Oleh Amie Sofia Ahmad

Assalamualaikum. Belum terlambat mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri Kedah atas pelantikan menteri besar yang baru. Orang datang dan pergi, hujan turun dan berhenti, makhluk hidup dan mati.

Banyak pengajaran yang boleh kita hadam. Teringat nukilan oleh teman di sebuah stesen radio tempatan.

Mengambil bahagian dalam politik adalah tindakan yang mulia dan berfaedah sekiranya pembabitan itu diniatkan untuk mencari keredaan Allah SWT.

Bergiat dalam politik untuk menerajui kuasa pemerintahan sepatutnya dijadikan sebagai landasan untuk seseorang itu melaksanakan amanah bagi membawa rahmat ke seluruh alam.

Surah al-Anbi’ ayat 107 menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW, serta Nabi dan Rasul yang lain, diamanahkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Oleh itu, setiap orang yang beriman wajib mencontohi mereka melaksanakan amanah ini demi kesejahteraan alam.

Saya percaya biar siapa pun yang memegang tampuk kepemimpinan, amanah dan tanggungjawab harus diutamakan. Pemimpin yang dipilih seharusnya menganggap peluang untuk memimpin sesebuah organisasi itu sebagai satu amanah menerajui organisasi itu mencapai ke tahap yang paling cemerlang.

Justeru, pemimpin harus memiliki wawasan yang jauh, bersikap dinamik dan sentiasa berusaha memajukan organisasi. Kejujuran dan keikhlasan pemimpin dengan amanah itu adalah asas penting.

Pemimpin yang jujur akan mengorbankan tenaganya untuk memperbaiki prestasi organisasi secara berterusan. Ia bukan sekadar menjaga prestasi organisasi tetapi sebaliknya berusaha berterusan membuat pembaharuan ke arah kebaikan.

Pemimpin juga seharusnya bersikap positif terhadap kebajikan kepada semua lapisan pekerja. Mementingkan kebajikan pekerja adalah satu ciri yang akan membawa kepada prestasi kejayaan organisasi berkenaan.

Faktor kebajikan pekerja mesti mendapat pembelaan yang baik kerana kejayaan organisasi mampu dicapai oleh kemampuan memartabatkan kebajikan pekerja dan bukan faktor kemajuan teknologi sahaja. Bahkan tidak akan ada kemajuan teknologi tanpa penyelesaian persoalan kebajikan pekerja.

Pembaca yang budiman. Secara mudahnya contohilah Rasulullah SAW dalam memimpin dan membimbing masyarakat. Terapkan empat asas iaitu, siddiq yakni benar dalam segala hal, sekalipun hal itu mungkin merugikan, amanah dalam tanggungjawab, amanah dalam masa, amanah dalam menjaga harta kerajaan dan amanah dalam memenuhi hak mereka di bawah kepemimpinan kita, tabliq iaitu menyampaikan, sampaikan kebenaran, sampaikan bantuan baik dari segi material mahupun spiritual.

Seterusnya fathonah iaitu bijaksana, saya percaya kebijaksanaan bukanlah dinilai daripada sijil pelajaran atau nilai kumulatif, namun bijak dalam menyelesaikan masalah ummah dan menyenangkan semua pihak.

Ingatlah yang paling mulia di sisi Allah bukan dikira daripada harta benda ataupun kelayakan tetapi mereka yang bertakwa. Selain keperluan menepati ciri berteraskan prinsip sifat Rasulullah, dapat disimpulkan bahawa dalam suasana pemilihan pemimpin, seharusnya memilih pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan berkesan sesama sendiri (masyarakatnya) dengan masyarakat lain sekelilingnya, mempunyai ketajaman fikiran, pragmatis dan berpandangan jauh.

Pembaca yang setia, perlu juga untuk seorang pemimpin mempunyai pertimbangan praktikal dalam mengambil langkah yang boleh mengancam kekuatan masyarakat dan negara yang mereka pimpin di samping membina kekuatan masyarakat dari semua aspek ekonomi, psikologi dan sebagainya.

Berusaha semampunya untuk memperoleh sokongan padu dan tidak berbelah bahagi dari setiap lapisan masyarakat yang dipimpin, termasuk bukan Islam.

Tahniah saya ucapkan dari anak Kedah yang berada di perantauan, moga amanah ini dapat dijalankan dengan baik dan paling penting mensejahterakan rakyat dunia dan akhirat. Saya kongsikan sepotong hadis buat ingatan kita semua.

Dari Abdur Rahman bin Samurah r.a katanya: Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Hai Abdur Rahman! Janganlah engkau meminta-minta hendak jadi pembesar negara kerana jika engkau jadi pembesar kerana permintaan, tanggungjawabmu akan besar sekali. Dan jika engkau diangkat tanpa permintaan, engkau akan dibantu orang dalam tugasmu.” (HR Muslim )

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 12:55 AM