HARGA roti canai yang mencatatkan kenaikan adalah kerana persepsi atau khabar angin mengenai kenaikan harga tepung.
HARGA roti canai yang mencatatkan kenaikan adalah kerana persepsi atau khabar angin mengenai kenaikan harga tepung.
KAFE AHAD

Roti canai naik harga dan ia mungkin jadi petanda lebih banyak harga barangan akan meningkat, seterusnya menambah beban orang ramai.

Bagaimana pula dengan isu sekuriti makanan? Ia juga perlu diberi perhatian.

Selain itu, keutamaan juga perlu diberi kepada pemulihan ekonomi negara. Ini kerana, ketika ini, jika tumpuan tidak diberi kepada pemulihan ekonomi, ia pasti akan memberi implikasi buruk kepada pelbagai program bantuan untuk rakyat.

Mungkin ramai yang masih selesa dengan keadaan ekonomi kini yang tidak terlalu 'mencengkam' mereka namun ia akan berubah jika tidak diberi perhatian utama.

Apa akan berlaku kepada kita sebenarnya? Bagaimana kita boleh terkesan dengan semua ini?

Ikuti wawancara Pakar Ekonomi PROF EMERITUS DR BARJORAI BARDAI bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Harga roti canai naik 20 sen. Ia mungkin akan menjadi rantaian kepada kenaikan harga barangan lain?

Sebenarnya harga roti canai naik disebabkan harga tepung naik.

Di Malaysia, harga tepung belum naik lagi, tetapi harga roti canai sudah naik. Ini ditambah lagi dengan kesan persepsi dan berita khabar angin.

Kelajuan sistem maklumat membawa berita dari Timur Tengah, Afrika dan Eropah tentang kesan sekatan penawaran gandum dari Russia dan Ukraine telah menyebabkan peniaga di Malaysia mengambil peluang untuk menonjolkan kemungkinan kekurangan bekalan di pasaran dan mula mengetatkan penawaran di pasaran.

Di gerai dan restoran misalnya, ada yang sudah mula mencatu pembelian roti canai yang mana setiap pelanggan tidak boleh membeli lebih daripada lima atau 10 keping roti canai. (Ini sebenarnya meniru senario di negara Afrika atau Timur Tengah).

Kemudian, peniaga mula menaikkan harga. Kenaikan harga 20 sen misalnya ditentukan menggunakan andaian peniaga sahaja kerana harga tepung belum pun naik, tetapi mereka menjangkakan mereka akan mengalami kesulitan untuk mendapatkan bekalan tepung.

Jika harga tepung meningkat 20 peratus pun, kos membuat roti canai tidak akan meningkat 20 sen keping kerana kos sekeping roti canai tidak sampai pun 30 sekeping.

Jadi, secara efektifnya, sebenarnya peniaga mengambil untung tambahan daripada kenaikan kos bagi menaikkan harga roti canai tersebut.

Selepas itu, semua peniaga barangan yang berkait dengan tepung gandum pun akan mengikut langkah ini dan menaikkan harga.

Jadi, kita mungkin akan mula mengalami kekurangan roti di pasaran.

Semua kuih-muih yang menggunakan tepung gandum juga akan meningkat naik harganya.

Akhirnya semua jenis makanan siap yang mengandungi tepung akan meningkat naik pada kadar yang jauh lebih tinggi daripada kenaikan kos tepung.

Mengikut teori ekonomi, jika harga barang meningkat, jumlah permintaannya akan menurun dan penawaran akan meningkat.

Tapi itu untuk barang biasa.

Bagi barang yang dilihat sebagai keperluan asas seperti makanan, kenaikan harga tidak akan menurunkan permintaan.

Ada juga pengguna yang akan cuba untuk menggantikan penggunaan. Mereka mungkin cuba berpindah kepada barangan pengganti lain seperti capati, tose, naan atau makan lempeng saja di rumah.

Tetapi semua makanan ini juga menggunakan tepung gandum untuk menyediakannya. Jadi penjimatan yang boleh diharapkan mungkin agak kecil walau pun pengguna berpindah kepada barang gantian.

Setiap kali ada kenaikan harga sesuatu barangan asas, pasti harga barangan lain akan turut dinaikkan walaupun adakalanya dilihat tiada kena mengena?

Di Malaysia, kita mengamalkan sistem pasaran bebas atau dipanggil kuasa permintaan dan penawaran.

