Wanita Bali berpakaian tradisional pada Festival Seni Bali. - FOTO AFP
Wanita Bali berpakaian tradisional pada Festival Seni Bali. - FOTO AFP
Bernama-Dpa

Jakarta: Pelawat asing yang berkunjung ke Bali, destinasi pelancongan paling popular di Indonesia, perlu membayar yuran kemasukan sebanyak AS$10 (kira-kira RM46) seorang mulai tahun depan, kata pejabat pelancongan pulau itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Yuran itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2024, akan digunakan untuk program pemuliharaan alam sekitar dan pemeliharaan budaya di pulau itu, menurut pekeliling yang dikeluarkan oleh Pejabat Pelancongan Bali.

Ia berkata pelancong asing akan membayar yuran kepada pegawai imigresen di lapangan terbang atau pelabuhan apabila mereka tiba di Bali dan akan menerima resit dan pelekat sebagai bukti pembayaran.

Pelancong mesti menyimpan resit dan pelekat sehingga mereka meninggalkan Bali, katanya.

Bali yang mempunyai populasi kira-kira 4.2 juta orang, menerima lebih 6.2 juta pelancong asing pada 2019 sebelum wabak Covid-19 melanda.

Jumlah itu menurun kepada hanya sejuta pada 2020 dan kurang daripada 100,000 pada separuh pertama 2021, menurut data rasmi.

Yuran kemasukan itu dijangka membantu mengekalkan kualiti pelancongan di Bali dan menyokong pembangunan mampannya, menurut Putu Astawa, ketua Pejabat Pelancongan Wilayah Bali.

"Dasar ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pelancong asing untuk turut serta dalam memelihara alam sekitar dan budaya Bali," katanya dalam pekeliling itu.

Minggu lalu, Gabenor Bali Wayan Koster berkata beliau mahu menjadikan pulau itu sebagai destinasi pelancong berkualiti yang menghormati budaya dan persekitaran tempatan dengan mengikuti contoh Bhutan, negara yang mengehadkan bilangan pelawat asing dan mengenakan bayaran yang tinggi kepada mereka.

Ini berlaku selepas beberapa siri skandal yang membabitkan pengunjung asing di Bali, seperti dua penulis blog Rusia yang berbogel di tapak suci dan seorang wanita Jerman yang mengganggu upacara kuil dalam keadaan bogel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 5:43 PM