KETEGANGAN dan liku dihadapi menjadikan penulis dan pasukan matang dalam pengurusan ibadah korban.
KETEGANGAN dan liku dihadapi menjadikan penulis dan pasukan matang dalam pengurusan ibadah korban.
Ahmad Fadzlullah Hasanuddin

Ancaman keselamatan bukan penghalang buat EZ Qurban untuk menyampaikan amanah diberikan peserta akikah dan korban.

Selepas melebarkan sayap ke-37 negara, pelbagai rintangan termasuk ragam manusia ditemukan sepanjang memikul amanah diberikan rakyat Malaysia melalui program korban dan akikah di luar negara.

Hasil rintangan ditempuh sepanjang 15 tahun menjadikan kami matang dalam menyediakan perkhidmatan sehingga menggondol pelbagai anugerah dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa selain diiktiraf sebagai pelopor kepada pengurusan korban dan akikah.

Namun, anugerah itu bukan perkara yang penulis ingin sentuh dalam perkongsian kali ini sebaliknya mengenai liku perjalanan kami dalam menguruskan amanah diberikan rakyat Malaysia.

Dengan 37 negara pelaksana ibadah korban, tentunya pelbagai rintangan yang penulis dan petugas kami hadapi menjelang musim korban, namun ia bukanlah masalah sebaliknya setiap negara punya ragam atau cabaran yang tersendiri.

Sekadar mengimbau kembali kisah di scam ketika mahu kembangkan perkhidmatan ini di Kenya, penulis ditipu hidup-hidup oleh rakyat Malaysia yang kononnya mampu membantu, sekali gus menguruskan penempatan dan kambing yang akan diakikahkan.

Sampainya penulis di lapangan terbang di Kenya, individu terbabit tidak dapat dihubungi, malah saudaranya yang konon akan menyambut kami juga tak kunjung tiba. Biru juga muka penulis dan petugas kami ketika itu.

Biarpun ditipu hingga kami sangkakan misi gagal, ternyata perancangan Allah SWT itu sebaliknya, penulis secara tidak sengaja berkenalan dengan pemandu teksi yang akhirnya, perkenalan itu berjaya merealisasikan impian kami untuk melaksanakan program di negara berkenaan pada tahun itu.

Dengan bantuan pemandu teksi itu yang sudi membantu penulis mencari ladang kambing di Kenya, akhirnya kami diperkenalkan kepada Habsyi, penternak kambing beragama Islam yang sudah biasa dengan komuniti Islam di Kenya. Hasilnya, dalam lima hari, 300 kambing dapat disembelih dan diagihkan.

Itu kisah di Kenya yang pasti penulis dan petugas akan kenang dan ingat sehingga mati. Namun, di Tanzania pula, penulis terkesan dan insaf dengan kesusahan dihadapi Muslim di negara berkenaan. Mana tidaknya, rumah mereka dibina daripada 'simen' yang diperbuat daripada najis kuda.

Selain itu, penulis juga kecut perut ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Basilan, Filipina yang diketahui umum tempat peperangan selain berlakunya penculikan di kawasan berkenaan didalangi Daesh dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG). Biarpun setiap saat berdepan risiko diculik, serangan bersenjata amanah peserta akikah dan korban tetap penulis dan staf penulis utamakan.

Walaupun penulis dan rakan-rakan diiringi tentera Moro Islamic Liberation Front (MILF), kami sentiasa berasakan ketegangan setiap saat berada di sana. Senang cakap, nak kencing pun diiring askar dilengkapi senjata api kerana kemungkinan diculik itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Ujian, ketegangan dan liku dihadapi menjadikan penulis dan pasukan matang dalam pengurusan ibadah korban dan akikah kerana kami yakin, perkara itu terpaksa dihadapi komuniti Islam setiap hari terutama di negara bergolak.

Penulis boleh senaraikan pelbagai negara yang sudah kami terokai untuk melaksanakan korban, contohnya di kem pelarian Rohingya di Bangladesh, biarpun mereka bebas beribadat, namun sentiasa berdepan kekurangan keperluan asas. Manakala di Vietnam atau Kemboja pula, masalah mereka lebih kepada kebebasan untuk menganut Islam.

Rintangan dihadapi juga membuatkan penulis sentiasa mencari jalan terbaik dalam memastikan ketelusan dan amanah rakyat Malaysia dalam menguruskan perkhidmatan korban dan akikah.

Kami tahu tidak boleh hilangkan kepercayaan peserta akikah dan korban, jadi untuk akikah kami berikan bukti video. Manakala korban pula, kami hantarkan wakil bagi memastikan ibadah peserta terlaksana seperti dijanjikan.

Dari segi ketulusan menguruskan ibadah peserta, kami dapatkan kelulusan sijil patuh syariah ISO MS 1900:2014 dan sijil pengesahan Amanah Warisan Berhad (Awaris).

Pada masa akan datang, penulis sasarkan segala urusan dan proses peserta yang melakukan korban dan akikah akan dapat diakses termasuk berkaitan sumber bekalan haiwan sembelihan, maklumat sampel darah, tarikh pelaksanaan sehingga kepada pengagihan.

Percayalah kami akan berusaha sedaya upaya dalam menyampaikan amanah anda! Buat mereka yang berminat dan berkemampuan untuk melakukan ibadah korban atau akikah pada tahun ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-885-885 atau layari https://www.ezqurban.org/


Penulis Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:00 AM