Harga akan ditentukan oleh jumlah kuantiti permintaan dan respon penawaran.

Bergantung kepada bilangan pembekal dan kuasa (monopoli) pembekal, peniaga boleh menentukan harga pasaran dengan menyelaraskan jumlah penawaran berbanding dengan permintaan.

Jika peniaga dapat memastikan yang jumlah penawaran adalah kurang sedikit daripada jumlah permintaan, mereka dapat merasionalisasikan kenaikan harga dengan perkataan sakti 'bekalan kurang di pasaran'.

Dalam tempoh empat bulan lalu umpamanya, gejala pengguna 'gian' untuk makan di luar telah mengharungi pasaran.

Ini telah menyebabkan kenaikan permintaan yang mendadak terhadap makanan di luar rumah - restoran, kedai mamak dan gerai. (Ini mungkin berlaku disebabkan pengguna sudah jemu terperuk di rumah sewaktu tempoh kawalan pergerakan).

Terutamanya, permintaan ke atas makanan segera meningkat mendadak.

Apabila peniaga menaikkan harga makanan di luar - harga ayam seketul meningkat daripada RM2 menjadi RM6 hingga RM8 seketul, bila ditanya mengapa kenaikan yang mendadak dan terlalu tinggi, mereka menjawab susah mendapat bekalan ayam dan harga ayam mentah sedang meningkat.

Susah untuk pelanggan membantah kerana kuasa penawaran yang kuat mengatasi permintaan.

Biasa berlaku bila kos seperti petrol dan diesel meningkat, peniaga serta-merta menaikkan harga barangan dengan alasan kos penghantaran barang meningkat tinggi.

Tetapi kenyataannya ialah, kenaikan harga adalah keterlaluan berbanding dengan kenaikan kos sebenar.

Kenaikan kadar gaji minimum RM1,500 beri banyak kelebihan kepada warga pekerja untuk berbelanja. Ada kemungkinan ia dijadikan sebab oleh peniaga untuk naikkan harga barangan?

Apabila pendeposit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibolehkan mengeluarkan RM10,000, didapati RM60 bilion wang dikeluarkan dan terus di belanjakan untuk Aidilfitri.

Ini menyebabkan permintaan berkesan di pasaran meningkat naik dengan cepat. Daripada aspek positifnya, ia menambah perbelanjaan persendirian dan mewujudkan kesan pengganda yang menjana pertumbuhan ekonomi.

Tetapi kesan sampingannya ialah, ia menambah permintaan secara terdesak dan menyebabkan pengeluar tidak dapat menyambut dengan penawaran tambahan bagi memenuhi permintaan tambahan.

Jadi, harga terlajak naiknya. Begitulah juga dengan kenaikan gaji minimum RM1,500.

Kenaikan RM300 sebulan untuk lebih 350,000 pekerja memberikan kesan yang agak besar juga.

Ia menambah pendapatan pengguna sebanyak RM105 juta sebulan atau RM1.26 bilion setahun. Ini pastinya akan menambah permintaan berkesan di pasaran.

Tetapi angkanya tidaklah sebesar berbanding pengeluaran KWSP.

Jika dilihat, banyak lokasi di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur dan banyak bandar besar lain sentiasa sesak dengan lalu lintas. Ia petanda ekonomi sedang memulih dengan rancak?

Di Malaysia, kita ada lebih 35 juta kenderaan/kereta. Ini lebih banyak dari bilangan penduduk iaitu 32.6 juta.

Sebenarnya, isi rumah di Malaysia lebih mementingkan kenderaan/kereta daripada perbelanjaan lain.

Mungkin disebabkan jaringan sistem pengangkutan yang masih tidak lengkap tidak membolehkan mereka menggunakan pengangkutan awam.

Ini merupakan satu gejala biasa di negara membangun yang sedang menuju menjadi negara maju. Ramai kumpulan kelas menengah rendah berkejar-kejar untuk memiliki kenderaan/kereta.

Di satu bahagian, ini menunjukkan ekonomi Malaysia sedang rancak membangun. Namun kita perlu mengkaji sama ada bilangan kenderaan baru merupakan bahagian yang lebih besar daripada jumlah kenderaan kereta yang ada di jalan raya.

Atau pun, lebih banyak kereta terpakai atau buruk yang membayangkan juga status ekonomi pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 5:27 PM