SEKUMPULAN pelancong menikmati keindahan persekitaran Gunung Batur yang dianggap suci oleh masyarakat Bali.
SEKUMPULAN pelancong menikmati keindahan persekitaran Gunung Batur yang dianggap suci oleh masyarakat Bali.
Syah Rul Aswari Abdullah

Sepanjang penularan Covid-19, Indonesia menjadi antara negara yang memberi kebenaran kepada pelancong untuk tetap tinggal di negara itu. Bali umpamanya, menjadi tempat lambakan pelancong asing yang terkandas selepas tidak dapat pulang ke negara masing-masing.

Pada masa yang sama, ada banyak influencer (pempengaruh) media sosial yang menjadikan Bali sebagai pangkalan untuk operasi mereka ketika era pandemik ini. Rata-ratanya tertarik dengan kos sara hidup yang rendah untuk menetap di pulau itu. Nilai rupiah yang lebih rendah berbanding mata wang di negara asal mereka membolehkan golongan ini hidup seperti raja dan permaisuri di situ.

Untuk melihat gaya hidup mewah influencer ini, anda hanya perlu melayari Instagram dan YouTube. Golongan ini memanfaatkan diskaun penginapan pada ketika ini untuk menginap di hotel mewah dan villa eksklusif.

Ini berikutan pelancong asing yang lazimnya membanjiri pulau peranginan ini tidak dapat berbuat demikian. Ia susulan banyak negara yang masih menutup sempadan dan menguatkuasakan pelbagai larangan perjalanan untuk rakyat mereka bagi mengekang penularan Covid-19.

Jadi, kemudahan penginapan di Bali terpaksa beralih dengan promosi menarik kunjungan pelancong dari dalam negara. Usaha ini turut disokong inisiatif 'bekerja dari Bali' yang membolehkan pengunjung jangka panjang menginap dan bekerja di Bali.

Namun, di sebalik kelonggaran ini, penduduk pulau berkenaan mula bosan dengan tingkah laku pelancong termasuk influencer dari luar negara ini. Satu persatu prank dan gimik yang dibuat oleh golongan ini untuk mencipta kandungan di media sosial mereka, hanya mengundang kemarahan penduduk tempatan.

Terbaharu, seorang influencer dari Rusia diselar selepas melakukan prank dengan mengecat mukanya dengan cat, seolah-olah dia memakai pelitup muka dan masuk ke dalam pasar raya di Bali. Aksinya dirakam oleh rakannya yang juga YouTuber dari Taiwan, Josh Paler Li.

Alasan kedua-duanya ketika disiasat oleh pihak berkuasa amat mudah. Mereka merakamkan prank itu bukan bermaksud untuk tidak menghormati peraturan pencegahan Covid-19. Sebaliknya, Li berkata, kerjanya adalah untuk menghiburkan orang ramai.

Satu lagi kes membabitkan dua pelancong Rusia di Bali menimbulkan kemarahan netizen di Indonesia selepas menunggang motosikal dari jeti dan terus menjunam ke laut. Berdasarkan video yang tular itu, kedua-dua individu berkenaan dipercayai pemilik akaun Instagram @sergey_kosenko dan @alina_oshutinskaya.

Mereka melakukan aksi berbahaya itu di Pantai Nusa Penida, sebuah lokasi pelancongan terkenal di Bali. Kedua-dua mereka merakam aksi berkenaan dengan menaiki motosikal menghala ke pantai.

Menerusi video itu, lelaki terbabit memakai seluar putih dengan baju lengan pendek ketika menunggang motosikal, manakala wanita terbabit hanya memakai bikini ketika membonceng kenderaan itu. Sambil tersenyum riang, mereka menaiki motosikal itu sehingga ia terjunam ke laut dan membiarkan kenderaan berkenaan tenggelam ke dasar laut.

Namun, ia tidak seteruk kes ketiga apabila seorang pelakon filem lucah Rusia merakamkan filem lucah di Gunung Batur, salah satu lokasi yang dianggap suci di pulau peranginan itu. Kesudahannya, mereka diburu polis tempatan.

Menurut BBC, sepanjang tahun ini, 346 pelancong asing didapati melanggar protokol kesihatan di Bali, sementara 60 orang sudah diusir dari pulau peranginan itu. Pelancong asing boleh didenda 1 juta rupiah (kira-kira RM284) jika didapati melanggar protokol berkenaan termasuk tidak memakai pelitup muka. Nilainya 10 kali ganda lebih tinggi berbanding penduduk tempatan. Kesalahan berulang boleh menyebabkan mereka diusir dari Bali. Namun, denda itu tidak sepadan dengan kesan daripada tingkah laku buruk pelancong asing ini. Ini kerana ramai orang yang melihat kandungan di media sosial influencer atau membaca kisah pelancong asing ini mungkin percaya mereka boleh melanggar protokol kesihatan sesuka hati apabila berada di Bali.

Lebih malang, jika ada yang berfikir dua kali jika mahu berkunjung ke pulau itu.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 6:15 AM