NASIB parti dan calon yang bertanding akan ditentukan 12 Ogos ini.
NASIB parti dan calon yang bertanding akan ditentukan 12 Ogos ini.
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad


Biarpun hanya berstatus Pilihan Raya Negeri (PRN) yang hanya membabitkan enam negeri namun kehangatan suhunya seolah-olah rakyat berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU). Menariknya, apabila kali ini, banyak kerusi negeri berdepan satu lawan satu, antara gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun), masing-masing tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan ditadbir PH-BN, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu diterajui PN.

Biarpun masing-masing menyatakan keyakinan akan mengekalkan penguasaan di negeri yang ditadbir selain menambah sekurang-kurangnya satu atau lebih koleksi kemenangan, namun kelebihan tetap berpihak kepada negeri yang ditadbir selain mempunyai hubungan terus dengan mKerajaan Persekutuan.

Tidak dinafikan, kemenangan bergaya PN di Kelantan dan Terengganu pada PRU-15 lalu, bakal dijadikan 'tongkat sakti' untuk berdepan asakan bertalu lawan yang secara tradisionalnya adalah Umno/BN. Namun, penyertaan PH bersama parti itu bakal menyaksikan saingan yang sengit buat kerajaan penyandang di negeri terbabit.

Agak menarik juga di Kedah, umum mengetahui kejayaan mentadbir Kedah hasil sedikit konflik politik yang menyaksikan PN mentadbir negeri itu, namun saingan cukup terbuka biarpun PN ada kelebihan berikutan menguasai kerusi parlimen di negeri itu pada PRU-15 lalu.

Tidak ketinggalan juga di Selangor dan Negeri Sembilan. Biarpun Selangor khususnya sudah ditadbir kerajaan PH selama tiga penggal, namun kejayaan PN mengambil beberapa kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU-15 lalu tidak boleh dipandang enteng. Ia boleh dilihat sebagai isyarat saingan yang bakal dihadapi kerajaan PH/BN di negeri itu. Hakikatnya, masing-masing pasti ada senjata untuk mengekal atau menawan kerusi lawan atau penyandang. Begitu juga di Pulau Pinang, walaupun ia dilihat agak kebal di tangan PH sebelum ini, namun sokongan pengundi terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu dijangka memberikan sedikit kegusaran kepada penyandang. Namun, dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Yang pasti kempen dua minggu yang sudah bermula akan digunakan sebaik mungkin oleh kedua-dua pihak meyakinkan pengundi mengenai misi dan visi untuk negara dan rakyat negara ini.

Kini, agak mendebarkan apabila kempen tidak rasmi yang agak panas sebelum ini, bakal menyaksikan suasana lebih 'panas' untuk tempoh berkempen dua minggu yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ia bakal menyaksikan sesi 'menjual' diri calon kepada rakyat berdasarkan kelebihan latar belakang dimiliki selain parti yang diwakili.

Hakikatnya, kehangatan itu mungkin diredakan apabila pihak berkuasa melarang sesi berkempen menyentuh atau menjaja isu 3R iaitu agama, raja dan bangsa yang sebelum ini menjadi antara bahan paling ampuh untuk meraih sokongan pengundi atau rakyat.

Justeru, selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memantau isu berkenaan, polis juga sudah meletakkan ribuan anggotanya bagi mengawal keadaan PRN terbabit, terutamanya di lokasi panas di enam negeri berkaitan.

Walaupun 'larian' baru bermula, apa yang pasti, bukan saja rakyat di enam negeri terbabit, malah rakyat di negeri lain juga ternanti-nanti keputusan yang bakal muncul pada hari pengundian dan lebih tepat pada malam 12 Ogos nanti.

Semuanya kini terletak di tangan pengundi-pengundi bijak di enam negeri terbabit yang bakal dinyanyikan dengan pelbagai 'juadah' kempen parti yang bertanding.

Tidak dilupakan peranan penting golongan pengundi muda yang sudah didedahkan dengan pengalaman pada PRU-15 lalu. Persoalannya di manakah pilihan mereka kali ini? Adakah mereka akan kekal dengan status quo atau sebaliknya?

Penulis Eksekutif Copy Editor Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 6:30 PM