Kumpulan M40 sering kali kelihatan tercicir mahupun kurang diberi perhatian dalam inti pati bajet yang dibentangkan.
Kumpulan M40 sering kali kelihatan tercicir mahupun kurang diberi perhatian dalam inti pati bajet yang dibentangkan.
minda

Semua lapisan anggota masyarakat menunggu dengan penuh teruja untuk mengetahui apa inisiatif dan insentif yang bakal diumumkan dan dilaksanakan kerajaan melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.

Bajet ini menarik perhatian kerana ia dilihat sangat penting untuk menentukan hala tuju kelangsungan hidup rakyat pada fasa endemik pasca serangan Covid-19, di samping bajet ini juga menjadi bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga ada yang menganggap sebagai bajet pilihan raya.

Bajet kali ini dijangka memberi fokus kepada empat perkara utama iaitu kepentingan rakyat, perniagaan, ekonomi dan penyampaian perkhidmatan.

Sejak beberapa bulan lalu kedengaran pelbagai cadangan, permintaan dan tuntutan daripada semua golongan rakyat untuk dipertimbangkan kerajaan seterusnya diumumkan dalam pembentangan bajet.

Dalam konteks ini, penulis ingin memberi perhatian khusus kepada harapan golongan berpendapatan sederhana atau lebih dikenali sebagai kumpulan M40 yang sering kali kelihatan tercicir mahupun kurang diberi perhatian dalam inti pati bajet yang dibentangkan.

Tidak dapat dinafikan kerajaan wajar memberi perhatian lebih kepada golongan berpendapatan rendah atau B40, namun hakikatnya sejak negara dilanda krisis kesihatan dan ekonomi susulan serangan pandemik Covid-19, ramai golongan M40 mula beralih ke kategori B40 dan semakin terhimpit dengan desakan kehidupan.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan turut memberi perhatian lebih serius kepada golongan M40 sebagai usaha untuk membantu memulihkan kehidupan mereka.

Hakikatnya peralihan golongan M40 kepada B40 mula berlaku sebelum Covid-19, namun pandemik memburukkan lagi keadaan dengan ketidakstabilan ekonomi, penurunan paras gaji, lonjakan kadar pengangguran serta langkah majikan mengecilkan kos operasi lantas mewujudkan golongan 'miskin baharu' dalam masyarakat.

Antara inisiatif yang wajar dipertimbangkan kepada golongan M40 ialah pengurangan cukai pendapatan supaya pendapatan boleh guna meningkat selain dapat mengawal tindakan bank yang menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), sekali gus meningkatkan bayaran ansuran bulanan.

Ironinya, inisiatif bantuan kepada kumpulan M40 setakat ini tidak begitu menyeluruh seperti dinikmati kumpulan B40 sedangkan kelompok ini terpaksa membayar cukai pendapatan setiap bulan.

Justeru, jika kadar cukai pendapatan dapat dikurangkan mereka akan menikmati sedikit lebihan pendapatan boleh guna yang akan membantu meringankan beban kewangan secara bulanan, khususnya untuk membeli barangan harian, sekali gus merancakkan lagi kitaran ekonomi domestik.

Secara prinsipnya, kita perlu sedar penilaian M40 sebenarnya atas slip gaji saja kerana golongan M40 terutama di kawasan bandar boleh dikatakan hampir tidak wujud kerana kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka boleh dianggap sebagai miskin bandar dan kadangkala lebih memerlukan bantuan berbanding B40.

Selain pengurangan cukai pendapatan, kerajaan juga boleh menimbangkan kemungkinan turut memberikan subsidi bersasar walaupun dalam jumlah kecil dengan mengambil kira indikator seperti jumlah pendapatan serta tanggungan isi rumah serta lokasi kerja dan rumah mereka.

Indikator ini akan memberikan gambaran jelas dan menyeluruh berkaitan status golongan M40 pada saat sangat getir dan mencabar ini.

Dalam hal ini, dengan mengambil kira cadangan beberapa pihak sebelum ini untuk memperluaskan kemudahan subsidi kepada kelompok ini, kerajaan boleh membantu dengan pelbagai cara antaranya memberikan kad khusus untuk membeli barang keperluan asas terpilih pada harga berpatutan di pasar raya dan kedai runcit yang terbabit dengan program pemberian subsidi bersasar ini.

Malah, penggunaan aplikasi MySejahtera juga wajar dioptimumkan untuk tujuan ini apabila kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan aplikasi ini selain memanfaatkan pangkalan data daripada MyKad bagi pemberian subsidi lebih bersasar kepada semua golongan sasaran.

Di samping itu, kita juga berharap kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) untuk kelompok M40 yang terpilih.

Insentif tunai seperti ini difikirkan wajar kerana kelompok ini juga terkesan teruk ketika ini akibat kenaikan harga barangan dan kos sara hidup yang tinggi.

Umumnya bantuan tunai kepada golongan B40 dan M40 banyak membantu kelangsungan hidup harian kelompok ini di samping merancakkan kitaran ekonomi tempatan.

Walaupun tambahan skim bantuan tunai seperti ini akan menambahkan kos perbelanjaan kerajaan, namun ia kelihatan sangat diperlukan sekarang oleh rakyat untuk pulih daripada kesan pandemik dan kemelesetan ekonomi global.

Golongan M40 juga sangat berharap akan ada inisiatif dan insentif khas tambahan untuk membantu mereka memiliki rumah sendiri.

Hal ini penting kerana mereka yang bekerja di bandar masih jauh daripada mampu membeli rumah di kawasan bandar kerana harga cukup tinggi berdasarkan lokasi hartanah terbabit.

Walaupun kerajaan dari semasa ke semasa mengumumkan pelbagai inisiatif pemilikan rumah kepada rakyat, namun secara keseluruhannya masih ramai belum memiliki rumah sendiri.

Misalnya, baru-baru ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat memaklumkan kira-kira 50 peratus daripada 1.62 juta penjawat awam di Malaysia belum mampu memiliki rumah sendiri dan ini belum ditambah lagi dengan pekerja swasta yang turut berhadapan cabaransama.

Tuntasnya, semua lapisan anggota masyarakat khususnya golongan M40 yang sering dilihat ketinggalan meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan supaya akan ada buah tangan yang menarik dalam pembentangan Bajet 2023 ini demi kesejahteraan hidup seluruh keluarga Malaysia.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 7:00 AM