Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
ASP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Terbaca satu cerita berkaitan semut hitam dan semut merah yang menjadi pengajaran dan cukup bermakna untuk direnungi.

'Apabila dimasukkan 100 semut hitam dan 100 ekor semut merah ke dalam botol, tiada apa yang terjadi. Apabila botol itu digoncang dengan kuat, kedua-dua spesies semut itu akan saling berbunuhan kerana menyangka ia musuh. Sedangkan orang yang menggoncang botol kaca itu adalah musuh kedua-duanya.'

Jadi, sebelum kita berkelahi, bermusuhan, kita harus bertanya dan berfikir siapakah yang menggoncang bekas kaca itu.

Cerita semut itu paling mudah difahami. Dalam dunia penuh pancaroba banyak perkara terjadi.

Pergeseran fahaman politik, birokrasi dalam kerajaan, polemik dalam jabatan atau kementerian tidak kira awam atau swasta.

Tetapi, kita perlu tahu puncanya dan usah bergaduh disebabkan orang lain yang akan mengambil kesempatan terhadap situasi itu. Jangan kita dipergunakan pihak tertentu demi kepentingan mereka.

Apa yang hendak ditekankan adalah dalam konteks keselamatan atau kepolisian yang boleh menjadi rujukan kepada sesiapa yang berminat untuk menambah ilmu mengenainya, tidak kira dalam sektor kerajaan, atau swasta.

Tindakan segelintir pihak menggoncang botol seperti kisah semut itu boleh dikatakan orang ketiga yang akan memporak peranda atau melagakan kedua-dua pihak yang baik untuk kepentingan diri atau faedah dirinya atau sengaja mahu melihat kesusahan orang lain untuk dijadikan bahan cerita atau digelak ketawa sesama mereka.

Mengapa masalah ini terjadi kepada individu atau kumpulan dalam sesebuah organisasi?

• Iri hati atau hasad dengki dengan kejayaan orang lain.

• Maksud tersirat dengan kejatuhan orang lain akan membangunkannya dan dia akan mendapat faedah.

• Ingin mentertawakan orang lain di masa kejatuhannya.

• Sifat diri sejak lahir tidak suka melihat orang lain senang.

• Dipergunakan orang lain dengan mengupah atau memeras ugut untuk melihat keaiban atau kesalahan seseorang.

• Suka-suka atau saja-saja untuk mendapat perhatian.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan supaya tidak mengalami nasib seperti semut itu?

• Peranan pemimpin. Menurut penulis John C Maxwell: "Kepemimpinan seseorang itu akan menentukan jatuh bangunnya setiap sesuatu." Isu dalam sesebuah organisasi berpunca daripada masalah biasa yang berkisar kepada pembabitan dan pelaksanaan. Punca setiap masalah adalah kurangnya kesedaran diri sama ada pada pasukan kepemimpinan atau dalam kalangan kakitangan.

• Jangan bekerja dengan budaya lone ranger dan kurang kolaborasi antara jabatan.

Pekerja atau kakitangan tidak dapat melihat gambaran besar bagaimana sesebuah organisasi itu beroperasi secara keseluruhan bagi mencapai objektifnya. Akibatnya, terbentuklah budaya kerja secara lone ranger, kurang terbentuk kolaborasi antara jabatan dalam organisasi itu.

Jika kita dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kenapa kita perlu ambil tahu berkaitan apa yang berlaku di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. Ia tiada kena-mengena dengan kita, bukan? Apabila sikap sedemikian dibiarkan menjadi barah, ia akan berpotensi membawa kecelakaan.

Cara mengatasinya adalah kerap bermesyuarat membabitkan semua jabatan yang boleh menjadi cara terbaik berkongsi apa sedang berlaku di jabatan masing-masing, termasuk kejayaan dan cabaran dihadapi dan kembali kepada visi dan misi jabatan itu sendiri.

Pemimpin boleh mengambil peluang ini untuk mengutarakan idea mengenai cara jabatan itu dapat bekerjasama bagi menyelesaikan masalah atau mengambil kesempatan daripada hasil memberangsangkan.

Menerusi cara ini, mereka betul-betul dapat mengeluarkan anak buah daripada gelembung pasukan dan memberi perspektif lebih luas tentang sumbangan kepada organisasi.

•Karisma pemimpin. Pemimpin yang mengurus secara teratur dan jangan selalu 'ghaib' untuk masa lama boleh menjadi penyebab masalah besar.

Steve Jobs berkata, beliau menggaji kakitangan bijak supaya mereka boleh memberitahunya apa perlu dilakukan. Pekerja bijak perlu diberitahu sama ada apa dilakukan mereka seiring hala tuju jabatan atau organisasi.

•Mencari punca sesuatu isu besar terjadi dan mencari penyelesaian pantas supaya ia tidak memberi kesan kepada jabatan.

Pemimpin atau kakitangan harus mengeluarkan kata-kata berani. Ia adalah tugas ketua untuk menyuarakan pendapat orang yang tidak berani bersuara.

Mungkin ada yang kurang selesa berbicara berkaitan kepayahan dialami dan mengapa ia timbul, tetapi inilah satu-satunya cara untuk mengemudi pasukan anda untuk mencapai penyelesaian. Jangan lari daripada masalah, ia hanya akan lebih sukar ditangani.

•Pemimpin lembab. Masalah sering terjadi adalah pemimpin kerap dibelenggu dalam dunia sendiri atau bermasalah atau tiada hala tuju. Sedangkan masalah tidak pernah surut, mereka akan berasa tiada masa untuk memikirkan perkara lain selain tugas sedang disiapkan.

Hasilnya, mereka terlepas pandang kakitangan yang bertungkus-lumus menyiapkan tugasan. Kakitangan akan merasa tidak dihargai dan bermulalah isu sering ditimbulkan bagi menjatuhkan sesebuah jabatan.

Dalam konteks menghapuskan atau menghindarkan diri daripada orang ketiga, kita perlu peka dengan rakan di sekeliling, berkawanlah dengan baik.

Jika kita merasa sesuatu perkara akan membawa kepada pergeseran, cepat-cepat cari jalan penyelesaian dengan bersemuka bincang jalan penyelesaian terbaik demi silaturahim.

Sebagai kumpulan atau masyarakat, kita perlu bermusyawarah membincangkan sesuatu isu walaupun isu kecil dan peranan pemimpin sangat mustahak supaya ia tidak menjadi barah yang menghancurkan masyarakat atau kumpulan.

Sebagai pemimpin tertinggi, amat mustahak mencari siapakah orang yang bertindak sebagai pemecah keharmonian masyarakat dan kaum.

Seterusnya, bawa orang itu ke muka pengadilan supaya menjadi pengajaran kepada individu lain agar tidak menjadi si penggoncang botol kaca yang menyebabkan semut merah dan hitam saling berbunuhan.

Penulis Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:15 AM