FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Antara kelebihan yang Allah SWT khususkan pada bulan Ramadan ialah gandaan pahala yang sangat banyak berbanding bulan lain. Secara asasnya setiap amalan baik yang dikerjakan akan digandakan pahala antara sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda.

Oleh itu, menjadi kelaziman masyarakat Islam di seluruh dunia untuk merebut peluang bagi mendapatkan ganjaran besar ini. Sehubungan itu juga, kita melihat pelbagai acara dan kempen dilakukan agar tidak ada seorang pun yang ketinggalan daripada memenangi tawaran terbuka daripada Allah SWT.

Dalam konteks masyarakat biasa, sentiasa ada tawaran yang besar seperti yang biasa dilakukan di pasar raya apabila menjelangnya sesuatu sambutan terutama sempena perayaan. Maka, orang ramai akan berebut mendapatkan tawaran itu. Begitulah sebenarnya lumrah yang Allah SWT tetapkan di dalam diri setiap orang untuk berlumba-lumba mendapatkan gandaan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi.

Dalam ganjaran dunia ini, setiap orang pastinya akan bersaing untuk mendapatkan ganjaran atau balasan yang lebih daripada orang lain atau paling tidak mendapat ganjaran besar sebagaimana yang diperoleh orang lain.

Semangat berlumba bagi mendapatkan habuan yang banyak ini sudah menjadi fitrah manusia. Allah SWT berfirman: "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk kubur." (Surah al-Takathur, ayat 1-2)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menegaskan peringatan manusia akan tenggelam dengan keghairahan untuk berlumba-lumba mengumpul harta yang banyak tanpa mengira batasan sehingga melalaikannya daripada akhirat.

Untuk mendapatkan sebanyak mungkin harta kekayaan atau pangkat paling tinggi seterusnya kedudukan paling atas tidaklah menjadi larangan di dalam Islam. Bahkan, kita dapat melihat perkara ini sentiasa berlaku dan mesti ada di kalangan orang Islam yang kaya, berjawatan tinggi dan menjadi pemimpin tertinggi di dalam masyarakat. Itu jugalah sebenarnya yang menjadi tuntutan kepada seluruh umat Islam agar menjadi umat terbaik.

Allah SWT berfirman: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat perkara yang baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang yang fasik." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Pada Ramadan, pastinya kita akan menyaksikan kemeriahan yang berbeza daripada bulan biasa. Perkara pertama yang dapat disaksikan ialah umat Islam mengisi hari dan malam Ramadan dengan ibadat.

Antara ibadat paling penting ialah solat Tarawih. Solat tarawih adalah sunat muakkad dan sangat digalakkan untuk didirikan secara berjemaah. Oleh itu, kita akan melihat masjid di seluruh dunia termasuk di negara kita akan dipenuhi dengan para jemaah pada bulan Ramadan. Namun, pada masa sama, kita menyaksikan bagaimana umat Islam akan semakin berkurangan di masjid apabila semakin menghampiri pertengahan dan akhir Ramadan. Di sinilah berlakunya keadaan yang tidak sepatutnya kerana berdasarkan panduan daripada Baginda Rasulullah, hari-hari terakhir Ramadan disediakan ganjaran yang lebih besar.

Apabila menghampiri akhir Ramadan khususnya sepuluh akhir Ramadan, Allah SWT menyediakan ganjaran lebih besar daripada hari biasa.

Oleh itu, Rasulullah SAW menumpukan kepadanya sebagaimana hadis Baginda: "Adalah Rasulullah SAW itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh terakhir (daripada Ramadan) melebihi ibadah Baginda pada hari lain." (Hadis Riwayat Muslim)

Dapat difahami daripada hadis ini, Allah SWT menyediakan ganjaran lebih besar kepada orang yang istiqamah untuk meneruskan amal ibadat pada Ramadan khususnya pada sepuluh hari terakhir Ramadan sebagaimana petunjuk Rasulullah SAW.

Lailah al-Qadr (Malam al-Qadar) menjadi sasaran untuk dicapai oleh mereka yang berpuasa. Ganjaran sangat lumayan iaitu melebihi ganjaran seribu bulan adalah tawaran yang tidak didapati di mana-mana.

Malah, tawaran ini terbuka kepada Muslim beriman dan meyakini bahawa Allah SWT sahajalah yang layak memberikan ganjaran sebagaimana yang dinyatakan. Perkara ini juga menjadi bukti keimanan seseorang kepada Allah SWT. Orang yang berpuasa dan meyakini ganjaran ini daripada Allah SWT sahaja yang layak mendapat ganjaran besar itu.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosanya yang terdahulu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW menyatakan syarat berpuasa dan qiyam pada Ramadan serta meletakkan harapan kepada ganjaran yang akan diraih daripada Allah SWT akan diampunkan dosanya yang terdahulu. Keampunan dosa juga adalah matlamat setiap Muslim untuk kembali bertemu Allah SWT dalam keadaan suci daripada dosa selain daripada matlamat utama untuk meraih syurga.

Begitulah hebatnya tawaran yang Allah SWT kemukakan kepada kita pada Ramadan yang mulia. Oleh itu, Rasulullah SAW bersama para sahabat sentiasa menunggu kehadiran Ramadan. Masa yang masih ada sebelum ketibaan Ramadan hendaklah digunakan untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi Ramadan agar setiap tawaran yang Allah SWT kurniakan tidak terlepas dan berjaya dicapai.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:15 AM