GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Apabila menggunakan pepatah atau perumpamaan ayat atau kata-kata, 'Ikan busuk mula dari kepala' ramai orang akan tidak puas hati sama ada perumpamaan itu boleh digunapakai dalam menterjemahkan keadaan sesebuah organisasi sama ada kerajaan atau swasta.

Perumpamaan itu bermaksud dengan ringkas dan mudah difahami ialah keburukan atau cacat cela sesebuah organisasi bermula daripada pemimpin tertinggi dahulu, kemudian barulah ke peringkat bawahan.

Adakah kita setuju dengan perumpamaan ini dalam organisasi kita? Ramai akan membahaskan dari segenap lapisan peringkat sama ada tertinggi, pertengahan atau pelaksana.

Ada yang setuju, ada yang tidak. Terpulang kepada pemahaman masing-masing untuk mengadaptasikan.

Jika kita di kelompok keluarga, kita adalah pemimpin keluarga. Jika dalam jabatan atau organisasi, kita berada di tahap kepemimpinan sama ada di pihak pelaksana atau pengurusan tertinggi.

Peringkat penulis lebih kepada pemahaman sangat ringkas, jika sesebuah organisasi itu baik, maka baik jugalah peringkat mana sekalipun dalam persekitaran tempat bekerja.

Jika bermula dengan tidak begitu baik, pertengahan tidak baik dan pengakhiran langsung tidak baik, maka akhirnya akan hancur organisasi atau jabatan.

Senang untuk ditakrifkan secara ringkas dan mudah. Ada ketua sangat bagus, tapi anak buahnya langsung tidak boleh dibentuk dan diajar lagi.

Ada anak buah di peringkat pelaksana sangat komited dalam kerjaya, tetapi ketuanya pula macam 'poyo' seribu bahasa. Susah untuk menjadikan sesebuah organisasi selari menuju ojbektif untuk peringkatnya.

Jadi, penulis amat setuju jika ketuanya bagus, anak buahnya akan turut bagus dan jika ketuanya 'konar baring' maka anak buahnya dan jabatannya akan ke parit juga.

Pepatah cukup popular dalam kalangan masyarakat Melayu pula mengumpamakan dengan 'jika guru kencing berdiri, murid kencing berlari'. Maksudnya perbuatan seseorang guru itu menjadi ikutan murid.

Mereka memerhati tingkah laku dan keperibadian guru setiap hari. Murid atau pelajar mampu menilai kesungguhan dan komitmen guru di bilik darjah.

Begitu juga dengan kepemimpinan dalam masyarakat dan negara semuanya bermula daripada pemimpin. Kesultanan Melayu Melaka menjadi simbol kepemimpinan apabila Parameswara memeluk Islam dan menukar namanya kepada Megat Iskandar Shah pada 1414.

Pengikutnya beramai-ramai mengikut beliau menyatakan keislaman mereka. Demikian hebatnya pengaruh kepemimpinan dalam menentukan watak pengikut yang perlu diteladani ketua.

Kepemimpinan adalah amanah. Tidak semua orang sanggup memikul amanah kerana bebanan dan risiko ditanggung bukan sahaja setakat di dunia, tetapi berlanjutan hingga ke alam kubur, mahsyar dan berdepan dengan mahkamah Tuhan Rabbul Jalil untuk mempertanggungjawabkan setiap perbuatan semasa hidup.

Mempelopori nilai kebaikan dalam memimpin seperti jujur, integriti (takwa), bersih, akauntabiliti, ikhlas dan semata-mata mencari reda Allah dapat menyelamatkan manusia daripada terjebak dengan unsur kemungkaran dan kefasadan yang boleh mematikan hati.

Apabila hati sudah mati, manusia mudah terpengaruh dengan perbuatan keji kerana jauh daripada nur Ilahi. Kepemimpinan contoh dalam membudaya etika kerja berlandaskan suruhan Tuhan menjadi prinsip ketua beriman.

Paradigma tauhid yang menunjang dalam diri menjadi benteng mencegah salah guna kuasa, penyelewengan dan ketirisan pengurusan dana awam.

Memang benar peranan seseorang pemimpin sangat mempengaruhi persekitaran organisasi atau kesejahteraan masyarakat dan negara kerana mereka mempunyai autoriti dan kata pemutus sesuatu keputusan.

Pemimpin berkarisma mempunyai aura membangun legasi kerana ucapannya menjadi pegangan dan ikutan pengikut.

Pemimpin berkarisma melihat seluruh organisasi sebagai kapal yang belayar di lautan. Nakhodanya sentiasa fokus kepada kompas supaya kapal tetap berada pada jalur betul sehingga ke destinasi dituju.

Pemimpin sejati mencari ruang dan peluang menambah baik organisasi, bersikap profesional dengan orang bawahan, tidak bersandiwara atau berpura-pura senyum di depan tetapi menikam di belakang.

Pemimpin berintegriti mengamalkan konsep Blue Ocean Strategy untuk kesejahteraan pengikut bagi meningkatkan produktiviti yang optima.

Justeru, kepemimpinan bukan sesuatu yang dipandang enteng, Tersalah pilih akan merugikan organisasi dan pengikut.

Pepatah 'ikan mula busuk dari kepala' adalah perumpamaan sangat bertepatan untuk menggambarkan sikap dan perilaku seseorang pemimpin yang tidak amanah.

Analogi mudah jika seseorang ketua tidak amanah, organisasi dan jabatannya tidak terurus sehingga merugikan pekerja, masyarakat dan negara.

Jadilah kita seorang pemimpin yang baik bertepatan dengan kehendak objektif, misi dan visi organisasi kita berada dan jauhilah daripada sifat pemimpin yang melencong daripada kehendak pucuk pimpinan.

Dewasa ini, pemimpin berkarisma dan berintegriti sangat ditagih masyarakat baik dalam menerajui pucuk pimpinan organisasi atau negara.

Biar muka tidak kacak, janji kualiti kepemimpinan di tahap tertinggi. Jangan muka ala-ala artis TikTok bagai, tapi kepemimpinan tahap ke laut.

Sukar untuk mendapat pemimpin yang kualiti kepemimpinannya 100 peratus, tetapi jika kita sebagai ketua tidak mencapai tahap hebat, bersederhana itu lebih baik daripada pemimpin yang 'corner zig-zag'.

Ingatlah kita adalah pemudahcara kepada kerajaan dan berbaktilah dengan bangga dan ikhlas untuk negara kita yang tercinta.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 7:01 AM