Pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan memberi suntikan tunai dan bantuan tambahan tunai untuk meningkatkan kuasa membeli.
Pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan memberi suntikan tunai dan bantuan tambahan tunai untuk meningkatkan kuasa membeli.
Suliati Asri

Dalam usaha membantu rakyat mendepani peningkatan kos sara hidup, kerajaan memperkenal pelbagai inisiatif untuk membantu dan menjaga kebajikan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Walaupun kerajaan sering dilihat seperti mengutamakan golongan B40, namun hakikatnya, kepentingan golongan M40 juga tidak diabaikan kerana mereka juga terkesan akibat kos sara hidup yang semakin mancabar dan memerlukan bantuan kerajaan.

Menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan pada Februari, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif kepada golongan M40.

Antara inisiatif yang mendapat perhatian ramai adalah pengurangan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan.

Penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Aimi Zulhamzi Abdul Rashid ber- kata pengurangan itu se- memangnya sangat membantu golongan M40.

Inisiatif itu memberi suntikan tunai dan bantuan tambahan tunai untuk meningkatkan kuasa membeli.

"Pengurangan kadar cukai itu amat membantu menambahkan tunai di dalam poket penerima bagi menampung perbelanjaan yang meningkat masa kini.

"Untuk pelepasan cukai rawatan pula, manfaat yang diberikan akan dinikmati sepanjang tahun. Walaupun ia adalah belanja dulu tuntut kemudian, namun ia membantu sesiapa yang perlu menanggung kenaikan kos rawatan," katanya.

Golongan B40 sudah pun menikmati rawatan percuma di hospital kerajaan, kecuali mereka yang mempunyai insurans atau takaful untuk menampung kos rawatan.

Pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dan bantuan pembiayaan pemilik rumah pertama menerusi SJKP antara inisiatif yang mendapat perhatian.

"Jadi, mungkin pelepasan cukai ini lebih membantu segmen atasĀ M40 kerana mereka menggunakan rawatan di pusat kesihatan atau hospital swasta," tambahnya.

Selain itu, pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dan bantuan pembiayaan pemilik rumah pertama menerusi SJKP juga antara inisiatif yang mendapat perhatian.

"Dr Aimi Zulhamzi berkata manfaat itu dilihat dapat membantu memberi suntikan kepada industri hartanah yang lembap dan lambakan unit yang masih tak terjual.

"Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) menyebabkan ramai yang menangguhkan pembelian rumah sehingga ekonomi lebih stabil dan kadar faedah lebih sederhana.

"Bagaimanapun, pemilikan rumah adalah satu keperluan. Walau dalamĀ keadaan pendapatan yang ditekan oleh keadaan semasa, namun jika ada peluang untuk memiliki rumah, pasti tidak ada yang akan menolak.

"Jadi manfaat daripada kerajaan ini sememangnya ditunggu-tunggu terutama bagi golongan muda yang baru berkeluarga," katanya.

Antara inisiatif lain ialah elaun RM300 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja gig jalani program peningkatan kemahiran, dan ia perlu dimanfaat sebaiknya oleh penerima. Begitu juga dengan Pas Bulanan My50 & Pas MyBAS50.

Dr Aimi Zulhamzi berkata manfaat itu sangat membantu golongan M40 yang tinggal di bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Program ini bagus karana ia amat membantu warganegara secara langsung dengan subsidi pengangkutan awam dan perlu berkekalan.

"Ia juga boleh diluaskan kepada bandar-bandar di seluruh negara melalui penggunaan MyKad," katanya.

"Pengurangan kadar cukai bantu tambah tunai di dalam poket penerima." - Dr Aimi

Dari segi penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN, Dr Aimi Zulhamzi berkata ia sangat membantu siswazah pada masa kini terutama daripada isi rumah golongan M40.

Katanya, menerusi inisiatif ini, ia dapat membantu siswazah yang berdepan dengan gaji permulaan yang tidak seberapa walaupun pasaran pekerjaan sudah kembali pulih dengan kadar pengangguran hanya pada 3.5 peratus sekarang.

"Pastinya siswazah yang baru menamatkan pengajian dan baru bekerja mengalu-alukan inisiatif ini kerana mereka juga perlu membantu ibu bapa yang dari isi rumah M40 mengharungi kenaikan kos sara hidup," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Norasibah Abdul Jalil berkata keperluan golongan M40 sebenarnya tidak jauh beza dengan B40 kerana ke-san Covid-19 menyebabkan sebilangan masyarakat daripada kumpulan ini berpindah ke kategori B40.

"Walaupun inisiatif yang diberikan bersifat penyelesaian jangka pendek namun ia menghilangkan kesempitan dan mendatangkan ketenangan di hati rakyat kumpulan ini dalam menghadapi waktu-waktu kritikal.

"Jika dilihat dalam Belanjawan 2023, kerajaan lebih memberi tumpuan kepada penambahan pendapatan golongan M40 dan fokus yang diberikan menggalakkan keusahawanan.

"Hasrat ini baik. Walau bagaimanapun, ada baiknya jika kerajaan dapat memperincikan sektor mana yang digalakkan diceburi, serta apakah bentuk bantuan (pelepasan cukai, pinjaman, dan lain-lain) yang disediakan.

Mengulas mengenai inisiatif yang diberikan kerajaan untuk golongan M40, Dr Norasibah berkata inisiatif peningkatan kemahiran 'microcredentials' amat dialu-alukan.

"Micro Credential bererti kelayakan mikro yang dianugerahkan bagi program latihan yang dilaksanakan secara modular dalam tempoh yang lebih singkat.

"Peralihan hala tuju negara ke arah TVET digital menjadikan insentif ini sangat relevan. Ia dapat membantu rakyat bukan sahaja membangun kemahiran dalam bidang ini, tetapi juga membuka peluang rakyat melakukan tambah nilai terhadap pengetahuan dan kemahiran sedia ada.

"Perkara ini menjadikan kemahiran yang ada bersesuaian dengan permintaan industri dan dapat meningkatkan peluang mendapat pekerjaan," katanya.

Di masa akan datang, Dr Norasibah berharap kerajaan mampu memberi insentif yang lebih banyak bukan saja pada kumpulan M40 tapi juga semua kumpulan masyarakat, tanpa mengira kategori pendapatan.

"Jika ada subsidi atau pelepasan cukai, nikmat ini bukan saja diraikan oleh kumpulan B40 tapi juga bagi kumpulan M40 dan T20.

"Ini kerana, T20 dan M20 adalah kumpulan yang me- nyumbang kepada penda- patan kerajaan melalui bayaran cukai pada kadar yang lebih tinggi berbanding kumpulan B40.

"Dalam keadaan yang sukar seperti sekarang, ini dapat difahami. Cuma diharap di masa akan datang, suasana ini dapat diperbaiki, di mana tiada ahli masyarakat merasa diri dipinggirkan," katanya.

Bagi mereka yang layak dan belum menerima manfaat daripada inisiatif ini haruslah merebut peluang yang diberikan ini.

Bagi memudahkan rakyat, proses permohonan juga tidaklah susah kerana ia mesra pengguna selain bantuan segera turut disediakan bagi mereka yang layak.

Layari https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:51 PM