BERNAMA

Tumpat: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu dan Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagaimanapun kedua-dua gabungan sudah bersetuju tidak akan bertanding menentang sesama sendiri pada pilihan raya itu nanti.

"Di Kelantan, PH pakai logo PH dan BN pakai logo BN tetapi tidak bertembung dari segi kerusi," katanya pada sidang media selepas melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan di Teluk Renjuna hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu berkata, secara keseluruhan, perbincangan PH dan BN berkaitan proses pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal ditandingi berlangsung dalam mood yang baik.

"Alhamdulillah... kita tak ada masalah. Malam ini pun kita ada program ceramah bersama Amanah dan UMNO di Kota Lama, Kota Bharu.

"Penyelesaian pembahagian kerusi di Kelantan juga agak cepat, bagi saya mood sangat positif, seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini, kita nak pastikan ada semak dan imbang di DUN Kelantan nanti, itu misi PH dan BN," katanya.

Dun Kelantan, yang mempunyai 45 kawasan, akan dibubar pada 22 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN serta bakal menyaksikan perebutan kerusi antara Pas dengan gabungan BN dan PH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 9:31 PM