GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Menjadi seorang pemimpin, ketua dalam sesebuah jabatan, kementerian atau organisasi memang menjadi idaman setiap individu. Apa tidaknya, boleh duduk di kerusi empuk berlatarbelakangkan pejabat yang tersergam indah dengan sofa ala Itali. Belum buat kerja, tetapi sudah gah di mata pekerja atau orang bawahan.

Namun, bukan semua boleh jadi pemimpin, malah hakikatnya rezeki itu datang daripada Allah SWT. Jika kita lihat individu itu biasa-biasa sahaja, tetapi rezeki dan kehendak-Nya dijelmakan sebagai pemimpin, maka dia boleh menjadi ketua yang menerajui sesebuah organisasi.

Sebagai pemimpin, tugas untuk menjaga anak buah dengan sebaik-baiknya memang berat, apatah lagi dengan pelbagai masalah yang akan wujud pada setiap individu. Objektif sesebuah organisasi tidak kira dalam sektor kerajaan atau swasta, walaupun gah di pandang mata, namun jauh di lubuk benak fikiran dan dalam hati, hanya dia yang memahaminya. Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikirannya untuk mencapai objektif sesuatu kumpulan itu, sedar atau tidak sedar, kita akan melihat kepala ketua sudah botak, ubannya memutih dan kadang kala rambut dan pakaiannya tidak terurus selain sering keluar dan masuk hospital akibat sakit serta stres.

Kita boleh dan dapat tahu memang mereka ini dalam situasi yang tertekan, namun begitu seorang ketua yang baik dan hala tuju yang penuh makna akan menjadikan sesebuah organisasi diterajuinya menjadi lebih maju dan berjaya tidak kira dalam apa jua bidang dijalankannya.

Banyak cara, teori, gaya kepemimpinan diajar dalam ilmu kepemimpinan baik di sekolah atau di pusat pengajian tinggi, namun begitu tidak semua cara itu boleh diikuti dalam menjelmakan kepemimpinan di sesebuah organisasi yang diceburi kerana setiap persekitaran atau birokrasi adalah berbeza sama ada berunsurkan keuntungan di pihak swasta atau perkhidmatan cemerlang bagi kakitangan kerajaan.

Penulis tidak akan mengupas gaya kepemimpinan yang diterapkan dan diajar oleh cendikiawan dunia yang tersohor, apa yang penulis ingin selitkan hanyalah beberapa perkara asas yang tidak disentuh mana-mana buku atau penulisan lain iaitu:


l Perbaiki diri sendiri terlebih dahulu sebelum memimpin atau menerajui sesebuah organisasi yang diceburi. Sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut kita, pemimpin yang hebat wajib memikirkan penambahbaikan diri sendiri terlebih dahulu. Ini kerana sebagai pemimpin, kita akan sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi budaya kerja, integriti dan sebagainya. Kalau asyik menyuruh orang lain supaya meningkatkan diri sedangkan diri sendiri tidak mengambil masa untuk mengusahakan penambahbaikan diri, jangan harap orang lain akan ikut secara sukarela.

Kalau ikut pun, hanya kerana terpaksa. Oleh itu, ungkapan 'dengar apa aku cakap, bukan tengok apa aku buat' memang tidak bersesuaian buat seorang pemimpin yang hebat. Kalau hendak orang bawah datang awal, kita sendiri perlu datang awal. Kalau hendak orang bawah berlaku baik terhadap pelanggan, jangan pula kita bercakap buruk di belakang pelanggan.

l Sentiasa mengalu-alukan maklum balas. Kita sememangnya bukan pemimpin yang hebat seandainya tidak suka dengar kritikan. Kita perlu bersedia menerima maklum balas sama ada positif atau negatif. Realitinya, semua orang pasti ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Kita mesti menerima hakikat itu dengan hati terbuka.

Jika kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang kuat kipas, itu petanda tidak lama lagi kecelakaan akan melanda. Jadi, berhati-hati apabila menerima maklum balas supaya kita akan dikelilingi oleh mereka yang jujur dan berterus terang.

Bina kepercayaan dengan sikap yang tidak asyik mempertahankan diri apabila dikritik, baru orang selesa untuk memberi maklum balas, baik yang positif mahupun negatif.

l Sentiasa belajar hingga ke liang lahad. Kalau kita inginkan peningkatan, kita perlu bersedia untuk membuat perubahan.

Menerima perkara baharu, mencuba amalan baharu, melepaskan kepercayaan dan amalan lama walaupun ia selesa, tetapi tidak membawa kita ke mana-mana. Apabila sudah menjadi bos, kesilapan paling besar yang boleh lakukan adalah berhenti belajar. Anggapan 'saya sudah tahu semua' adalah titik tolak kepada bermulanya era kejatuhan. Oleh itu, kalau hendak menjadi pemimpin hebat, kerja mencari ilmu perlu diamalkan sehingga ke liang lahad. Selagi hidup, kita perlu belajar perkara baharu baik kemahiran, teknologi, pemikiran, konsep dan sebagainya yang ada hubung kait dengan apa yang kita buat.

Beli dan baca buku baharu, layari internet untuk mencari maklumat terkini dan lain-lain. Pertimbangkan soalan berikut:


l Menggalas tanggungjawab penuh. Sifat ini adalah tanda pemimpin yang hebat. Dia akan menggalas tanggungjawab bagi semua yang berlaku. Hakikatnya, sebagai pemimpin, semua akan balik kepada dirinya sama ada dasar pelaksanaan yang salah, polisi tidak betul mahupun pemilihan orang tidak sesuai. Tiada orang lain yang patut disalahkan melainkan diri pemimpin itu.

l Memimpin orang lain untuk melangkah maju. Perkara paling mudah dilakukan adalah menjatuhkan orang lain. Ini tindakan mudah kerana kegagalan adalah perkara lumrah dalam hidup. Apabila kegagalan berlaku, orang lain akan terus menggunakan kesempatan itu untuk menjatuhkan orang yang disasarkan. Tetapi inilah yang akan membezakan antara kita dengan orang lain - sama ada kita pemimpin yang hebat atau cepat mengambil kesempatan. Sebagai pemimpin, kita boleh mengkritik orang bawah, tetapi bukan dengan niat menjatuhkan martabatnya. Sebaliknya, kita patut menggunakan kecerdikan akal mengkritik berdasarkan kesesuaian yang mampu melonjak semula orang itu untuk mara ke hadapan. Ada kalanya kita perlu berlaku tegas ketika memimpin dan berkomunikasi.


Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 6:00 AM