'tahu agama', namun tidak berhati-hati dalam memahami hadis dan menjelaskan mafhum hadis.

• Golongan yang menjadikan hadis Rasulullah SAW sebagai modal meraih habuan dunia seperti melariskan produk jualan.

Dengan kepesatan dunia teknologi hari ini, kita sering membaca perkongsian dalam alam maya kata-kata yang dikatakan sebagai hadis Rasulullah SAW. Terdapat segelintir umat Islam yang turut menyebarkan hadis palsu mungkin kerana tidak menyedari status sebenar ungkapan tersebut. Sebenarnya masalah ini berpunca daripada sikap acuh tak acuh dalam mencari dalil bagi mengukuhkan sesuatu pandangan.

Ilmu agama tidak boleh diambil secara mudah daripada sumber yang tidak berautoriti. Usah hanya berpandukan maklumat dalam internet dalam mencari dalil agama. Rujuk kitab yang dikarang ulama muktabar agar ilmu yang diperoleh lebih tepat. Jangan sekadar dengar dan terus ambil dan sampaikan sesuatu yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW sebelum dibuat semakan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  "Cukuplah seseorang dianggap berdusta jika dia menyampaikan setiap yang dia dengar."  (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang meriwayatkan (menyebarkan) sebuah hadis daripadaku dan meyakini hadis itu palsu, sebenarnya dia juga termasuk salah seorang pendusta itu." (Hadis riwayat Muslim)

Kita semua cintakan Rasulullah SAW. Justeru, usah malas membuat semakan terhadap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Bukankah dengan membuat semakan dan meneliti ketepatan maklumat yang diterima, kita dapat menjadi umat yang sentiasa cakna tentang diri Rasulullah SAW.

Sikap berhati-hati perlu disematkan dalam diri setiap Muslim dalam menyebarkan apa juga perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW. Jauhi masalah ragu-ragu dalam diri dengan memperbanyakkan pembacaan kitab yang muktabar, mengikuti majlis ilmu dan membudayakan amalan bertanya kepada golongan yang lebih arif. Firman Allah SWT bermaksud:  "...maka bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikr (golongan yang arif) sekiranya kamu tidak mengetahui."  (Surah al-Anbiya', ayat 7)

Kecintaan terhadap Rasulullah SAW perlu dizahirkan dengan mengukuhkan pendirian agar sentiasa menjaga kemuliaan Baginda. Sesungguhnya kemuliaan diri Rasulullah SAW mencerminkan kebenaran ajaran Islam yang dibawanya tanpa sebarang tokok tambah daripadanya. Perbuatan menyandarkan sesuatu kepada Baginda yang hakikatnya tidak pernah diungkapkan akan menjadi bukti hilangnya kasih sayang terhadap Baginda. Ingatlah bahawa mengasihi Baginda mempunyai perkaitan rapat dengan iman.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia lebih mencintai aku (Rasulullah) daripada kedua-dua orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya."  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, janganlah sewenang-wenangnya menggunakan nama Rasulullah SAW dan mengaitkannya dengan sesuatu yang hakikatnya tidak disebut oleh Baginda. Setiap ungkapan yang Baginda SAW sebutkan ketika hayatnya berkenaan urusan agama sudah cukup sempurna tanpa perlu sebarang tokok tambah. Sesungguhnya agama Islam sudah sempurna dan kini tugas kita untuk memelihara dan menyebarkannya. 

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:30 AM