- Foto hiasan
- Foto hiasan
Noor Mohamad Shakil Hameed

Jumlah rakyat kita yang ditipu dan diperdaya semakin hari semakin bertambah. Golongan penipu ini yang bergerak sama ada secara solo, kumpulan kecil mahupun sindiket kelihatan bijak mencari dan memerangkap kumpulan sasaran. Akibatnya ada anggota masyarakat yang kerugian dalam bentuk wang ringgit dan ada juga yang berhadapan dengan masalah yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri.

Antara kes yang hangat diperkatakan kebelakangan ini ialah penipuan dalam bidang rawatan kecantikan serta pergigian di samping ramai juga yang terperangkap dengan sindiket penipuan kerja di luar negara.

Misalnya, baru-baru ini sepasukan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menahan seorang gadis berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pramugari menjalankan kegiatan perubatan estetik tidak berdaftar selain berperanan sebagai doktor gigi palsu. Gadis terbabit dikesan menawarkan khidmat estetik membabitkan sulam kening, sulam bibir, suntikan cecair pemutih kulit (whitening), selain memasang pendakap gigi. Dilaporkan gadis ini mempelajari semua kaedah itu melalui laman sosial YouTube selain menghadiri kelas haram sehingga mampu memperolehi 40 pelanggan dalam tempoh sebulan dengan caj bayaran mencecah sehingga RM400 bagi setiap rawatan.

Sebelum itu, pada Julai lalu seorang bekas pramugari berusia 25 tahun turut ditahan pegawai KKM selepas dikesan menawarkan rawatan sama di sebuah premis di Bukit Jalil di sini, selain dua pusat pergigian haram di Bangi dan Subang Jaya, Selangor.

Manakala, negara juga dikejutkan dengan laporan rakyat kita terperangkap di luar negara apabila menjadi mangsa penipuan kerja di beberapa negara seperti Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand. Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan seramai 195 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan masih berada di luar negara dengan jumlah mangsa yang dilaporkan berada di Kemboja adalah seramai 148, Laos (22), Myanmar (dua) dan Thailand (23). Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menerima sebanyak 182 laporan berkaitan kes seperti ini sejak tahun 2021.

Selain itu, ramai juga yang tertipu dengan pelbagai sindiket yang memperdaya pengguna dengan sogokan keuntungan segera, misalnya melalui pelaburan haram yang menjanjikan keuntungan ekspres. Ramai yang percaya dan melabur secara membuta tuli sehingga akhirnya berputih mata dan menyesal.

Malah, baru-baru ini satu lagi kaedah penipuan baru didedahkan di mana adanya sindiket yang menggunakan agama, pingat kebesaran, gelaran serta menjadikan selebriti tempatan sebagai duta dengan menawarkan jualan rumah dan tanah dengan harga yang tidak masuk akal sedangkan hartanah itu sebenarnya tidak wujud. Dilaporkan sudah ada 100 aduan membabitkan kira-kira RM5 juta yang dialami oleh mangsa.

Laporan seperti ini menunjukkan rakyat kita cukup mudah terpedaya dan data yang dilaporkan cukup membimbangkan. Justeru, anggota masyarakat perlu lebih berhati-hati dan berwaspada supaya tidak terus menjadi mangsa modus operandi sindiket licik yang sentiasa mencari jalan secara kreatif untuk menipu mangsa.

Ironinya, antara punca kejadian seperti ini ialah rakyat kita terlalu mudah percaya kepada orang lain termasuk kepada individu yang baru dikenali atau hanya dikenali dalam internet, khususnya melalui media sosial. Budaya mudah percaya orang ini perlu diubah dengan segera sebaliknya kita perlu sentiasa berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali supaya tidak menyesal kemudian hari. Tidak salah andai kita mengambil sedikit ruang dan masa untuk menyiasat latar belakang individu terbabit sebelum kita membuat sebarang keputusan.

Misalnya, dalam kes doktor gigi dan pakar kosmetik palsu kita sepatutnya menyiasat terlebih dahulu status klinik serta latar belakang kelayakan individu yang memberikan rawatan tersebut sebelum kita mendapatkan perkhidmatan mereka. Hal ini sangat penting kerana mereka ini bergerak secara bersendirian dan bukan sebagai pakar hospital kerajaan selain kita dikenakan bayaran serta membabitkan soal kesihatan dan keselamatan nyawa. Jadi tidak salah untuk kita melakukan proses due diligence atau penelitian supaya lebih selamat dan tidak menjadi mangsa keadaan.

Selain itu, sikap anggota masyarakat yang tamak dan mahu cepat kaya melalui jalan pintas juga menyebabkan ada sindiket yang mengambil kesempatan seperti melalui aktiviti pelaburan haram serta penjualan hartanah yang tidak wujud. Anggota masyarakat perlu sedar tiada jalan pintas menjadi kaya mahupun mengumpul harta melainkan hanya dengan taktik atau kaedah yang tidak betul dan menyalahi undang-undang.

Pada masa sama penelitian penulis juga menunjukkan anggota masyarakat kita sangat mudah terpedaya dan terpengaruh dengan strategi pemasaran yang digunapakai oleh sindiket terutamanya melalui platform media sosial.

Ini terbukti apabila hasil soal siasat pihak berkuasa terhadap mangsa penipuan kerja di luar negara mendapati mereka diperdaya menerusi iklan peluang kerjaya di Facebook sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan bayaran lumayan. Begitu juga halnya dengan kes penipuan hartanah yang tidak wujud di mana strategi sindiket yang menggunakan selebriti terkenal sebagai duta projek didapati mudah mengaburi mata anggota masyarakat.

Justeru, di samping pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya, anggota masyarakat perlu lebih peka dan bertanggungjawab pada diri sendiri. Tuntasnya, jangan terlalu mudah percaya orang lain, jangan percaya bulat-bulat apa yang diiklankan dalam media sosial termasuk jika ada penglibatan selebriti sebagai duta serta jauhi sikap ingin cepat kaya dengan cara ekspres.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:01 AM