ADA graduan yang menamatkan pengajian sepanjang pandemik.
ADA graduan yang menamatkan pengajian sepanjang pandemik.
Rencana

Kementerian Pengajian Tinggi sudah mengumumkan kemasukan pelajar ke kampus bermula pertengahan Oktober tahun 2021. Semua institusi pengajian tinggi (IPT), khususnya universiti awam (UA) bersiap sedia menerima kemasukan pelajar bermula hari ini.

Malah, pendaftaran pelajar baharu sebenarnya selesai secara dalam talian sejak akhir September. Manakala, program suaikenal pelajar baharu juga bermula di beberapa IPT. Pelajar lama akan mula kembali ke kampus secara berperingkat.

Kemasukan ke kampus menjadi impian semua pelajar, terutamanya pelajar baharu yang ternanti-nanti saat menjejakkan kaki buat pertama kali ke menara gading. Manakala, bagi pelajar lama, inilah peluang kembali berjuang menuntut ilmu daripada pensyarah yang tertangguh lebih setahun. Bahkan, ada kalangan pelajar lama menamatkan pengajian sepanjang pandemik.

Bagaimanapun, menuntut ilmu daripada guru secara musyafahah (bersemuka) adalah kaedah yang sangat dianjurkan dalam Islam.

Menuntut ilmu adalah tuntutan agama. Terdapat banyak ayat al-Quran merujuk kepada kelebihan dan perintah menuntut ilmu. Perintah pertama mengenai tuntutan belajar ialah firman Allah SWT yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhamad SAW: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq, ayat 1-5)

Menuntut ilmu mempunyai banyak kelebihan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu,dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menjelaskan bahawa orang yang dikurniakan ilmu nescaya akan diangkat darjatnya. Bahkan Allah SWT juga menyatakan bahawa antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu sangat jauh bezanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)

Menuntut ilmu adalah fardu (wajib) ke atas setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap muslim." (Riwayat Bukhari)

Manakala, dalam kaedah menuntut ilmu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hanyasanya ilmu dengan talaqqi (belajar) dan fiqh (kefahaman) itu dengan mendalami ilmu." (Riwayat Bukhari).

Maknanya, ilmu tidak akan diperoleh tanpa belajar daripada guru, bahkan semestinya seseorang yang menuntut ilmu itu mempelajari daripada ahli ilmu (guru) dan tidak memadai dengan hanya membaca buku.

Oleh itu, peluang kembali ke kampus perlu digunakan sebaiknya oleh pelajar untuk menuntut ilmu sebagaimana kaedah ulama terdahulu.

Imam al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan beberapa pendapat daripada ulama terbilang menunjukkan manhaj (metod) keilmuan yang mereka ikut dalam talaqqi ilmu. Antara kata-katanya: "Ilmu tidak diambil melainkan daripada mulut ulama."

Ini menunjukkan betapa pentingnya bersemuka untuk menuntut ilmu. Dalam suasana pandemik, ia menuntut norma baharu iaitu kaedah pengajian dalam talian. Walaupun tidak bersemuka, keberadaan guru bersama murid (dalam talian) adalah adab yang patut diberi perhatian oleh pelajar.

Sekurang-kurangnya dapat menjamin hubungan antara guru dan murid berlangsung secara live walaupun berjauhan. Kecanggihan teknologi komunikasi sangat membantu agar proses menuntut ilmu tetap berjalan dalam apa jua keadaan.

Menuntut ilmu menyamai tuntutan berjihad fisabilillah (jalan Allah). Bahkan, jihad menuntut ilmu sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Tambahan, dalam suasana pandemik ini, sangat menuntut perjuangan semua pihak, terutamanya pengurusan IPT, pensyarah dan pelajar.

Perjuangan menyediakan kemudahan dan prosedur terbaik agar selamat daripada penularan wabak dan meneruskan pengajian dalam suasana kondusif.

Oleh itu, semua prosedur operasi standard (SOP) hendaklah dipatuhi supaya keselamatan semua pihak terjamin. Proses kemasukan pelajar juga pastinya melalui tahap yang sangat ketat.

Pada peringkat ini juga memerlukan tahap pematuhan yang tinggi terhadap kawalan kendiri terutama dalam menjaga kebersihan, penjarakan fizikal dan pastinya mesti telah lengkap vaksinasi. Semua ini dianggap jihad dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara kembali beroperasi dan meneruskan proses pembentukan generasi masa hadapan negara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah)." (Surah al-Taubah, ayat 122)

Setelah sekian lama menunggu, tibalah masa untuk pelajar kembali ke kampus dan IPT beroperasi seperti biasa. Namun, ini bukan bermakna menang dalam perang melawan Covid-19. Langkah berjaga-jaga perlu sentiasa diambil berat supaya tidak muncul kluster baru IPT.

Tegasnya, peluang menuntut ilmu daripada pensyarah secara bersemuka ini mestilah direbut sebaiknya oleh pelajar. Dengan kembali menuntut ilmu secara musyafahah (bersemuka) akan menambahkan lagi keberkatan dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:01 AM