BALI sudah muak dengan tingkah laku buruk pelancong asing. FOTO Arkib NSTP
BALI sudah muak dengan tingkah laku buruk pelancong asing. FOTO Arkib NSTP
Syah Rul Aswari Abdullah

Bali sudah muak dengan tingkah laku buruk pelancong asing. Itu kenyataan apabila pihak berkuasanya mengeluarkan panduan etika untuk pelancong asing ke pulau peranginan popular itu, baru-baru ini.

Namun, apa yang menyebabkan Bali mengeluarkan panduan itu. Ini susulan insiden demi insiden membabitkan pelancong asing. Insiden sebegini juga bukan perkara baharu. 'Kejahilan' pelancong asing paling utama di Bali adalah memakai pakaian tidak sopan, bukan sahaja di lokasi tumpuan awam, malah di lokasi yang dianggap suci oleh masyarakat tempatan.

Tidak sukar untuk melihat sejarah tingkah laku buruk pelancong asing di Bali ini. Ada hanya perlu melayari Instagram (IG). Ada banyak akaun khusus yang didedikasikan khas untuk pelancong bertingkah laku buruk di pulau ini.

Apa yang menghairankan - meskipun menyedari ada akaun IG sebegini - pelancong ini seakan tidak mahu belajar. Sebaliknya ada segelintir yang masih dari semasa ke masa tidak menghormati budaya masyarakat Bali. Mereka juga tidak segan silu apabila berbikini dan melakukan aksi tidak sopan di kawasan yang dianggap suci.

Sikap jahil dan tidak sensitif ini sebenarnya hanya memaparkan sisi individu berkenaan yang kelihatan seperti orang tidak berpendidikan apabila berkunjung ke Bali. Sedangkan mereka berasal dari negara yang mungkin jauh lebih maju.

Insiden jelik ini juga tidak terhad kepada etika berpakaian sahaja. Pada Mac lalu, kira-kira 12 pelancong yang tinggal di sebuah inap desa di Jimbaran - kawasan pusat peranginan berhampiran pantai di Bali - mengemukakan aduan rasmi terhadap jiran kerana bunyi bising ayam yang dikatakan mengganggu tidur mereka.

Ia menyebabkan kemarahan penduduk tempatan memandangkan ayam adalah haiwan peliharaan yang biasa diternak di pulau berkenaan.

Pada 2019, media pernah melaporkan seorang pelancong asing dari Adelaide, Australia, melakukan aksi 'tendang sambil terbang' terhadap seorang lelaki yang sedang menunggang skuter, juga di Bali. Selepas itu, dia mencampakkan dirinya ke arah kenderaan. Ia selepas lelaki asing itu minum arak.

Selain itu, media juga pernah melaporkan pada tahun lalu seorang pelancong memuat naik hantaran di TikTok dan mengadu bahawa dia diberi pakaian untuk menutup tubuhnya. Sedangkan, umum mengetahui setiap tempat suci di Bali mempunyai etika pemakaian.

Pada 2016 pula, seorang wanita menyebabkan kemarahan di Bali apabila gambarnya hanya berbikini di depan sebuah kuil di Bali.

Tahun ini sahaja, sudah ada sekurang-kurangnya tiga insiden yang membangkitkan kemarahan penduduk tempatan.

Pada Mei lalu, polis Bali menahan seorang wanita Rusia selepas gambarnya berbogel di sebuah pokok suci berusia 700 tahun di pulau itu tular di media sosial. Akibat gambar tular itu, wanita itu diusir dari Bali. Insiden ini berlaku selepas dua minggu lelaki Rusia dihantar pulang kerana bergambar separuh bogel di sebuah gunung yang dianggap suci.

Terbaharu, seorang pelancong wanita Jerman ditahan selepas menanggalkan pakaiannya dan melanggar pintu keselamatan selepas dilarang melihat persembahan upacara keagamaan di sebuah kuil di Bali.

Darja Tuschinski, 28, pada mulanya dilarang masuk ke pertunjukan sebuah acara keagamaan Hindu di Bali, sebelum didakwa menolak halangan keselamatan dan menanggalkan pakaiannya sebagai protes.

Pelancong yang berambut perang itu kemudian dilihat melangkah dengan yakin melepasi penari sebelum membuka pintu berlapis emas.

Apabila seorang lelaki tempatan cuba menghalangnya, dia membongkok dan kelihatan meniru aksi pergerakan penari sebelum keluar dari platform itu dan melutut di sebelah kuil, seolah-olah sedang berdoa.

Penonton lain terkejut apabila memerhatikan pelancong itu meneruskan aksi mengaibkan itu sambil berjalan semula ke atas pentas.

Kakitangan keselamatan bergegas menghampiri dan menahan Darja kerana mengganggu persembahan itu dan menyerahkannya kepada polis di daerah Ubud. Dia juga sudah menerima hukuman akibat tindakannya itu.

Jadi, berbalik kepada panduan etika pelancong tadi, pihak berkuasa Bali mengeluarkan kad yang menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pelancong asing berikutan beberapa insiden warga asing tidak menghormati budaya dan undang-undang tempatan yang mencetuskan kemarahan penduduk, lapor Bernama memetik Agensi Berita Jerman (dpa).

Pekeliling itu yang akan diedarkan kepada pelancong semasa ketibaan dan dilampirkan pada pasport mereka, menyenaraikan 16 peraturan yang bertujuan untuk memelihara budaya, alam sekitar dan keselamatan Bali.

Pelancong yang melanggar peraturan boleh didakwa mengikut undang-undang Indonesia.

Pekeliling itu antara lain menggesa pelancong supaya menghormati budaya Bali dengan berpakaian sopan, melindungi alam sekitar, mematuhi peraturan jalan raya, penyalahgunaan dadah dan alkohol, bekerja atau menjalankan perniagaan haram.

Ia juga melarang mereka daripada memasuki kawasan suci kuil melainkan mereka memakai pakaian tradisional Bali atau untuk beribadat, mencemarkan kuil, simbol agama atau objek suci, termasuk mengambil gambar bogel.

Menurut Bernama, tindakan itu dibuat selepas beberapa siri skandal yang membabitkan pelawat asing. Selain itu, penduduk Bali juga mengadu bahawa ramai warga asing mengabaikan peraturan lalu lintas dan bekerja dalam talian tanpa visa yang sah.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 7:01 AM